mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Mencari titik keharmonian prinsip keadilan

Kita mempunyai dua tradisi perundangan yang mempunyai kesan serius kepada sistem perundangan negara. Kedua-dua tradisi perundangan itu ialah tradisi perundangan Islam dan tradisi tinggalan legasi British.

Kita perlu akui bahawa tidak mudah untuk diketepikan salah satu antaranya. Tradisi perundangan Islam begitu mantap dalam sejarah.

Walaupun perundangan Islam yang diterima pakai pada masa itu tidak sepenuhnya menepati prinsip undang-undang Islam, ciri-ciri perundangan Islam boleh dibuktikan.

Bahkan selama lebih kurang 450 tahun di bawah pemerintahan dan penjajahan beberapa kuasa asing, terutama British, peranan dan kedudukan tradisi perundangan Islam masih wujud dan bersemi dalam masyarakat Islam negara ini serta amat payah untuk dibuang daripada minda umat Islam.

Begitu juga dengan status dan perundangan formal negara mengenai perundangan Islam. Tradisi perundangan asing, terutama undang-undang Inggeris yang cuba dan berjaya dalam beberapa perkara besar, sudah berjaya mengambil tempat tertentu di negara ini.

Kesannya juga tidak boleh dinafikan. Bukti dan legasi undang-undang Inggeris juga banyak. Sistem asal perundangan negara juga sudah banyak diubah dan seterusnya berubah kerana pengaruh penjajahan dan juga pentadbiran British. British mengambil masa agak lama untuk memperkenalkan sistem mereka.

Bermula dengan melantik hakim yang membuat keputusan bersandarkan prinsip dan falsafah perundangan mereka, British kemudiannya memperkenalkan Piagam-Piagam Keadilan dan seterusnya British membawa undang-undang bertulis bagi diamalkan di Tanah Melayu ini.

Falsafah perundangan negara

Secara ringkasnya British mengambil masa yang agak lama, ratusan tahun juga untuk mengukuhkan rangka perundangan mereka di Tanah Melayu.

Kesan daripada pengukuhan perundangan British itu, ada antara kita yang percaya bahawa falsafah perundangan negara ini adalah berasaskan kepada falsafah perundangan British.

Persoalan ketika ini ialah, apabila kita mencapai kemerdekaan dan mempunyai perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, adakah sistem asal sebelum kedatangan British atau sistem yang telah diubah British itu menjadi panduan dalam menentukan falsafah perundangan negara.

Adakah kita patut kembali kepada perundangan Islam yang tetap mendapat tempat dalam kalangan majoriti orang Islam di negara ini.

Dalam keadaan semasa, saya mengambil pendirian untuk cenderung menerima undang-undang yang mendatangkan keadilan yang tidak menggadaikan prinsip agama dan mementingkan nilai-nilai murni, adab serta adat yang tidak melanggar agama.

Oleh itu, falsafah perundangan yang paling layak diterima pakai di negara ini hendaklah berteraskan kepada prinsip keadilan seperti itu. Agama dan sistem nilai yang mementingkan etika dan adat adalah faktor yang perlu menjadi pedoman dan panduan kepada pembuat dasar dan penggubal undang-undang negara.

Penggubal undang-undang di Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri hendaklah mengambil faktor ini dalam membahas dan juga meluluskan sesuatu rang undang-undang.

Atas apa nama sekalipun sesuatu undang-undang itu diwujudkan, penggubal undang-undang hendaklah melihat undang-undang itu dari segi pengisiannya dan kemampuan undang-undang berkenaan menyelesaikan permasalahan masyarakat dengan saksama dan adil.

Sama ada menggunakan istilah 'agama' atau tidak, itu bukan suatu yang perlu dianggap faktor penentu tetapi faktor penentu kepada sesuatu undang-undang ialah adakah rang undang-undang terbabit boleh mencapai keadilan; mencapai keadilan yang boleh dilihat dan dirasai, bukan keadilan yang retorik.

Mungkin kita berbeza mengenai takrifan atau maksud keadilan. Kita boleh mencari jawapan dalam tulisan-tulisan lain.

Dalam mencari dan mendapatkan prinsip keadilan yang tidak menolak prinsip agama, adab dan adat, kita memerlukan ilmu dan kemahiran.

Proses pengharmonian

Ilmu prinsip agama dan ilmu mengenai perkara kontemporari hendaklah digabungkan dan disusun dengan baik untuk mengelak pertembungan antara keduanya.

Mungkin pendekatan ini boleh dinamakan sebagai proses pengharmonian. Proses pengharmonian ini perlu mengambil kira kerangka keseluruhan faktor yang berkaitan dengan perundangan, termasuklah kemahiran dalam melakukan pengharmonian.

Segala ilmu berbentuk teori atau falsafah, walaupun amat penting awalan, tidak semestinya akan berupaya menzahirkan keadilan sekiranya kemahiran dalam pengharmonian tidak dapat dilakukan dengan baik.

Selain kemahiran dalam melakukan proses pengharmonian itu, kemahiran juga diperlukan dalam melobi dan memasarkan proses itu supaya ia tidak dapat diterima dengan baik dalam masyarakat.
Dr Shamrahayu A Aziz Berita Harian Kolumnis 17 Jun 2015
Tags: adil, harmoni
Subscribe

Posts from This Journal “adil” Tag

  • Khutbah Jumaat : Golongan yang dikasihi Allah

    Petikan Khutbah Jumaat 29 Januari 2021 l 09 Jumadal Akhirah 1442H JAIS Golongan yang dikasihi Allah Allah telah menciptakan makhluknya dengan…

  • Pelihara prinsip adil, amanah

    BAGAIMANAKAH pandangan Islam mengenai kerja-kerja sukarela ke arah mardhatillah? JAWAPAN: Islam menggalakkan kita untuk saling membantu. Ia…

  • Berlaku adil kepada anak-anak

    Kezaliman tetap satu kezaliman walaupun dilakukan oleh ibu bapa kepada anak sendiri Semua anak mesti disayangi, dilayani, dipenuhi…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments