You are viewing mt961013

Previous Entry | Next Entry

Falsafah, hikmah haji


ALHAMDULILLAH segala puji bagi Allah SWT, musim haji tahun 1434 Hijrah hampir menjelang. Lambaian Kaabah dan gamitannya sudah terasa apabila Ramadan berakhir. Ini menandakan bermulanya musim dan miqat haji. Dalam ruangan kali ini, saya mengajak para pembaca khususnya duyuf al-Rahman untuk menekuni sebahagian daripada falsafah dan hikmah haji, antaranya:

1 Menyahut seruan Ilahi dalam mentaatinya

Hal ini sebagai mengiakan apa yang Allah SWT firmankan yang bermaksud: Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. (al-Hajj: 27)

Mengikut sejarah sejak dari itu begitu ramai manusia datang mengunjungi Baitullah Haram di kota Mekah. Oleh itu, ibadat haji salah satu ibadat yang tua sejak daripada kewujudan manusia di bumi untuk menzahirkan sifat ubudiyyah dan beribadat kepada Tuhan Yang Maha Esa di rumah-Nya.

2 Mendidik manusia sentiasa menjaga tatasusila insani dan Islam

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah pada ayat 197 yang bermaksud: (Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (daripada keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).

Larangan ini bertujuan meninggalkan segala sesuatu yang bertentangan dengan suasana sopan santun terhadap Allah SWT dan suasana penumpuan diri kepada Allah SWT dalam masa ihram. Ini bertujuan meningkatkan diri daripada keinginan-keinginan bumi dan melakukan latihan rohani supaya bergantung pada Allah SWT sahaja.

Di samping itu, beradab sopan di rumah-Nya bagi sesiapa yang berkunjung kepada-Nya dengan diri yang bersih daripada segala-galanya hingga daripada pakaian yang berjahit.

3 Mengenali Baitullah yang pertama yang menunjukkan kesatuan para nabi dan rasul dalam berubudiyyah pada-Nya

Hal ini berdasarkan firman Allah dalam surah Ali-Imran pada ayat 96 yang bermaksud: Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

4 Melaksanakan ajaran tuhan dalam bentuk ubudiyyah dalam menzahirkan kehambaannya

Ini amat jelas bermula daripada kita menuju ke Mekah yang terkenal dengan lembah yang kering kontang dan tiada apa-apa. Maka kehadiran seseorang menuju kepada tuhan lebih bersifat keikhlasan dan kejujuran hati untuk mentaati perintah Allah SWT.

Bayangkan amalan dan gerakan haji yang dihimpunkan seluruh manusia Islam untuk berkata dengan nada yang sama iaitu talbiah.

Begitu juga pergerakan yang sama di tempat yang sama seperti tawaf di Kaabah, sa'ie di antara Safa dan Marwah dan perlakuan yang lain termasuk bermabit di Mina dan Muzdalifah serta wukuf di Arafah.

5 Mengenali dan bertaaruf sesama manusia

Hasil dan natijahnya sudah pasti mereka mendapat banyak manfaat di samping mensyukuri nikmat Allah SWT. Benarlah firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 28 yang bermaksud: Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); Dengan yang demikian makanlah kamu daripada (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

Al-Alusi dalam tafsirnya, Ruh al-Ma'ani (17/189) berkata: Untuk mendapatkan manfaat di mana perkataan manfaat disebut dengan banyak yang memberi maksud besarnya manfaat dan banyaknya, di mana ia digunakan dalam bentuk nakirah kerana membesar dan membanyakkannya.

Semoga catatan ini dapat menambah keyakinan bakal jemaah haji ketika berangkat menunaikan haji ke Tanah Suci Mekah. Di samping itu, mengambil kesempatan dan peluang semasa berada di sana untuk menggandakan prestasi ibadat ke tahap yang benar-benar maksimum.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 07/06/2013

Tags:

Latest Month

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow