mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ramadan membangun ketaatan jiwa

Al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 183 memberikan landasan bahawa Siyam membawa maksud membangun jiwa muttaqeen. Jiwa muttaqeen adalah jiwa yang taat, patuh, akur dan tunduk iaitu jiwa ibadullah dan ibadurrahman. Ia mendorong jalan wehdah (kesatuan) kepada warga umat.

Telah sekian lama warga umat berpecah kerana fahaman politik, perbezaan aliran fikiran (fikrah), kepentingan cita-cita jemaah dan akhirnya hilang fokus dan menyebabkan jiwa muttaqeen tercalar dan perpecahan serta perbalahan terus berlaku.

Al-Quran dan as-Sunnah memberi pedoman yang sangat jelas pentingnya jiwa muttaqeen dibangunkan (inna aqramaqum ‘indallah hi atqaqum - al Hujurat:13) dan persaudaraan sesama Islam diperkukuhkan (innamalmukminu na ikhwah). Malangnya, nafsul amarah yang terlalu kuat dalam dendam dan kebencian politik duniawi menyebabkan permusuhan tajam terjadi dan jiwa besar ke arah wehdah (kesatuan) tidak terbangun.

Ramadan seharusnya membawa kita keinsafan merenung ke dalam diri dan melihat keluar diri mengenai pentingnya wehdah atas asas jiwa muttaqeen menjadi jalur utama dalam perjuangan memartabatkan ummah.

Lihat apa yang sedang berlaku di Yemen, Iraq, Bahrain, Mesir, Libya dan negara umat Islam yang lain terjebak dengan perpecahan sesama warga umat, berantakan dan berbunuhan sesama sendiri akibat aliran pandangan dan orientasi perjuangan yang tajam tanpa tolak ansur.

Gelagat yang sama sedang terlihat di Malaysia. Amat penting kumpulan induk dalam politik umat Islam di Malaysia memikirkan dengan serius betapa perpecahan ini boleh menggugat kelangsungan perjuangan Islam dan jangka panjangnya bakal memberi keuntungan kepada pihak ketiga.

Kesatuan umat amat dituntut terjadi khususnya dalam gerakan politik. Ini tidak bermakna kita ingin menggugat kedudukan orang bukan Islam. Islam sebagai agama rahmah alamiah memberi tempat kepada yang bukan Islam berperanan berasaskan etika manusiawi yang tinggi.

Jalur ini penting disuburkan kerana ia adalah realiti Malaysia yang menuntut sikap menyantuni dan kebijaksanaan yang tinggi. Congak politik demokrasi tidak menjadi jawapan mutlak kepada kekuatan umat Islam sekiranya umat Islam yang ada berantakan sesama sendiri. Ini menuntut kefahaman yang mendalam bahawa etika perbezaan dalam kalangan umat perlu disantuni dan titik persamaan perlu disuburkan.

Ramadan tidak saja mendidik hati dan nafsu supaya memiliki daya kawalan yang tinggi supaya kepentingan peribadi dan kelompok mahupun jemaah diselaraskan dengan kepentingan ummah. Ini tidak mudah bagi orang politik yang bergerak atas dendam mendalam dan kesumat tinggi dengan mengambil sikap membenci yang berkekalan.

Pertimbangan perebutan kuasa semata-mata bukanlah jawapan terbaik dan mutlak untuk membela Islam dan umat. Apa makna kita mendukung perjuangan atas nama Islam sedangkan perpecahan dalam kalangan kita terjadi dengan parah sekali.

Ramadan mendidik kita melalui jihad nafsu. Ramadan mengajak kita berjemaah dan bertadarus. Ramadan menganjurkan jiwa muhasabah supaya lahir kesedaran yang lebih jernih ke arah kasih sayang, persaudaraan dan wehdah.

Jika ini tidak berlaku Ramadan tidak lebih hanya sebagai ritual dan kelaziman. Ini tidak memberi kesan perjuangan untuk memartabatkan maruah umat. Dan akhirnya Ramadan akan menyusul lagi. Status umat Islam semakin berpecah. Dan akhirnya apa yang sedang dilalui oleh umat di negara Islam yang lain akan berlaku di negara kita. Menang jadi abu kalah jadi orang.

Renungkan hakikat Ramadan membangun jiwa muttaqeen dan mengembalikan warga umat kepada jiwa fitrah. Jiwa fitrah mengajak kita melakukan muhasabah apa yang terjadi pada masa lalu dan pengajaran yang harus diambil memperbaikinya. Jika ini tidak terjadi merayakan Aidilfitri hanya adat dan tidak membawa umat kepada kemenangan.

Kemenangan hanya boleh berlaku sekiranya persaudaraan bertambah kuat, muafakat bertambah erat, maruah diri bertambah meningkat bagi membolehkan warga umat duduk semeja, berbincang dengan ikhlas, menjadi pemaaf yang unggul, memulakan tekad baharu, memperbaiki kesilapan yang terjadi dan kembali kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah yang sebenar. - Jendela To'Ki Utusan Malaysia Rencana Agama 23 Jun 2015

Tags: jiwa, ramadhan
Subscribe

Posts from This Journal “jiwa” Tag

  • Khutbah Jumaat Jiwa Merdeka

    Petikan Khutbah Jumaat 27 Ogos 2021M/ 18 Muharam 1443H JAKIM Jiwa Merdeka Tanggal 31 Ogos 1957 adalah detik paling bersejarah bagi negara ini.…

  • Khutbah Jumaat: Membina Kekayaan Jiwa

    Petikan Khutbah Jumaat 08 September 2017M / 17 Zulhijjah 1438H: JAIS Membina Kekayaan Jiwa Harta benda yang bertimbun dan wang ringgit yang…

  • Ilmu bersih jiwa, jadikan umat hebat

    Hari Jumaat adalah hari ilmu, di mana kita terutamanya kaum Adam akan berhimpun untuk mendengarkan ilmu daripada khatib ketika solat Jumaat. Islam…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments