mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jadikan Ramadan terbaik

ALLAH SWT dengan sifat kasih-sayang-Nya telah mendatangkan dalam bulan Ramadan modul-modul khusus untuk menjadi katalis ke arah penjanaan budaya hidup orang bertakwa dalam kehidupan kita. Dalam rencana semalam kita telah menghujahkan empat modul iaitu; niat, tarawih, sahur dan puasa.

Untuk sambungan modul seterusnya iaitu;

Wasilah ke arah menjadi insan yang benar-benar bertakwa


Lailatulqadar sebagai alat untuk mempertingkatkan usaha menjadi insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT. - GAMBAR HIASAN

MODUL 5: BERBUKA PUASA

Berbuka puasa adalah satu lagi modul penting untuk membentuk budaya hidup orang bertakwa. Adalah sunnah kita cepat dalam berbuka puasa. Namun cepat bukan hanya mula waktu mulanya, tetapi cepat juga dalam menamatkannya.

Kita hari ini berbukanya cepat tetapi lambat berhentinya. Kadang-kadang kita lihat seolah-olah hendak dijamakkan semua makanan yang telah kita tinggalkan, pada masa berbuka puasa. Nabi SAW menganjurkan agar kita berbuka dengan tamar dan manisan seperti madu dan susu.

Berbuka puasa ala sunnah akan membentuk budaya hidup orang bertakwa untuk sentiasa mendahului kehendak Allah dalam kehidupan. Dan memastikan kehendak Allah itu dilaksanakan serasi dan selari dengan sunnah Rasulullah SAW.

MODUL 6: LAILATULQADAR

Lailatulqadar bukan matlamat tetapi alat. Alat untuk merangsang budaya hidup orang bertakwa. Lailatulqadar berada pada 10 yang akhir dari Ramadan. Setelah 20 hari berlalu, maka 10 hari yang terakhir itu Allah SWT datangkan Lailatulqadar untuk kita mempertingkatkan usaha ke arah untuk membudayakan hidup dengan budaya hidup orang bertakwa.

Ibarat seorang ayah memberitahu kepada anaknya bahawa anaknya akan diberi hadiah sebuah motosikal jika dia mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Anak apabila diberitahu begitu, maka dia asyik ke kedai motor. Pergi sekolah pun teringat motor. Lihat cikgu pun nampak motor. Tujuan ayah adalah untuk membuatkan anak belajar bersungguh. Motor hanya sebagai umpan. Maka apabila anak tidak belajar, tentunya anak itu tidak dapat motor yang dijanjikan si ayah.

Allah SWT meletakkan pada 10 malam terakhir daripada Ramadan, Lailatulqadar sebagai hadiah yang sangat besar. Malah tidak diketahui malam yang mana satu. Tujuannya adalah agar kita memperhebatkan usaha ke arah menjadi orang yang bertakwa pada 10 malam akhir itu.

Untuk mendapat Lailatulqadar kita perlu membanyakkan iktikaf dan berjaga malam dan isikan malam-malam itu dengan amal-amal yang dapat mendekatkan kita kepada Allah SWT.

Justeru, janganlah kita memilih malam-malam yang tertentu sahaja untuk beribadat. Rasulullah SAW bermula dari malam ke-21 sehingga ke malam akhir Ramadan dengan beriktikaf dalam masjid. Dikatakan Nabi SAW telah memperketatkan ikatan kainnya untuk dapat mempertingkatkan ibadah.

Marilah kita menjadikan Lailatulqadar sebagai alat untuk mempertingkatkan usaha untuk menjadi insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Dengan menjadikan masjid sebagai paksi kehidupan dan amalan malam sebagai budaya.

MODUL 7: ZAKAT FITRAH

Modul-modul sebelum ini memperkasakan hubungan kita dengan Allah atau apa yang kita panggil dengan hablu minallah. Tetapi untuk menjadi orang yang bertakwa, kita juga perlu mempertingkatkan hablu minannas yang bermaksud, hubungan kita sesama insan.

Maka zakat fitrah yang difardukan ke atas kita adalah untuk mempertingkatkan kualiti ini. Maka di samping kita melakukan yang amalan zakat yang fardu, perbanyakkanlah sedekah, hadiah, wakaf dan beramal jariah.

Lihatlah fakir miskin dan anak-anak yatim. Bantulah mereka yang memerlukan. Sesungguhnya memberi seseorang makanan untuk berbuka puasa sangat besar pahalanya walaupun dengan hanya sekadar sebiji kurma.

Semoga Ramadan kita pada tahun ini menjadi bulan yang lebih baik dari bulan-bulan Ramadan yang telah kita lalui sebelum ini. Marilah kita jadikan puasa yang kita jalani pada bulan Ramadan tahun ini sebagai wasilah ke arah menjadikan kita insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Mudah-mudahan ibadat puasa kita tidak mendapat lapar dan dahaga semata-mata.

Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk menjadikan Ramadan kami pada tahun ini, adalah Ramadan yang benar-benar dapat menjadikan kami hamba-hamba-Mu yang bertakwa. Amin. Ya Rabbal a’lamin.

Tags: ramadhan
Subscribe

Posts from This Journal “ramadhan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments