mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ “Membaca Ke Arah Membentuk Iman Dan Takwa”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 26Jun 2015:JAIS

“Membaca Ke Arah Membentuk Iman Dan Takwa”

Kalimah yang pertama yang diturunkan melalui wahyu-Nya kepada Nabi Muhamad SAW adalah perintah untuk kita membaca. Turunnya perintah tersebut pastilah disertai dengan 1001 rahsia dan hikmah.

Menurut Khalifah al-Makmun, membaca merupakan temasya dan pengembaraan menelusuri akal fikiran para tokoh dan pahlawan. Malah, membaca merupakan kunci untuk memahami tentang kejadian alam ciptaan Allah. Dengan membaca juga, ia membantu usaha menghapuskan kejahilan.

Membaca mampu membentuk peradaban manusia. Pada zaman Abbasiyah yang memartabatkan keilmuan dan peradaban tamadun Islam. Aktiviti penterjemahan, dan pelbagai kegiatan ilmu yang didasari oleh budaya membaca serta mengkaji menjadi asas yang kukuh kepada kewujudan Baitul Hikmah.

Al-Farabi berpendapat bahawa ketua Negara mestilah bersifat muhibban li al-‘ilm (menyintai ilmu).

Hadis daripada Abdullah Bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka ia akan mendapat satu kebaikan. Kebaikan itu sendiri akan berlipat ganda menjadi sepuluh. Tidak aku katakan alif, lam, mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam itu satu huruf dan mim satu huruf”. (Riwayat at-Tirmizi).

Justeru, bacalah al-Qur’an kerana membaca al-Quran itu adalah terapi yang paling berkesan buat hati. Sesudah itu, bacalah hadis rasulullah SAW kerana ia suatu warisan yang ditinggalkan baginda SAW. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekalikali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitaballah dan sunah Rasulullah SAW”. (Riwayat Imam Malik).

Sesungguhnya, membaca membuka pintu untuk kita memahami ilmu-ilmu agama. Malah, membaca ayat-ayat al-Qur’an dan hadis serta kitab-kitab ulama’ membantu kita mendalami sesuatu bidang keilmuan. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 17:“Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun)”.

Sebagai kesimpulannya, amalan membaca ini boleh dikira sebagai ibadah sekiranya dimulai dengan niat kerana Allah. Malah, ia diganjari dengan pahala berganda sekiranya apa yang dibaca dapat membantu kita mendalami ilmu-ilmu agama. Bacalah al-qur’an kerana ia memberikan ketenangan kepada hati-hati yang kusut. Dalamilah maknanya supaya kita mampu menyingkap pelbagai disiplin ilmu.

Pertama: Bacalah al-Qur’an dan hadis Nabi SAW pada setiap masa. Berjihadlah bersungguh-sungguh untuk mempelajari, menghayati dan melaksanakan isi kandungannya dalam kehidupan seharian kita.

Kedua: Belanjakanlah sedikit peruntukkan daripada sumber kewangan kita untuk membeli bahan bahan bacaan agama untuk meningkatkan kefahaman terhadap agama kita.

Ketiga: Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak untuk membaca bahan bacaan berfaedah, kerana merekalah diletakkan separuh harapan sebagai pejuang agama masa kini dan masa hadapan.

Keempat: Pihak masjid dan institusi masyarakat digalakkan menganjurkan program-program seperti bedah buku dan amat perlu diperhebatkan lagi kerana ia akan melahirkan masyarakat yang minat membaca.

Kelima: Pihak masjid, surau, balai raya dan rumah-rumah hendaklah mewujudkan pusat sumber mini untuk menggalakkan aktiviti membaca kepada seluruh ahli masyarakat.

“Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (Surah al-Baqarah : 121).

Wallahualam.
Tags: baca, iman, khutbah, takwa
Subscribe

Posts from This Journal “baca” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments