mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Permasalahan haji

HAJI merupakan ibadat yang difardukan oleh Allah kepada hamba-Nya sekali untuk seumur hidup jika dia berkemampuan. Justeru, terdapat banyak permasalahan yang dilakukan sepanjang mengerjakan rutin-rutin ibadat haji yang kadangkala membawa kepada ketidaksempurnaan.

Lantas, jemaah perlu prihatin terhadap kesalahan yang dilakukan, kerana ketidaksahan dalam ibadat haji memberikan kesan jangka panjang terhadap amalan-amalan lain yang berbangkit selepasnya, seperti urusan nikah kahwin.


Ketidaksahan dalam ibadat haji beri kesan jangka panjang

PERMASALAHAN yang dilakukan sepanjang mengerjakan rutin-rutin ibadat haji yang kadangkala membawa kepada ketidaksempurnaan. - GAMBAR HIASAN

Semoga dengan penerangan ini dapat memberi sedikit gambaran ringkas tentang persoalan dalam mengerjakan ibadat haji. Begitu pun, pihak Tabung Haji, selain menyediakan buku-buku panduan ibadat haji dan umrah, turut menyediakan talian secara terus kepada jemaah sekiranya menghadapi kesulitan dalam melakukan ibadat.

Pembimbing ibadat haji juga bersedia membantu para jemaah dalam menyelesaikan permasalahan mereka. Tinggal lagi, para jemaah tidak perlu segan bertanyakan soalan. Semoga haji yang dikerjakan sempurna dan diterima-Nya.

Berikut beberapa permasalahan yang berbangkit dan sering ditanya oleh jemaah.

1. Apakah hukum bagi jemaah yang telah berniat ihram terlebih dahulu sebelum memakai ihram dan adakah individu dianggap telah berniat ihram dan terikat dengan larangan ihram jika melafazkan niat ihram semasa kursus haji?

Jemaah yang telah berniat ihram terlebih dahulu sebelum memakai ihram, Ihramnya sah, tetapi jemaah tersebut dikenakan dam, iaitu dam takhyir dan taqdir. Niat ihram yang dilafazkan semasa kursus haji hanya sebagai proses pembelajaran atau latihan amali dan individu tersebut tidak terikat dengan apa-apa larangan ihram.

2. Apakah yang boleh dan 
tidak boleh dilakukan 
semasa haid selepas wuquf 
di Arafah?

Jemaah wanita yang didatangi haid sama ada sebelum atau selepas wukuf di Arafah boleh menunaikan semua rukun dan wajib haji, bermula daripada niat haji dan seterusnya berwukuf dan melontar jamrah, kecuali tawaf, sa’ie dan bertahallul. Ini kerana tawaf tidak boleh dilakukan dalam keadaan haid, sa’ie pula tidak boleh dilakukan kerana ia mengiringi tawaf dan tahallul hanya boleh dilakukan setelah selesai sa’ie.

3. Apakah hukumnya jika terdapat jemaah haji wanita yang memakan ubat penahan haid kerana menganggap haid akan mengganggu penumpuan, seterusnya merugikan masa untuk beribadat?


Seseorang yang kedatangan haid semasa di tanah suci dan menerima dengan reda ketentuan Allah atasnya akan diganjarkan pahala oleh Allah SWT. Ini kerana haid ialah suatu yang normal dan ketentuan Ilahi pada setiap wanita. Wanita tersebut tidak boleh menganggap ia mengganggu penumpuan terhadap ibadat, kerana menerima dengan reda terhadapnya adalah satu bentuk ibadat juga kepada-Nya. Oleh itu, wanita tidak perlu merasa tertekan atau dukacita dengan keadaan itu.

4. Jemaah haji lelaki sedang melakukan tawaf dan bersentuh secara tidak sengaja dengan seorang wanita. Walau bagaimanapun, syahwatnya terangsang dan keluar mazi. Dia meneruskan tawaf, kemudian sa’ie dan seterusnya bertahallul. Apakah sah pekerjaannya?

Seseorang yang mengerjakan tawaf mestilah berada dalam keadaan berwuduk. Jika wuduknya terbatal, maka tawafnya juga batal atau tidak sah. Dalam hal ini, wuduk jemaah tersebut telah terbatal kerana syahwatnya terangsang dan keluar mazi. Oleh itu, tawafnya tidak sah kerana dia tawaf dalam keadaan batal wududan oleh kerana itu sa’ie serta tahallulnya juga tidak sah.

5. Jemaah telah melakukan sa’ie, setelah selesai empat pusingan dia berhenti dan pulang ke hotel penginapan. Keesokannya dia kembali dan menyelesaikan baki tiga pusingan lagi sa’ie tersebut. Adakah sah sa’ienya?

Sa’ienya sah, kerana hukum muwwalat (berturut-turut) dalam sa’ie adalah sunat sahaja. Tetapi hendaklah dia memulakan sa’ie dari tempat di mana dia berhenti atau memulakannya di tempat permulaan sa’ie, iaitu di Safa.

6. Sesudah selesai melontar Jamrah al-Kubra, jemaah telah menanggalkan ihramnya dan memakai jubah tetapi dia belum bergunting. Adakah dia dikenakan dam dan apakah bentuk damnya?

Jika jemaah memakai pakaian yang bersarung sebelum bercukur atau bergunting dia dikenakan dam. Damnya ialah takhyir taqdir, iaitu boleh memilih sama ada untuk menyembelih seekor kambing atau memberi makan enam fakir miskin setiap orang satu cupak beras (dalam kadar SR5 bagi 1 cupak) atau puasa tiga hari. (Jemaah belum menyempurnakan Tahallul Awwal iaitu melakukan dua daripada tiga perkara, melontar Jamrah al-Kubra, tawaf dan bercukur atau bergunting).

7. Jika jemaah tidak melontar Jamrah al-Kubra pada hari ke-10 Zulhijjah atau tidak melontar pada hari ke-11 dan 12 Zulhijjah?

Bagi jemaah yang tidak melontar Jamrah al-Kubra atau tidak dapat melontarnya pada hari Nahar (hari ke 10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik iaitu 11 dan 12 Zulhijjah, maka dia bolehlah melontar pada hari ketiga (13 Zulhijjah) sebelah pagi atau petang tetapi hendaklah mendahulukan lontaran hari Nahar, diikuti dengan lontaran hari pertama dan kedua (hari 11, 12) dan seterusnya membuat lontaran untuk hari ketiga (13) sebelum atau selepas gelincir matahari tetapi hendaklah dilakukan sebelum terbenamnya matahari. Jika matahari 13 Zulhijjah telah terbenam, tidak sah lontarannya.

Tags: haji, umrah
Subscribe

Posts from This Journal “haji” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments