mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Puasa tiada alasan untuk buat dosa

INGATAN kepada umat Islam yang masih ingat-ingat lupa terhadap ibadah puasa. Ibadah ini datang secara berpakej, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja. Malah ibadah ini juga tidak berakhir dengan berkumandangnya azan maghrib.

Sembahyang lima waktu tetap wajib dan mandatori, meskipun letih kerana berpuasa. Jangan memandai-mandai menganggap boleh dilonggarkan sedikit dengan tidak perlu mendirikan solat atas alasan tidak masuk akal itu.

Terkadang sudah menjadi trend untuk umat Islam memilih berbuka secara bufet di hotel atau di luar, walaupun sedikit mahal tetapi mereka yang dikurniakan rezeki daripada pemilik ibadah puasa itu masih mampu untuk membayarnya. Alhamdulillah itu rezeki masing-masing.

Lazimnya mereka akan bersiap-siap dengan memakai pakaian cantik, sesetengahnya siap dengan baju Melayu sepasang, yang wanita pula rambutnya ‘diset’ untuk memuliakan majlis berbuka puasa yang bakal dihadiri itu. Selepas azan, maka makanlah dengan sepenuh hati mungkin kerana ingin membalas dendam kerana telah menahan nafsu hampir sehari suntuk.

Apa yang mendukacitakan, terdapat sebahagian daripada umat Islam itu yang terlalu asyik ‘berkelah’ hingga mengabaikan waktu maghrib yang hampir luput. Seolah-olah ibadat puasa tamat dengan masuknya waktu maghrib.

Dalam senarai Rukun Islam, solat berada pada kedudukan kedua selepas mengucap dua kalimah syahadat dan puasa pula pada kedudukan ketiga, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji masing-masing berada pada kedudukan keempat dan kelima.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin membahagikan puasa kepada tiga tahap yang berbeza. Puasa al-umum, iaitu puasa bagi orang awam yang sekadar meninggalkan makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Kedua, puasa al-khusus yang menuntut pelakunya menahan penglihatan, pendengaran, lidah, kaki, tangan serta seluruh anggota daripada melakukan dosa. Ini adalah puasa bagi orang soleh.

Yang terakhir ialah puasa khusus al-khusus iaitu mereka yang menepati kriteria kedua-dua tahap puasa tadi dan ditambah pula dengan puasa hati iaitu membersihkannya daripada segala perkara yang berhubung kait dengan dunia. Ini adalah puasa para nabi, siddiqin dan juga muqarrabin.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri daripada makan dan minum (Allah tidak menerima puasanya).” - Riwayat Bukhari.

Ramadan sebenarnya amat istimewa. Selain setiap amalan digandakan pahalanya sehingga 700 kali, Allah juga memberikan jaminan untuk memberikan ganjaran yang tidak terjangkau. Asalkan kita berusaha mencari, jika kita menyombongkan diri, mana mungkin rahmat Allah akan menghampiri.

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amalan yang dilakukan anak Adam pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda.” Firman Allah: “Melainkan puasa, kerana sesungguhnya ia adalah bagi-Ku dan Aku yang akan memberikannya balasan pahala, kerana dia telah menahan syahwatnya dan makan minumnya kerana Aku.” – Riwayat Muslim.

Sementara itu, kepada wanita Muslim yang sedang ‘bercuti’, janganlah gunakan alasan itu untuk menghalalkan perbuatan memakai pakaian yang menyeksakan orang lain terutamanya semasa mengunjungi bazar Ramadan.

Janganlah berpakaian mencolok mata sebagai inisiatif menambahkan keimanan lelaki sekiranya kaum Adam itu bertindak menunduk dan menghindarkan pandangan mata. Memang ada yang alim, tetapi ramai juga yang ‘alim-alim kucing’. Ini kerana makhluk Allah itu adalah manusia biasa yang bukan semuanya mampu menahan diri daripada godaan nafsu.

Jadi tolonglah, janganlah pakat-pakat menambahkan dosa orang lain. Ingin dikongsikan satu tulisan ringkas atas nama Dr. Anwar Fazal yang berlegar dalam WhatsApp, “Kamu tahu apa yang paling menakutkan ketika bulan Ramadan? Saat kamu sedar yang hakikat kejahatan daripada diri kamu, bukan daripada syaitan.”

Juga memetik kata-kata pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias dalam WhatsApp: “Kalau dulu kita jahat, maka sekarang berubahlah jadi baik. Kalau tidak mampu untuk jadi baik, maka lakukanlah yang terbaik.” - Tarmizi Abdul Rahim Utusan Malaysia Rencana Agama 25 Jun 2015

Tags: dosa, puasa
Subscribe

Posts from This Journal “puasa” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments