mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kenali sukan sunah Nabi

ISLAM mendidik umatnya untuk mencapai kebahagiaan akhirat tanpa mengetepikan kesejahteraan duniawi. Justeru, amalan riadah atau bersukan menjadi sebahagian perkara yang dititikberatkan agama ini bagi melahirkan masyarakat yang cergas dan cerdas.

Umat Islam tanpa mengira faktor usia wajar memanfaatkan masa terluang dengan melakukan aktiviti riadah dan bersukan untuk mengekalkan tahap kecergasan tubuh badan seterusnya dapat menunaikan amal ibadah yang difardukan dengan sempurna dan khusyuk.

Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya supaya menjaga kesihatan, memiliki fizikal yang kuat serta terhindar daripada sebarang penyakit memudaratkan. Hal ini penting, umat Islam yang mempunyai tenaga dan fizikal yang kuat dapat menzahirkan rasa gerun dalam kalangan musuh Islam yang sentiasa mengambil kesempatan untuk mengancam dan melakukan provokasi terhadap agama ini.

Dalam pada itu, Rasulullah SAW juga sentiasa menunjukkan contoh terbaik kepada sahabat dalam soal ibadah mahupun perkara membabitkan kehidupan seharian. Contohnya, baginda pernah menyertai sahabat yang bermain anak panah sebagai aktiviti riadah.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah (kuda),” (riwayat Muslim).

Banyak hadis menyebut mengenai sukan yang sangat popular pada zaman Rasullullah SAW dan dilakukan sendiri baginda seperti memanah, menungang kuda dan berenang.

Secara ringkas, aktiviti memanah, menunggang kuda dan berenang dapat membantu individu terutama generasi muda membentuk emosi positif, membina konsentrasi, sabar dan berdisiplin tinggi selain membantu mengatasi rasa ketakutan dan membentuk keyakinan diri.

Bukan itu sahaja, seluruh anggota tubuh badan dari kepala hingga ke kaki merangkumi aspek fizikal dan mental akan mendapat manfaatnya. Pada masa sama, segala otot dan tulang rangka digerakkan untuk membuat satu gerakan yang berkoordinasi antara dua anggota kaki dan dua anggota tangan, selain merangsang stamina (sistem kardiovaskular).

Sementara itu, manfaat memanah dan berkuda juga tidak terbatas sebagai aktiviti kecergasan semata-mata tetapi turut membantu penguasaan tentera Islam semasa di medan peperangan serta menjadi ketumbukan utama dalam sistem ketenteraan ketika itu.

Dalam pada itu, aktiviti memanah dan berkuda turut popular di Nusantara sehingga terdapat dalam catatan perjalanan seorang pengembara Islam dari Maghribi, Ibnu Battuta (1304 hingga 1370-an). Beliau menceritakan tentang seorang pahlwan wanita, Che Siti Wan Kembang menjadi pemanah berkuda, sekali gus membuktikan aktiviti tersebut sudah beratus tahun wujud di Nusantara. Dalam catatan tersebut, pemerintah Kelantan itu dicatatkan sebagai Urduja membeli busur dan anak panah daripada orang-orang Arab dan Turki. – DHIYA’ZULHILMI DAUD / HALIM KHALID

Tingkat kesihatan jantung, otot dengan renang

JELAS Muhammad Ikhfal Hakimi Damaseli, kebaikan sukan renang bukan sahaja dapat meningkatkan stamina badan malah memiliki beberapa manfaat lain yang umum tidak sedia maklum.

Katanya, antara kebaikan berenang adalah seperti membentuk dan menguatkan otot, meningkatkan kesihatan jantung, membakar kalori dan mencegah stres.

“Kepadatan air menyebabkan setiap pergerakan tubuh seolah-olah sedang berlari laju. Berenang dengan pantas dapat meningkatkan kekuatan serta ketahanan otot badan.

BERENANG bukan sahaja dapat meningkatkan stamina malah membina kekuatan otot.

“Pada masa sama, jantung dapat mengepam ke seluruh tubuh dengan baik sekali gus perenang dapat membakar kalori pada tubuh badannya,” katanya.

Kuda beri manfaat seluruh badan

MENURUT Pengasas Ladang Alam Warisan (LAW), Muhamad Akmal Mohamad Dahalan, menunggang kuda dapat memberi manfaat kesihatan seluruh anggota badan dari segi fizikal hingga mental.

“Semasa menunggang, seluruh anggota badan seperti tulang belakang, sistem saraf, organ dan otot akan bergerak serentak antara satu sama lain seolah-olah ia diurut.


SEKIRANYA pemanah gagal mengawal emosi, panahan mereka akan tersasar dari sasaran

“Malah, geseren tersebut dapat menjadikan organ seksual lelaki atau wanita menjadi semakin sihat,” katanya.

Katanya, selain kebaikan terhadap kesihatan fizikal, menunggang kuda juga dapat memberikan manfaat kepada kesihatan mental seperti mendidik penunggang mengawal emosi supaya sentiasa tenang walau dalam keadaan yang mencabar.

Jelas Muhamad Akmal, untuk berkuda, seorang pemanah perlu mempercayai kuda yang ditunggangnya.

“Interaksi antara penunggang dan kuda sangat penting. Jika wujud interaksi ini, kuda akan membawa penunggangnya mengikut laluan dan kelajuan yang sepatutnya.

“Pergerakan mestilah seiring. Jadi, penunggang akan mudah mengimbangkan badan,” jelasnya.

Memanah bentuk perwatakan, keperibadian

BAGI Pengajar LAW, Syahir Iidham Md. Saberi, sukan sunah seperti memanah juga dapat dikaitkan dengan proses muhasabah bagi menilai diri iaitu fikiran, pendirian, proses membuat keputusan dan sebagainya.

Ini kerana katanya, pemanah yang baik perlu berada dalam keadaan yang tenang sewaktu melepaskan busar panah.

“Melalui pengamatan saya, aktiviti memanah secara tidak langsung membentuk perwatakan dan keperibadian pemanah.

“Pemanah mempunyai sifat dan sikap lemah-lembut, merendah diri dan tenang. Tidak ada langsung perasaan bongkak atau sombong meskipun jaguh dalam  memanah,” katanya.

Tambahnya, sahsiah terpuji mereka ini terbit kerana mereka adalah antara individu yang mengikut sunah Nabi meskipun ada antara mereka bukan beragama Islam.

PASUKAN memanah akan menyalut hujung anak panah dengan kain sebelum membakarnya sebagai taktik mengetahui kedudukan musuh.


MENGEMBALA kambing juga merupakan sunah Rasulullah SAW yang dapat memberi manfaat kepada kesejahteraan umat Islam.


Tags: rasul
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments