mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kejar pahala haji

IBADAH umrah adalah amalan sunat tetapi ia menjadi suatu ‘kemestian’ bagi mereka yang menyedari peluangnya mengerjakan haji di masa depan mungkin tipis. Ini dengan anggapan menunaikan umrah, secara tidak langsung akan membolehkan impian beribadah di Masjidil Haram (Mekah) dan Masjid Nabawi (Madinah), tercapai.

Ini kerana, ibadah umrah boleh dilaksanakan sepanjang tahun berbanding haji mempunyai tempoh waktunya iaitu pada bulan Zulhijjah, ditambah dengan peruntukan kuota bilangan jemaah haji untuk tahun-tahun tersebut adalah terhad.

Hal ini diakui Pensyarah Pengurusan Tabung Haji, Haji dan Umrah di Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Lukmanul Hakim Hanafi.

Kesedaran sedemikian telah menjadikan ibadah umrah tumpuan ramai sehingga kos mengerjakannya walau kini tidak lagi hanya mampu ditanggung oleh mereka yang berstatus kaya.

“Ini juga dikaitkan dengan trend peralihan pengangkutan daripada menggunakan kapal laut kepada kapal terbang yang sememangnya menjimatkan masa untuk sampai ke Arab Saudi.

Biarpun harga pakej umrah Ramadan mahal, tetapi ramai yang tidak mahu melepaskan peluang


MENGERJAKAN saie satu cabaran bagi jemaah yang sedang berpuasa. - Gambar hiasan

“Malahan, ini dikatakan hasil usaha kerajaan Arab Saudi yang melancarkan kempen untuk menjadikannya sebagai pelancongan ibadah pada hujung tahun 1980-an,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sejajar dengan itu, beliau mengakui populariti ibadah umrah daripada kalangan masyarakat Islam di negara ini telah meningkat setiap tahun.

Peningkatan tersebut tidak pernah terjejas walaupun kos mengerjakan umrah meningkat dari setahun ke setahun terutama pakej di bulan Ramadan.

“Salah satu pakej yang menjadi tumpuan adalah umrah di bulan Ramadan walaupun ia adalah umrah yang paling mahal berbanding pakej umrah musim sejuk, umrah musim panas dan umrah cuti sekolah.

“Menerusi pemerhatian saya, walaupun harganya mahal tetapi ia tidak pernah menjadi penghalang kepada umat Islam di negara ini, bahkan jemaah dari luar negara untuk melaksanakannya setiap tahun,” katanya.

Setaraf pahala haji

Banyak hadis Rasulullah SAW yang memperkatakan tentang kelebihan umrah di bulan Ramadan dan antaranya dalam Sahih Muslim yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas ra yang bermaksud: Melakukan umrah pada bulan Ramadan menyamai ibadah haji.

Begitu juga dalam satu lagi hadis lain, baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana umrah dalamnya setingkat dengan haji.”

Selain itu, turut dikongsi Lukmanul Hakim satu kisah popular yang diriwayatkan oleh Abu Daud tentang kelebihan mengerjakan umrah di bulan Ramadan iaitu: “Rasulullah SAW ada bertanya kepada seorang wanita Muslim di Madinah yang tidak dapat mengerjakan haji di Mekah bersama baginda SAW.

“Wahai Ummu Sinar, kenapa kau tidak pergi haji bersama-samaku.”

Jawab wanita itu: “Macam mana aku hendak pergi kerana aku hanya ada dua ekor unta.

“Seekor, suami aku pakai untuk pergi haji bersama kau dan seekor lagi, anak aku pakai untuk kerja-kerja di kebun.”

Kalau begitu, kata baginda: “Kau boleh dapat pahala haji dengan mengerjakan umrah di bulan Ramadan kerana nilainya sama dengan mengerjakan haji bersamaku.”

Justeru, kata Lukmanul Hakim yang juga Pengerusi Fa Izin International Travel & Tours, kelebihan sedemikian sudah pasti menjadi impian kepada umat Islam walaupun mereka menyedari kos mengerjakan umrah di bulan Ramadan melambung tinggi setiap tahun.

Keadaan itu ditambah pula dengan senario semasa yang memperlihatkan ramai umat Islam di negara ini yang begitu kecewa kerana tidak dapat mengerjakan haji atas sebab-sebab tertentu.

Lukmanul Hakim turut menggariskan tiga sebab utama kenapa kekecewaan itu timbul berdasarkan pemerhatiannya yang terlibat dalam urusan haji dan umrah di negara ini sejak beberapa tahun lalu.

“Pertama, ada yang mempunyai duit tetapi tidak dapat kuota haji dan ada pula tidak cukup duit tetapi dapat kuota haji serta yang ketiga, ada yang ingin mengerjakan haji tetapi terhalang oleh masalah kesihatan diri atau anggota badan.

“Walau bagaimana sekalipun halangan yang dihadapi oleh ketiga-tiga kumpulan orang ini, namun mereka tetap berazam mencari pahala haji. Jadi salah satu caranya ialah dengan mengerjakan umrah di bulan Ramadan,” katanya.

Cabaran sediakan perkhidmatan terbaik

SEMENTARA itu, bagi beberapa syarikat pengurusan umrah dan haji di Malaysia yang ditemui tidak menafikan wujud peningkatan yang sangat signifikan jumlah jemaah yang mengambil pakej umrah di bulan Ramadan.

Rata-rata mereka menyatakan peningkatan itu antara 15 hingga 20 peratus setiap tahun, walaupun harga pakej umrah Ramadan naik sehingga 20 peratus setahun.

“Jemaah umrah Ramadan memang menyedari harga pakej Ramadan adalah mahal, lebih-lebih lagi jika memilih 10 hari terakhir bulan Ramadan.

“Tarikh 21 hingga 30 Ramadan itu, harga bilik hotel bukan lagi dikira satu malam tetapi pakej 10 malam dan sudah pasti, harga melambung tetapi biliknya tetap penuh,” kata Ketua Jabatan Umrah Poto Travel & Tours Sdn. Bhd. Azman Disa ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Begitu pun, beliau berkata, ia bukan satu halangan kepada mereka yang ingin menikmati puasa dan suasana sambutan bulan Ramadan di Tanah Suci Mekah.

Ini kerana tambahnya, bukan hanya kesukaran untuk mengerjakan ibadah haji dalam tempoh terdekat tetapi keinginan yang menebal untuk merasai suasana berpuasa di tanah suci itu.

“Walaupun saya ada pengalaman melalui suasana itu tetapi ia sukar untuk dinyatakan kerana bagi saya hanya mereka yang pernah pergi yang dapat menggambarkan situasi saat itu.

“Dia sendiri akan rasai tentang kelebihan dan kenapa orang berebut-rebut untuk pergi umrah Ramadan,” katanya.

Sejajar dengan suasana permintaan sedemikian, sudah pasti yang menjadi cabaran utama syarikat pengurusan umrah dan haji itu adalah memastikan kemudahan yang disediakan itu tidak akan mengganggu fokus jemaah ke tanah suci.

Sudah pastilah, cabaran itu telah bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lagi hinggalah jemaah itu berangkat pulang ke Malaysia.

“Apa yang kita janji dalam pakej, itulah yang kita tepati. Seperti jumlah jemaah bagi satu-satu bas, ada ketua delegasi, ada mutawif tetap. Malah, kita menjaga setiap segi jemaah dari KLIA lagi supaya mereka selesa untuk beribadat.

“Samalah ketika di tanah suci kerana masyarakat tempatan agak kelam-kabut dalam mengurus jemaah umrah yang tiba,” kata Azman lagi.

Sementara itu, Eksekutif Pasaran BestStar Travel (di Putrajaya), Mohd. Fairus Saludin turut mengakui bahawa harga pakej yang mahal itu menuntut pihak syarikat memastikan kemudahan yang disediakan berkualiti.

Antara kemudahan yang sering menjadi pertanyaan jemaah umrah itu adalah jarak hotel dengan Masjidil Haram kerana muka bumi Mekah agar berbukit dan ini menyukarkan jemaah yang berusia untuk berulang alik ke masjid.

“Mana-mana jemaah yang datang bertanya, mereka sebenarnya menyedari tentang kos umrah bulan puasa itu kerana bukan hanya menjadi tumpuan umat Islam di Malaysia tetapi dari luar negara.

“Tetapi mereka lebih banyak bertanya tentang aspek keselesaan hotel dan juga jarak hotel ke masjid,” katanya.

Sebab itulah, kata Mohd. Fairus, pihaknya tetap memberi penekanan kepada kualiti kemudahan yang disediakan oleh hotel dan pengangkutan jemaah semasa berada di tanah suci itu.

Ini kerana, beliau menambah, tidak ada guna memperoleh hotel yang jaraknya dengan masjid kurang 100 meter tetapi kemudahannya teruk.

“Kami mahu jemaah umrah fokus kepada ibadah dan bukannya soal kemudahan hotel. Lagipun, kekurangan sedemikian akan menjejaskan imej kami di masa depan,” katanya.

Di samping itu, Pengarah Urusan Fa Izin International Travel & Tours Sdn. Bhd., Muhammad Firdaus Ibrahim memberitahu bahawa peningkatan permintaan itu kini tidak hanya daripada kalangan yang sudah bersara atau warga emas tetapi mereka yang berusia 45 tahun ke bawah.

Sejajar itu, jelasmua, pakej yang dicari kini tidak hanya tertumpu kepada pakej awal atau hujung Ramadan tetapi ada yang minta untuk tinggal sebulan di Mekah.

“Permintaan sedemikian telah mendorong kami menyediakan pakej umrah Ramadan bukan hanya pada awal dan akhir bulan mulia itu tetapi mereka yang ingin tinggal sebulan.

“Selalunya yang memilih pakej sebulan Ramadan atau hujung Ramadan kerana mereka mahu menikmati suasana malam dan pagi Hari Raya Aidilfitri di Mekah,” katanya.

Begitu pun, Muhammad Firdaus turut melahirkan rasa kebimbangan terhadap populariti itu kerana ia telah dijadikan lubuk emas oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan secara haram.

Bahananya, beliau berkata, ada daripada kalangan jemaah umrah yang tersadai di KLIA kerana tidak ada visa untuk mengerjakan umrah tersebut.

“Apatah lagi, sekarang ini agensi pelancongan yang mengurus umrah tumbuh macam cendawan. Ia secara tidak langsung menjadikan pasarannya di Malaysia makin berkurangan.

“Tidak hairanlah ada syarikat yang boleh menawarkan pakej di bawah harga RM3,500. Hal ini adalah sesuatu yang cukup pelik dan banyak menimbulkan keraguan. Ditambah dengan keadaan kadar tukaran asing dan harga tiket pergi balik, sudah memakan kos RM3,500 seorang. Bayangkan, jika mereka mampu menawarkan harga lebih rendah daripada itu,” tegasnya.


Tags: haji, ramadhan, umrah
Subscribe

Posts from This Journal “umrah” Tag

  • 13 larangan ihram harus dijaga

    LARANGAN ihram merupakan satu daripada perkara wajib haji atau wajib umrah. Melanggarnya tidaklah membatalkan umrah atau haji tetapi dikenakan dam.…

  • Permasalahan hukum 
di Masjidil haram

    PERMASALAHAN hukum di Masjidilharam sering dihadapi oleh jemaah apabila mereka menunaikan ibadah haji atau umrah di Mekah. 1. Tidak berniat ihram…

  • Dam dalam 
ibadah haji, umrah

    DAM dalam ibadah haji dan umrah dari segi bahasa bermaksud darah manakala dari segi istilah pula bermaksud ibadah gantian yang merupakan binatang…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments