mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Berbakti kepada ibu bapa

PELBAGAI rungutan keluar dari mulut anak yang tidak mampu menjaga ibu bapa mereka yang sedang uzur atau sakit.

Keadaan itu membayangkan bukan mudah mendapat reda ibu bapa. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Keredaan Allah berada dalam keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah berada dalam kemarahan mereka.” (Riwayat al-Tirmizi). 

Bapa berperanan sebagai ketua keluarga yang bertungkus-lumus mencari nafkah bagi menyara makan dan minum serta keperluan isteri dan anak. 

Sebab itulah Islam meletakkan lelaki sebagai ketua bagi wanita. Begitu juga dengan tugas dan pengorbanan ibu, bermula daripada kesusahan mengandung selama sembilan bulan dan bergadai nyawa melahirkan anak.

Ibu juga menguruskan rutin harian rumah tangga seperti mengasuh, memasak, mengemas dan membasuh. Malah, ibu turut bekerja bagi meringan beban keluarga.


Ibu bapa amat berjasa dalam kehidupan anak, justeru anak wajib menghormati dan berbakti kepada orang tua mereka. 

Berbakti kepada ibu bapa termasuk mentaati perintah, melaksanakan hak serta menjauhi tingkah laku yang boleh menyakiti hati mereka. 

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud, “Dan Tuhanmu perintahkan, supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “uuh”, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’ ayat 23-24). 

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud r.a katanya: Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan baginda. (Riwayat Muslim). 

Kewajipan berbakti terhadap ibu bapa tidak terhenti apabila mereka meninggal dunia sebaliknya perlu sentiasa berdoa; menunaikan wasiat; menunaikan janji; melakukan apa yang mereka sukai; berbuat baik dengan saudara mara dan sentiasa memuliakan sahabat mereka. 

Diriwayatkan daripada Abi Usaid Malik bin Rabi’ah bahawa ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah, tiba-tiba datanglah seorang lelaki daripada kabilah Bani Salamah berkata: “Ya Rasulullah, adakah terdapat kebaikan yang dapat saya lakukan kepada kedua ibu bapa saya yang telah meninggal dunia? Rasulullah menjawab: Ya, ada. Engkau berdoalah untuk keduanya, meminta diampunkan dosa-dosanya, tunaikan wasiat dan janji-janjinya, hubungkan silaturahim dengan saudara dan keluarganya, dan hormati serta muliakan kawan-kawannya. “(Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, dan Ibnu Hibban). 

Diriwayatkan daripada Abu Zar al-Ghifari bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang menziarahi ibu bapanya, maka Allah mencatat untuknya setiap langkahnya dengan 100 kebaikan dan menghapuskan 100 kejahatan serta mengangkat untuknya 100 darjat, apabila dia duduk di hadapan kedua-dua ibu bapanya serta bercakap dengan perkataan yang baik, maka kelak pada hari kiamat Allah akan memberi kepadanya cahaya yang memancar di hadapannya. Apabila dia kembali dari ziarahnya itu, maka kembalilah dia dengan mendapat keampunan.” (Riwayat al-Bukhari). 

Perintah Islam supaya menghormati ibu bapa itu berbentuk umum tidak kira sama ada Islam atau tidak. Cuma bagi ibu bapa yang bukan beragama Islam, perintah menghormati itu dengan bersyarat iaitu selagi mana ibu bapa tidak menyuruh anaknya melakukan perkara mensyirikkan Allah. 

Tidak wajar sekali seorang anak menghantar ibu bapa mereka yang lanjut usia ke rumah orang tua atau rumah kebajikan walau apa alasan sekali pun. 

Sepatutnya, ketika usia tua, anak-anak memberi kasih sayang, sama seperti dilakukan ibu bapa ketika anak-anak masih kecil.


Oleh Mohd Shukri Hanapi rencana@hmetro.com.my
Sumber: 
 
myMetro Variasi Ad Din Khamis, 31 Mei 2012
Tags: agama, ibubapa
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments