mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ahlan wa sahlan 
Ya Ramadan

RAMADAN kembali hadir. Bagaimanakah semangat umat Islam yang sepatutnya apabila tibanya bulan mulia ini? Sirah mencatatkan menjelang kedatangan bulan Ramadan, Rasulullah SAW membuat beberapa persediaan di akhir bulan Syaaban. Para sahabat r.a dikumpulkan oleh Rasulullah untuk diterangkan fadilat bulan mulia ini.

Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam:

Bersiap sedia menanti kedatangan Ramadan iaitu de­ngan mengulangkaji kembali pelajaran berkaitan ibadah puasa supaya kita menyambutnya dengan penuh sempurna.

Memperlihatkan kesenangan hati dan kegembiraan menyambut Ramadan sebagaimana Rasulullah dan para sahabat mengucapkan Marhaban, Marhaban Ya Ramadan.

Memperbanyakkan doa kepada Allah SWT semoga diberikan kekuatan dan tenaga serta kelapangan untuk mengerjakan ibadah puasa.

Memperbanyakkan doa agar Allah mengurniakan kejujuran, keikhlasan, jauh daripada sifat riak, ujub dan takabbur yang boleh menghilangkan pahala puasa.

Menguatkan semangat untuk menjalankan latihan kerohanian dengan lengkap dan sempurna.

Menghindarkan diri daripada adat-adat salah seperti membazir untuk membeli juadah berbuka puasa dan sebagainya.

Mengucapkan tahniah kepada sesama saudara Islam dengan kedatangan bulan Ramadan ini.

Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 183: “Wahai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang yang bertakwa.”

Hakikatnya Allah memberi isyarat dan menunjukkan dengan jelas betapa ibadah puasa menimbulkan ketakwaan dalam hati seseorang. Ibadah ini jika ditunaikan mengikut peraturan dan adab-adabnya yang sebenar mampu menguatkan hati supaya bertakwa dan melahirkan sifat yang menerbitkan tingkah laku terpuji.

Bulan Ramadan medan untuk umat Islam menyuburkan semangat jihad menentang bisikan jahat syaitan yang merupakan musuh umat manusia seluruhnya. Semangat jihad ini dipupuk melalui sifat sabar mengerjakan kebaikan dan kebajikan di sepanjang bulan ini.

Ibadah puasa ini juga turut melahirkan rasa keseronokan mengerjakan kebaikan. Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Hajj, ayat 77: “Wahai orang yang beriman, rukuklah dan sujudlah (mengerjakan sembahyang) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

Bulan Ramadan juga bulan latihan dan pendidikan kerohanian yang mampu membentuk peribadi dan akhlak Muslim. Ibadah puasa melahirkan sifat amanah sekali gus menyuburkan sama rasa takwa yang merangkumi semua sifat yang terpuji dan luhur sama ada batin mahupun zahir seseorang insan yang bergelar Muslim. Rasulullah SAW bersabda: “Iman itu mempu­nyai tujuh puluh cabang, yang tertinggi adalah kalimah ‘Laa Ilaha Illa Allah’ (tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah) dan yang paling rendah adalah membuang gangguan yang ada di jalanan. (Riwayat Muttafaq A’Laih).

Sifat takwa akan mampu berfungsi sebagai pengawal kepada kebaikan dan menjernihkan jiwa dari dosa-dosa dan maksiat. Ia akan menjernihkan jiwa dan hati manusia daripada sifat syirik dan nifaq. Kita mengharapkan institusi Ramadan ini berjaya ditempuhi dengan penuh keikhlasan dan rendah diri serta ketakwaan sebagai hamba-Nya. Semoga proses transformasi diri ke arah lebih baik menjadi kenyataan apabila bera­khirnya bulan penuh keberkatan ini. Janganlah menjadi hamba yang berpuasa tetapi hanya mendapat pahala bertahan lapar dan dahaga sahaja. Itu perkara yang sangat merugikan. Modal insan adalah sumber terpenting kepada pembangunan negara.

Maju atau mundurnya sesebuah negara bergantung penuh kepada kekuatan dan kehebatan nilai, kompetensi dan kemahiran insaniah bangsa itu sendiri. Ringkasnya, pada hemah saya, kita perlu membangunkan sebuah masyarakat yang memiliki nilai-nilai tinggi, berakhlak mulia serta memiliki minda yang mencerminkan rakyat sebuah negara maju berpaksikan prinsip Islam. Inilah transformasi seorang muslim pasca Ramadan. Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan Karim. - Tan Sri Dr Abdullah Zin ialah 
Penasihat Agama kepada Perdana Menteri. Utusan Malaysia Rencana 18 Jun 2015

Tags: ramadhan
Subscribe

Posts from This Journal “ramadhan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments