mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Dalam menentukan keutamaan

DALAM kehidupan, kita akan sentiasa berhadapan dengan keadaan di mana kita perlu membuat pilihan.

Pilihan yang dihadapi akan memerlukan kita membuat pertimbangan tertentu seperti memilih antara beberapa kemungkinan dan menentukan yang mana patut diberi keutamaan daripada beberapa opsyen atau perkara yang ada di hadapan kita.

Pasti penentuan dan pilihan yang kita lakukan akan berasaskan kepada alasan dan sebab-sebab tertentu supaya dengan memberi kewajaran-kewajaran yang sepatutnya, kita akan membuat pilihan yang tepat dan betul.


ATLET gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi sebak selepas skuad gimnastik artistik negara berjaya meraih emas dalam acara berpasukan wanita sempena Sukan SEA Ke-28 di Dewan Sukan Bishan, Singapura, baru-baru ini. utusan/Abdul Razak Latif -

Kewajaran-kewajaran tersebut perlulah mengutamakan faktor-faktor yang objektif, alasan-alasan yang munasabah serta sebab-sebab yang berpatutan. Dan dengan itu dapatlah kita menentukan apa yang patut diutamakan dan apa yang patut diberi kedudukan prioriti mengatasi lain-lain faktor yang tidak penting, remeh-temeh, ataupun sebenarnya memesongkan tumpuan.

Begitu juga dalam membuat pilihan dan menentukan prioriti kita, perlu ditentukan apa matlamat kita sebenarnya dan apakah hasil atau objektif yang kita ingin capai dan peroleh.

Sekarang ini telah mula muncul gejala-gejala dalam kalangan masyarakat yang membimbangkan. Telah mula terdapat pihak yang hendak memaksa ke atas pihak-pihak lain, interpretasi peribadi, tentang apa yang dianggap oleh mereka sebagai “baik”, “sesuai”, atau “sepatutnya”. Interpretasi mereka semuanya berasaskan anggapan peribadi serta penilaian subjektif.

Malangnya, berasaskan penilaian-penilaian peribadi dan subjektif tersebut telah timbul arahan-arahan, peraturan-peraturan dan syarat-syarat tertentu yang telah lari jauh daripada apa yang sepatutnya menjadi fokus dan prioriti.

Matlamat sebenar telah ditenggelamkam oleh tumpuan kepada perkara-perkara yang hanya kulit dan bukan isi; kepada yang remeh-temeh dan bukan yang penting; serta semata-mata dari kaca mata peribadi dan subjektif, dan bukannya yang objektif serta sepatutnya.

Soal pakaian terutama untuk wanita telah kerap kali menjadi isu yang tidak sewajarnya. Tidak lama dahulu seorang ibu yang begitu bangga dengan pencapaian anaknya telah dihalang menghadiri upacara penyampaian ijazah anaknya semata-mata kerana ibu tersebut memakai seluar panjang.

Baru-baru ini, sebuah jabatan kerajaan telah menentukan secara bersendirian “kod dan etika pakaian” untuk orang awam yang datang untuk berurusan dengan jabatan tersebut.

Persoalannya ialah sejak bilakah sesebuah jabatan atau organisasi telah menjadi “penentu pakaian” untuk orang awam? Pada hal, jabatan-jabatan mempunyai “charter pelanggan” yang lazimnya mementingkan antara lain:

- Memberi perkhidmatan kepada orang awam seperti yang ditentukan oleh undang-undang, peraturan-peraturan, serta matlamat-matlamat dan misi jabatan dan organisasi tersebut;

- Faktor-faktor asas dan penting seperti integriti, amanah, kecekapan, dan keberkesanan tugasan serta perkhidmatan;

- Layanan baik dan mesra rakyat;

- Memberi kewajaran kepada kepentingan pelanggan, masyarakat dan negara

Bahkan istilah “penjawat awam” atau civil servant dalam istilah asal dalam bahasa Inggeris memberi erti berkhidmat untuk orang awam atau masyarakat, bukan menjadi penentu pakaian orang awam atau menjadi tuan atau boss kepada mereka. Jabatan kerajaan khususnya perlu menumpukan kepada unsur memberi perkhidmatan sebaik mungkin kepada orang awam. Bukan menyusahkan mereka, atau mendatangkan masalah dan beban!

Baru-baru ini juga, seorang ahli gimnastik wanita kita telah mengharumkan nama negara dengan meraih pingat emas dalam acara sukan peringkat serantau. Pasti anak muda tersebut telah menunjukkan kecemerlangan dalam acara yang dipertandingkan.

Ramai kalangan masyarakat kita yang mengucapkan tahniah dan berbangga dengan pencapaian cemerlang tersebut, tetapi, terdapat pula suara-suara sumbang yang mengkritik pakaian ahli gimnas tersebut dengan alasan dari segi kaca mata peribadi mereka.

Persoalannya, adakah orang ini menonton acara-acara sukan semata-mata dengan menumpu kepada bentuk badan dan pakaian peserta dan bukannya kepada prestasi ahli sukan itu?

Mereka ada pilihan. Usah menonton dan melihat apa jua yang secara peribadi dianggap menjolok mata mereka, atau “tidak sesuai” dari kaca mata peribadi mereka! Kewajaran kita dapat membezakan antara padi berisi dan hampas; antara kulit dan isi; antara objektif dan subjektif.

Kita wajar membantu negara dan masyarakat terus mencapai kemajuan dan kecemerlangan. Bukan mendatangkan rintangan dan halangan serta kekeliruan dan masalah. Perlu kita menentukan secara rasional serta mementingkan apa yang sebenarnya prioriti.

TAN SRI RAFIDAH AZIZ pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio.

Tags: etika, pakaian
Subscribe

Posts from This Journal “pakaian” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments