mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bulan latihan, tarbiah

MARILAH sama-sama kita memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT kerana pada detik ini, pada saat ini kita masih lagi hidup. Darah kita masih mengalir, nadi kita masih berdenyut, nafas kita masih terus turun dan naik, kita masih lagi mampu untuk menatap wajah insan-insan yang kita kasih dan sayang. Alhamdullilah.

Walau bagaimanapun akan datang satu masa, akan datang satu saat, kita akan dimandikan, dikafankan, disembahyang oleh orang. Kemudian diusung ke tanah perkuburan dan ditinggalkan di dalam tanah, bersendirian tanpa teman.

Sesungguhnya mati bukan noktah kepada kehidupan. Mati bermakna bermulalah kehidupan kita. Kehidupan yang lebih hakiki, lebih abadi. Apa yang akan berlaku ke atas kita pada kehidupan kita yang satu lagi itu bergantung bagaimana kehidupan kita di atas dunia ini. Kalau padi yang kita tanam, padilah yang kita akan tuai. Tapi kalau lalang yang dibiarkan maka lalanglah yang kita akan dapat.

Peluang jana kualiti peribadi insan bertakwa

SALAH satu sifat orang bertakwa ialah semasa hidup, hatinya sentiasa terpaut dengan rumah Allah. - GAMBAR HIASAN

Ar-Rasul SAW menegaskan bahawa sebaik-baik bekal adalah takwa. Sesungguhnya orang yang paling mulia daripada kalangan kita pada sisi Allah adalah orang yang bertakwa. Maka Allah mendatangkan bulan Ramadan. Berpuasa bulan Ramadan akan menjadi kita orang yang bertakwa.

Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu puasa, sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang terdahulu dari kamu, mudah-mudah kamu menjadi orang bertakwa.

Daripada ayat ini kita boleh buat satu formula: IMAN + PUASA = TAKWA

Bagaimanapun Allah meletakkan di dalam ayat tadi perkataan la al la yang bermaksud mudah-mudahan. Maka dengan itu, belum tentu dengan kita berpuasa, takwa akan dapat dibina dan dijana. Ini adalah kerana ia bergantung kepada kualiti puasa kita.

Sebab itu kata Nabi: “Ramai umat aku berpuasa, tetapi mereka hanya dapat lapar dan dahaga.”

Maka penting untuk kita sama-sama memuhasabah diri. Bagaimanakah mutu puasa kita selama ini? Marilah kita jadikan bulan Ramadan tahun ini adalah bulan Ramadan yang terbaik dari yang sebelum ini.

Dalam dunia pengurusan terdapat istilah input, proses dan output. Puasa bukan output. Puasa adalah proses. Proses untuk melahirkan takwa. Maka penting untuk kita sama-sama menginsafi akan hakikat ini. Kita berpuasa buka hanya kerana berpuasa tapi kita berpuasa untuk menjana budaya hidup orang bertakwa.

Dalam kehidupan ini penting untuk kita mempunyai matlamat yang jelas. Maka sebab itu dalam konteks organisasi kita ada visi dan misi. Dalam konteks individu pun kita ada mission statement. Dalam konteks puasa yang kita jalani, melalui ayat tadi kita boleh bentuk satu objektif, iaitu setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan, diakhirnya orang yang beriman akan menjadi mereka yang bertakwa.

Allah SWT dengan sifat kasih-sayang-Nya telah mendatangkan dalam bulan Ramadan modul-modul khusus untuk menjadi katalis ke arah penjanaan budaya hidup orang bertakwa dalam kehidupan kita.

Modul 1: Niat

Ia mempunyai peranan penting dalam kehidupan kita. Hari ini disebabkan kita biasa berniat dalam melaksanakan ibadah seharian, hingga kita tidak merasakan kekuatan yang ada di sebalik niat itu. Hingga niat yang kita ungkapkan hilang rohnya.

Modul 2: Tarawih

Apakah yang tersirat disebaliknya? Orang bertakwa sentiasa menjadikan masjid sebagai paksi kehidupannya. Nabi Muhammad SAW sendiri apabila berhijrah ke Madinah, perkara pertama yang baginda lakukan adalah mendirikan masjid. Kata baginda, nanti di Padang Mahsyar akan ada tujuh golongan manusia yang akan diletakkan oleh Allah di atas mimbar yang bercahaya-cahaya. Satu daripada golongan tersebut adalah mereka yang hatinya, semasa hidup di dunia sentiasa terpaut dengan masjid.

Allah SWT menegaskan bahawa orang yang mengimarahkan rumah-rumah Allah (masjid, surau atau musalla) mereka adalah orang yang benar-benar beriman dengan-Nya dan Hari Akhirat. Tidak cukup dengan itu Allah menegaskan mereka juga adalah orang yang jaga solat dan menunai zakat serta tidak takut pada apa-apa selain-Nya. Kelima-lima kualiti ini adalah sifat-sifat orang-orang bertakwa yang dianugerahkan kepada mereka yang suka mengimarahkan rumah-rumah-Nya.

Sunnah yang terpenting dalam bulan Ramadan adalah iktikaf. Nabi memperbanyakkan masa di dalam masjid. Maka penting untuk kita berusha untuk menghidupkan amalan ini.

Selama sebulan kita menghubungkan diri dengan rumah Allah. Insya-Allah hati kita akan terpaut dengannya. Sesungguhnya dalam masjid ada suasana takwa, suasana malaikat dan suasana taat. Maka apabila kita banyak berada dalam suasana itu, maka ia akan memberi kesan kepada kita, sehingga kerananya akan mudah berlaku proses pembinaan personaliti takwa dalam diri kita.

Modul 3: Sahur

Sahur adalah satu lagi modul khas yang Allah letakkan di dalam bulan ini sebagai katalis ke arah membentuk budaya hidup orang yang bertakwa. Apa tujuan sahur. Dalam minda umat hari ini, sahur itu dilihat sebatas untuk makan. Sahur tujuannya bukan untuk makan. Sebab itu makan sunnahnya kita lambatkan. Lagi lambat lagi baik.

Mana mungkin kita makan kalau tidak bangun. Maka janganlah bangun hanya untuk makan. Orang bertakwa sentiasa bangun malam untuk beribadat kepada Allah. Maka kerannya janganlah kita bangun hanya untuk makan. Bangunlah dan berbadatlah dimalam hari.Sesungguh sahur adalah modul latihan untuk bangun malam bagi mentaqarrubkan diri kepada Allah.

Mana mungkin kita menjadi orang bertakwa kalau kita tidak menjadikan budaya bangun malam untuk beribadat ini, sebagai budaya kita.

Maka marilah kita jadi Ramdan kita tahun Ramdahan yang dapat membentuk kita kearah menjadikan malam hari kita, sebahagian darinya kita bangun untuk mendekatkan diri kita kepada Allah swt.

Modul 4: Puasa

Imam Ghazali rha. membahagikan puasa kepada tiga. Pertama puasa awam, kedua puasa khusus dan yang ketiga puasa khusus lil khusus.

Puasa awam adalah puasa menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Ini kita faham dan amat kita menjaganya.

Bagaimanapun untuk menjana takwa kita perlu menaikkan kualiti puasa kita ke tahap yang kedua dan yang ketiga.

Puasa yang kedua bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Bahkan berusaha untuk menyelamatkan diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan pahal puasa.

Bagaimana pahala puasa boleh batal? Bila kita berpuasa tetapi kita tidak menjaga pancaindera lain. Siapa orang bertakwa? Ia adalah orang yang mampu mentadbir urus jasadnya agar sentiasa berada di dalam rahmat dan kasih-sayang Allah.

Puasa ketiga adalah puasa yang tertinggi. Ia berkaitan dengan hati. Orang bertakwa adalah orang yang hatinya sentiasa ingat Allah dan sentiasa merasakan keberadaan dan kebesaran Allah Tuhan Rabbul Jalil.

Untuk kita menjadi orang bertakwa kita perlu betulkan kehidupan kita. Untuk betulkan kehidupan kita, kita perlu betulkan amal kita. Untuk betulkan amal, kita perlu betulkan jasad kita. Untuk betulkan jasad, kita perlu betulkan hati.

Oleh itu, dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini marilah kita ushakan hati kita agar sentiasa ingat Allah. Mana mungkin kita menjadi orang bertakwa, kalau hati kita kosong daripada mengingati Allah. (Bersambung esok)

Tags: niat, puasa, ramadhan, sahur, tarbiah
Subscribe

Posts from This Journal “tarbiah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments