mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Menginspirasikan manusia dengan ilmu

ILMU adalah perkara paling berharga dan bernilai dalam kehidupan manusia. Ilmu adalah bekalan yang bukan saja memanfaatkan mereka yang memilikinya, malah memberi inspirasi kepada yang lain.

Baru-baru ini, saya berkesempatan melancarkan Johor Corporation Education Sponsorship Programme (JESP) dan menyampaikan amanat kepada 33 pelajar yang terpilih mendapat biasiswa berkenaan.

Mereka adalah antara insan terpilih mendapat pembiayaan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi. Namun, semua ini terjadi kerana ramai di luar sana melabur, menyokong dan tidak putus berdoa supaya pelajar kita berjaya.

Bakat, potensi serta kebolehan mereka tidak mungkin terbongkar jika tidak kerana pelaburan, pengorbanan dan doa pelbagai pihak. Ayah dan ibu tidak pernah letih mengabdikan masa, mencurah keringat, wang ringgit, malah seluruh jiwa raga, membesar dan mendidik kalian dengan penuh kasih sayang.

Guru budiman sentiasa memberi rangsangan dengan dedikasi luar biasa, walaupun pelajar bukan darah daging mereka. Pastinya juga kerajaan, yang tidak pernah sekali-kali mengabaikan kewajipan memberikan kemudahan dan peluang terbaik kepada putera puteri bangsa.

Malah, kerajaan secara konsisten, sejak 30 tahun lalu, melabur hampir 20 peratus belanjawan tahunan negara hanya untuk pendidikan. Ini sekali gus, menjadikan Malaysia negara membangun paling banyak melabur dalam pendidikan.

Peluang bina masa depan

Kita dapat lihat bagaimana ribuan sekolah dibina, lengkap dengan segala kemudahan supaya semua anak Malaysia, punya ruang dan peluang membina dan mengejar masa depan.

Ratusan ribu guru kita terlatih. Pergilah ke desa terpencil di Long Lama di Sarawak; di Long Pasia, Sabah; di Dabong, Kelantan atau di Tasik Banding, Perak.

Pasti akan ada guru terlatih yang keluar meninggalkan nikmat kemewahan hidup kota menyantuni anak desa kita yang punya cita-cita.

Justeru, walau sehebat dan setinggi manapun pendidikan dan pencapaian perjalanan kehidupan pelajar nanti, ingatlah pada mereka yang pernah melabur dalam kejayaan kalian.

Kenanglah pengorbanan besar mereka. Betapa kalian sangat bertuah kerana punya peluang dan ruang untuk jadi pintar, berilmu, berjaya. Justeru, jadilah peguam besar, doktor pakar, akauntan berjaya, ahli perniagaan ternama.

Jadilah apa dan sesiapa saja. Namun, selagi kita belum menoleh ke belakang, tunduk ke bawah, melihat dan memahami nasib anak bangsa lain, yang masih berjuang dengan takdir, yang masih merempat di biru laut dan di kuning darat, pada saya, kita sebenarnya belum berjaya.

Apa gunanya kejayaan besar itu, jika ia hanya menjadikan kita kecil dan kerdil di mata masyarakat kerana kita lupa asal dan permulaan kita.

Ingatlah, sejauh mana kita terbang, kita tidak akan boleh dan harus pernah terpisah daripada masyarakat. Kerana itulah, kita ada tanggungjawab untuk kembali dan menyumbang kepada mereka, khususnya yang membolehkan kita berjaya.

Hanya apabila kita kembali dan mula menyumbang, kita akan jadi warga budiman, faham akan tanggungjawab, berjiwa besar dan berpandangan jauh.

Ilmu jadi inspirasi

Kejayaan menguasai tahap ilmu tinggi bukan saja memanfaatkan mereka yang memilikinya, tetapi menjadi inspirasi yang lain untuk turut terdorong berjaya.

Sehubungan itu, marilah kita seru dan inspirasikan semua anak muda di Johor khususnya dan Malaysia amnya. Biar siapa pun mereka. Biar apa pun warna, agama dan tutur bahasanya. Yang marhain atau yang dhuafa.

Kita mesti tanam dan menyemat dalam pemikiran bahawa mereka punyai bakat, potensi, cita-cita dan kebolehan. Mereka juga harus bermimpi untuk hidup dengan aman, selesa, selamat, berjaya dan bermaruah.

Kita mesti beri kesedaran bahawa kalau kita diberi peluang, mereka juga dibukakan peluang. Kalau kita boleh lakukannya, mereka juga mampu.

Inilah cerita di Malaysia dan di Johor, mengenai bagaimana kita saling berdiri dan menyokong satu sama lain. Sesungguhnya, saya amat bimbang jika ramai dalam kalangan generasi muda kita akan ketinggalan.

Lebih-lebih lagi, persaingan dunia globalisasi hari ini sangat hebat di luar sana. Persoalannya, bagaimana kita akan jadi pemain dalam Komuniti ASEAN dan pelbagai proses liberalisasi perdagangan.

Bagaimana kita ingin mendahului persaingan sains dan teknologi yang kini menjadi penyelesaian kepada banyak masalah manusiawi dan isu global. Bagaimana kita akan jadi negara berpendapatan tinggi, maju dan terbaik, jika hanya sebahagian kecil bangsa berilmu dan maju dalam pendidikan.

Namun, persoalan ini boleh dijawab dengan kekuatan ilmu. Bukan saja menguasai ilmu, tetapi memanfaatkan ilmu serta mengangkatnya sebagai inspirasi dan suluhan kepada yang lain.

Saya berharap banyak lagi pihak dapat melabur bagi menjayakan sektor pendidikan negara kerana pendidikan bukan sekadar platform mengizinkan kita menyumbang, sebaliknya membuka ruang kolaborasi dan penyepaduan semua pihak.
Khaled Nordin Berita Harian Kolumnis 16 Jun 2015
Tags: guru, ilmu, manusia
Subscribe

Posts from This Journal “ilmu” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments