mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Di Sebalik Lapar Dan Dahaga

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 19 Jun 2015: JAIS

“Di Sebalik Lapar Dan Dahaga”

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 : “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

Puasa yang diperintahkan Allah pada tahun kedua hijrah. Pernah mengamalkan ibadat puasa ialah umat Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS. Bahkan kaum Arab Jahiliah sebelum diutus Rasulullah SAW juga, melakukan puasa pada 10 hari bulan Muharram.

Puasa Ramadhan merupakan ibadat wajib, yang mempunyai tujuan yang sangat luas dan sangat dalam maknanya.

Ibadah yang diwajibkan itu ialah menahan diri daripada makan dan minum, tidak melakukan hubungan suami isteri dan menjauhi perbuatan yang boleh membatalkan dan menghilangkan pahala puasa, sejak dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Sesungguhnya ibadah puasa, memberi pengajaran kepada kita betapa nikmatnya sesuap nasi dan seteguk air.

Rasulullah SAW kepada Allah SWT, sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Pernah Tuhan ku menawarkan kepada ku untuk menjadikan lembah Makkah di penuhi emas. Aku menjawab : Tidak Ya Tuhan ku. Akan tetapi aku ingin kenyang sehari dan lapar sehari. Maka jika aku lapar, aku semakin dekat kepada Mu, dan apabila aku kenyang, aku akan bersyukur dan memuji Mu”. (Riwayat at-Tirmizi).

Di akhir ayat 183, surah al-Baqarah menjelaskan kebaikan amalan berpuasa dapat menjadikan orang yang beriman itu bertakwa kepada Allah.

Takwa ertinya takut dan patuh kepada Allah, mengikut apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang.

Takwa lahir daripada latihan melaksana perintah Allah dan menahan diri daripada melakukan perkara yang dilarang.

Sanggup menghadapi keadaan letih dan lapar, ketika berpuasa, mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan mungkar dan dosa-dosa.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Betapa ramai daripada orang-orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa hasilnya kecuali hanya lapar dan dahaga sahaja”. (Riwayat Ahmad)

Ibadah puasa juga dapat melahirkan jiwa sosial kemasyarakatan dalam diri seseorang. Kesusahan dan kelaparan berpuasa, semoga dapat memberi keinsafan tentang keadaan yang dialami oleh orang yang kurang bernasib baik.

Bagi manusia yang mempunyai jiwa keinsafan akan tumbuh dengan subur, sehingga sanggup menginfakkan harta untuk membantu golongan fakir dan miskin. Seterusnya mengeluarkan sebahagian harta sebagai ibadat zakat, wakaf Tabung Amanah Pembangunan Islam Selangor (TAPIS) dan lain-lain.

Puasa merupakan jalan untuk mempersiapkan diri menjadi orang yang sabar, iaitu tahan ujian, gigih berjuang, sanggup menanggung derita, sengsara serta kesusahan hidup, demi mengharapkan keredaan Allah SWT.

Di sebalik lapar dan dahaga, Islam mendidik manusia supaya bersabar.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Puasa itu separuh daripada kesabaran”. (Riwayat at-Tirmizi).

Besarnya ganjaran orang yang bersabar seperti firman Allah SWT dalam surah az-Zumar, ayat 10 “Sesungguhnya orang-orang yang sabar itu dipenuhi ganjaran pahalanya tanpa perhitungannya”

Kelebihan berpuasa juga dapat menjaga kesihatan seseorang.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW membenarkan kenyataan ini apabila baginda mengesahkan dalam sabdanya :“Berpuasalah, nescaya kamu sihat”. (Riwayat at-Tabrani).

Allah telah mengingatkan kita dalam surah al-A’raf ayat 3 : “..makan dan minumlah dan jangan berlebihan”.

Seorang pakar perubatan Arab yang menjalankan kajian mengenai punca beberapa jenis penyakit, merumuskan dengan katanya : “Perut itu pangkal segala penyakit. Menahan makan merupakan ubat yang paling mujarab”

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 184 : “Puasa itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya..”.

Puasa atau kurang makan dikenal pasti antara pendekatan yang sangat berfaedah bagi membantu menambahkan kesihatan badan, melewatkan kedatangan usia tua dan pembiakan keturunan.

Menurut kajian, bahawa haiwan juga berpuasa tanpa dipaksa sesiapa. Haiwan berpuasa bukan kerana dosa dan pahala, bukan kerana syurga dan neraka tetapi atas fitrahnya.

Sedangkan haiwan hanya diajar oleh fitrah atau semula jadinya sahaja. Maha Suci Allah yang berfirman dalam surah al-An’am ayat 38: “Dan tiadalah binatang-binatang yang ada di bumi dan burung-burung yang terbang di udara dengan dua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu juga...”.

Oleh itu, marilah kita berazam meningkatkan kualiti puasa kita supaya kita mendapat manfaat dari kelebihan ibadat tersebut. Antaranya :

1. Kita hendaklah berpuasa dengan ikhlas kerana Allah SWT, supaya kita bukan sahaja mendapat beberapa hikmat di sebalik lapar dan dahaga, tetapi kita dapat melaksanakan ibadat yang diwajibkan Allah.

2. Ketua keluarga hendaklah membimbing anak-anak mereka berpuasa, solat sunat tarawih, tadarus al-Quran, memperbanyakkan sedekah dalam bulan yang diberkati ini.

3. Pengusaha-pengusaha restoran atau kedai makan dapat kiranya memberi kerjasama mematuhi peraturan yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama mengenai etika berniaga dalam bulan Ramadhan.

4. Kita hendaklah memperbanyakkan berdoa memohon keredaan Allah SWT dalam bulan Ramadhan ini.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. maka hendaklah mereka menyahut seruan-ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul”. (Surah al-Baqarah : 186).

Wallahualam.
Tags: khutbah, puasa, ramadhan
Subscribe

Posts from This Journal “puasa” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments