mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Menghitung antara untung dan rugi

LAPORAN media mengenai pe­rebutan tapak gerai Ramadan baru-baru ini sangat menarik untuk dibincangkan. Diberitakan bahawa berlaku kekecohan sehingga melibatkan pergaduhan ketika bantahan aman berhubung pembahagian tapak bazar Ramadan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban.

Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadan.


PERGADUHAN tercetus antara dua kumpulan ketika bantahan aman berhubung pembahagian tapak bazar Ramadan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), baru-baru ini. China Press

Lebih dikesalkan pergaduhan itu ada kaitan dengan bulan Ramadan iaitu tidak puas hati dengan pengagihan tapak bazar kepada peniaga di kawasan terbabit.

Kes seperti ini jarang dilaporkan di media. Namun, penulis percaya, ia sering kali berlaku. Lebih-lebih lagi dalam tempoh ‘panas’ seperti Ramadan, sambutan perayaan dan sebagainya.

Persoalannya, adakah perkara ini diajar dalam Islam? Mengapa perlu sehingga bergaduh hanya kerana tapak berniaga? Wajarkah tindakan ini?

Dalam keadaan ekonomi pada masa kini, penulis secara peribadi berpendapat bahawa ramai pihak berlumba-lumba untuk mendapatkan gerai Ramadan kerana beranggapan bahawa Ramadan adalah pintu rezeki bagi mereka.

Namun, penulis ingin mengajak masyarakat untuk sama-sama berfikir tentang untung rugi di bulan Ramadan ini.

Dalam konteks gerai Ramadan ini sebagai contoh, ramai beranggapan dengan membuka gerai tersebut akan mendapat pendapatan yang baik. Justeru, berlumba-lumbalah mereka untuk mencari tapak untuk berniaga.

Anehnya, ada pihak yang tak pernah membuka gerai atau kedai makanan pun sebelum ini pun juga berlumba-lumba untuk mendapatkan tapak untuk berniaga. Habis bulan Ramadan, tutuplah gerai mereka tersebut.

Berdasarkan pemerhatian penulis sendiri, ada kalangan masyarakat yang sanggup belajar memasak dua tiga hari semata-mata untuk membuka gerai di bulan Ramadan. Boleh bayangkan bagaimana rasa atau keadaan makanan atau minuman yang disediakan oleh mereka nanti?

Dalam tulisan ini, penulis tidak berniat untuk mengatakan bahawa tidak elok bagi ‘peniaga segera’ untuk membuka gerai dalam bulan Ramadan. Namun, marilah sama-sama kita menghayati untung rugi sebenar dalam perniagaan Ramadan.

Untung bagi sesetengah orang dilihat dalam bentuk kebendaan. Tetapi sebenarnya konsep untung adalah sangat luas. Ia bukan sahaja meliputi perkara-perkara yang boleh disentuh dan dilihat, malah menjangkau kepada ganjaran di akhirat nanti.

Lebih elok kita mendapat untung di akhirat berbanding di dunia. Lebih cantik lagi jika ketika mendapat ke­dua-duanya. Apa yang tidak diingini ialah untung di dunia tetapi rugi di akhirat.

Persoalan untung rugi ini membawa kepada imbauan pertemuan penulis dengan seorang usahawan kedai makanan popular di bandar raya Alor Setar, Kedah baru-baru ini. Makanan dan minuman di kedai ini bukan sahaja sedap malah harganya berpatutan.

Semasa membayar makanan, penulis bertanya sama ada gerai ini akan dibuka seperti biasa pada bulan Ramadan. Jawab juruwang tersebut yang juga pemilik kedai bahawa mereka akan menutup operasi sepanjang Ramadan. Mereka tidak akan berniaga sepanjang Ramadan kerana sudah banyak mereka rugi pada Ramadan tahun lalu.

Pelik kalau meniaga di bulan Ramadan akan rugi. Ini kerana gerai Ramadan menjadi tempat tumpuan orang ramai. Kunjungilah mana-mana sahaja bazar Ramadan pasti akan sesak dengan orang ramai. Bagaimana pula dikatakannya boleh rugi?

Jelas beliau, sepanjang Ramadan yang lalu, tidak pernah sehari pun kedainya ditutup. Banyak keuntungan diperoleh kerana setiap hari jualan makanan dan minuman habis terjual. Buka sahaja pintu kedai pada jam 4 petang sudah ada ramai pelanggan menunggu. Dua jam kemudian sudah habis dan boleh tutup kedai.

Namun, apabila difikirkan kembali timbul persoalan apakah keuntungan seperti ini yang dicari dalam bulan mulia ini atau ada perkara lain yang lebih menguntungkan? Adakah Rasulullah SAW mengajar kita bahawa bulan Ramadan adalah bulan untuk bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki?

Memang tidak dinafikan bahawa berniaga adalah sunnah. Namun, jika sampai ke tahap bergaduh dan be­rebut untuk gerai perniagaan adalah sesuatu yang kurang wajar. Banyak untung yang diperoleh, tetapi banyak pula kerugian yang terpaksa ditanggung kelak.

Bagi sesetengah masyarakat yang baharu hendak memulakan perniagaan, mesti banyak perkara yang perlu dilakukan. Bermula dengan persediaan di awal pagi sehinggalah menutup kedai pada lewat waktu Maghrib. Sepanjang tempoh ini, banyak masa dan tenaga diperlukan.

Apa yang dibimbangkan ialah hal-hal ini akan membantutkan usaha untuk menambah amal dan kebajikan.

Sebagai contoh, peniaga terpaksa mengambil masa untuk menutup kedai yang kadangkala membawa kepada waktu Isyak. Jika ini berlaku, peniaga mungkin terlepas peluang untuk bersembahyang sunat Tarawih secara berjemaah di masjid.

Namun, jika sudah biasa dengan perniagaan, itu cerita lain. Malah, jika peniaga dapat menguruskan masa dengan baik tidak menjadi masalah.

Peniaga juga harus bimbang jika niat berniaga tidak mengikut sunnah. Mungkin tujuan berniaga lebih kepada untuk mengambil kesempatan atas nafsu makan orang berpuasa dan bukannya menganggap ia sebagai satu ibadah.

Begitu juga halnya dengan proses penyediaan makanan, kualiti makanan dan lain-lain lagi haruslah mengikut garis panduan Islam. Jangan sampai untung seminit, rugi bertahun-tahun. - Dr Ram Al Jaffri Saad ialah Pengarah Penerbit UUM (UUM Press) dan Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia. Utusan Malaysia Rencana 16 Jun 2015 1:37 AM

Tags: berniaga, ramadhan
Subscribe

Posts from This Journal “berniaga” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments