mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Keberkatan rahsia bertahan

SENTIASA melakukan solat sunat dhuha dan yakin dengan rezeki daripada Allah SWT. Begitulah komen ringkas yang diberikan oleh ahli perniagaan, Shamsuri Mohd. Yusof, 43, ketika ditanya mengenai rahsia pencapaiannya sejak menceburi dalam sektor perniagaan.

Walaupun tidak memperoleh keuntungan lumayan sehingga jutaan ringgit, namun baginya yang mengendalikan perusahaan pembekal daging segar import dan pemborong runcit itu, cukup sekadar rezeki yang dikurniakan mampu menampung modal pusingan bagi meneruskan perniagaan selain wang gaji pekerja.

Pengarah ZS Armin Sdn. Bhd. itu berkata, menjadi kewajipan sebagai peniaga Islam dalam memastikan produk yang ditawarkan kepada majoriti pengguna yang juga beragama Islam itu adalah mematuhi syarak dalam segala aspek.

Bukan hanya dilihat secara fizikal pada produk yang ditawarkan malah beliau berkata, modal yang diperoleh daripada sumber yang bersih dan menepati syariah juga mempengaruhi bagi memastikan status benar-benar halal sesuatu produk.

Itulah yang ditekankan oleh Shamsuri bersama rakan kongsi niaganya, Zulkifli Abd. Ghani bagi memastikan perniagaan yang diusahakan bukan sahaja memberi keuntungan di dunia, malah keberkatan sehingga ke hari akhirat.

“Dalam persaingan perniagaan yang sengit, pelbagai kemungkinan boleh berlaku kepada peniaga. Mungkin hari ini kita berjaya, tetapi tidak mustahil esok kita boleh jatuh disebabkan pelbagai faktor dan kekangan yang tidak dijangka lebih-lebih lagi dalam sektor perniagaan yang kami ceburi ini.

“Namun, bagi kami berbekalkan keyakinan dengan menyerahkan takdir kepada Allah SWT, perniagaan yang dijalankan ini sentiasa dilimpahkan dengan rezeki yang murah walaupun pada waktu kecemasan, dan sentiasa akan dipermudahkan.

“Sehingga mampu membawa syarikat ini mampu bertahan sejak penubuhannya sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Seri Kembangan, baru-baru ini.

Bermula dengan tenaga kerja hanya dua orang, ZS Armin Sdn. Bhd. kini mempunyai sebanyak 40 kakitangan yang mengurus dan menggerakkan perniagaan ke beberapa lokasi penghantaran di seluruh negara.

ZS Armin Sdn. Bhd. merupakan antara pengusaha pengimport daging sejuk beku segar Muslim Bumiputera yang mengedarkan jualan di pasar-pasar borong, restoran dan juga mengikut tempahan.

Syukur dibantu Agrobank

Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran dalam perniagaan

ZS Armin Sdn. Bhd. yang diterajui Shamsuri Mohd. Yusof (kanan) dan Zulkifli Abd. Ghani kini mempunyai 40 kakitangan yang mengurus dan menggerakkan perniagaan di beberapa lokasi penghantaran di seluruh negara.

Berkongsi kisah membangunkan perniagaan, bekas penerbit program di sebuah stesen televisyen swasta itu berkata, memperoleh modal yang menepati syariah merupakan kekangan utama yang dihadapi ketika ingin memulakan perniagaan pada 2005.

Namun, berikutan tidak mempunyai pilihan memaksa graduan lepasan Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu untuk menggunakan sumber yang ada bagi mengelakkan perniagaan terbantut.

Sehinggalah beliau dimaklumkan mengenai tawaran pinjaman daripada Agrobank pada tahun 2013 yang menyediakan pembiayaan modal perniagaan patuh syariah sepenuhnya.

“Perbankan Islam masih tidak popular pada masa itu dan boleh dikatakan tidak ada bank yang menawarkan pembiayaan patuh syariat pada awal ingin mendapatkan modal.

“Oleh itu, tidak banyak pilihan yang kami ada selain menggunakan pinjaman yang ditawarkan oleh perbankan jenis konvensional.

“Sehinggalah kami beralih ke Agrobank yang menawarkan pembiayaan Islam dan mampu mengambil alih pinjaman yang dibuat sebelum ini, di samping perkhidmatan yang lebih bersih dan meyakinkan. Ini bagaikan satu rahmat bagi kami yang telah lama mencari-cari.


KEYAKINAN dan keberkatan merupakan rahsia pencapaian cemerlang ZS Armin Sdn. Bhd. dalam dunia perniagaan.

“Ini kerana, menjadi tuntutan fardu kifayah sebagai seorang Muslim yang menceburi dalam bidang ini untuk memastikan umat Islam memperoleh bekalan makanan daripada sumber yang benar-benar mematuhi syariah,” jelasnya.

Shamsuri berkata, selain sumber modal dan produk yang patuh syariat, percampuran produk ketika proses simpanan dan penghantaran juga boleh menjejaskan status halal sesuatu produk jika didapati bercampur dengan produk tidak halal.

Itulah tambahnya, antara perkara yang dilihat kurang dititikberatkan oleh sesetengah pengusaha dan peniaga dalam membekalkan daging segar kepada pengguna dikebanyakan pasar atau pusat membeli belah.

“Bagi ZS Armin Sdn. Bhd., kita hanya membekalkan produk halal yang diimport daripada pembekal yang diiktiraf halal. Oleh itu produk yang dipasarkan akan terpelihara daripada masalah percampuran gudang simpanan atau lori penghantaran,” katanya.

Bermimpi ternakan

Walaupun boleh dikatakan menjawat jawatan yang selesa ketika bertugas sebelum ini, namun bagi Shamsuri dan Zulkifli, minat dalam perniagaan sejak belajar di institut pengajian tinggi mendorong kedua-dua rakan baik itu untuk berubah arah menjalankan perniagaan.

Shamsuri berkata, biarpun sedar risiko yang bakal ditempuh, namun hasil petunjuk daripada Allah SWT yang memberikan panduan kepadanya dengan lebih yakin untuk beralih alih dalam sektor tersebut.

“Sebelum memulakan perniagaan, perkara pertama yang kami lakukan adalah melakukan solat hajat dan istiqarah meminta petunjuk daripada Allah SWT mengenai keputusan yang ingin dipilih ini.

“Apa yang menguatkan keyakinan saya dalam memilih bidang perniagaan adalah bermimpi melihat haiwan ternakan. Selain minat sejak menuntut di universiti, ia lebih meyakinkan saya untuk memilih keputusan ini,” ujarnya.

ZS Armin Sdn. Bhd. bermula dengan hanya 10 ekor lembu yang dibela di ladang Batu 9, Hulu Langat sebelum beralih kepada perniagaan mengimport daripada luar yang dilihat lebih menawarkan pulangan memberangsangkan.

Transformasi perbankan Islam Agrobank

MENGHASILKAN produk yang halal dan tayyiba bukan sahaja dinilai daripada kaedah pembuatan yang menepati syariah, tetapi memerlukan penelitian bermula daripada akar umbi iaitu dalam aspek sumber modal.

Prihatin terhadap keperluan tersebut, Agrobank yang menawarkan perkhidmatan pembiayaan modal bagi peniaga kecil dan sederhana mengorak langkah dengan menyasarkan untuk melaksanakan operasi perbankan Islam sepenuhnya pada tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman berkata, usaha untuk menuju ke arah operasi perbankan Islam telah dijalankan secara berperingkat sejak bank dikorporatkan dan Agrobank kini sudah berada pada fasa akhir bagi pelaksanaan keseluruhan.

Ini tambahnya, meliputi perkhidmatan pembiayaan dan simpanan deposit yang masing-masing telah beralih kepada perbankan Islam sepenuhnya, manakala terdapat sedikit aset kekal yang masih berasas konvensional.

“Secara keseluruhan, Agrobank telah mencapai 100 peratus pelaksanaan bagi simpanan deposit dan pembiayaan, manakala 95 peratus bagi sesetengah aset kekal. Kita telah berhenti menawarkan perkhidmatan perbankan konvensional kepada pelanggan termasuk di semua cawangan di seluruh negara sejak lima tahun lalu.

“Langkah ini kerana, kita mahu meletakkan Agrobank ke arah perbankan Islam sepenuhnya dengan menawarkan produk pembiayaan dan simpanan deposit yang patuh syariah dan memberi lebih manfaat kepada pelanggan.

“Malah, Agrobank terus komited untuk menyediakan dan menambah pelbagai kemudahan pembiayaan yang komprehensif dan sesuai dengan keperluan usahawan tani bagi menjalankan projek masing-masing,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tambah nilai

Usaha itu juga tambahnya selari dengan fokus Agrobank pada tahun ini yang menekankan dalam sektor pemakanan kepada peniaga dan pengusaha.

“Kita melihat menyediakan perkhidmatan perbankan Islam merupakan pilihan yang tepat berikutan permintaan pasaran halal di negara ini yang tinggi.

“Ini secara tidak langsung mampu menambah keyakinan pembeli mengenai status halal sesuatu produk apabila menggunakan modal yang berasaskan sumber patuh syariat yang menjadi nilai tambah pengusaha bagi memasarkan produk.

“Malah, difahamkan golongan bukan Islam juga mengakui lebih suka menggunakan perbankan Islam kerana lebih telus dan memberi pulangan tinggi,” jelasnya.

Agrobank akan dilancarkan secara rasmi sebagai institusi perbankan Islam sepenuhnya pada 1 Julai ini dengan mengadakan majlis pelancaran pada 30 Jun ini.

Sempena dengan pelancaran itu, Agrobank turut menganjurkan forum bertajuk, Jihad Ekonomi dalam Pelaksanaan Perbankan Islam: Perspektif Baru bagi membincangkan isu berkaitan perbankan islam dan kriteria dalam proses pengukuhan ekonomi.

Pada 2014, Agrobank menyumbang 32.1 peratus (RM2.61 bilion) kepada pembiayaan sektor makanan daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM5.5 bilion.

Di samping itu, Agrobank menyumbang 11.1 peratus (RM4.01 bilion) daripada keseluruhan RM32 bilion pembiayaan pertanian di dalam negara.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan pembiayaan Agrobank, boleh melayari www.agrobank.ny atau menghubungi pusat khidmat pelanggan di talian 1300-88-2476.

Tags: berkat, ekonomi, yakin
Subscribe

Posts from This Journal “berkat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments