mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tarawih dua sesi

SOLAT sunat Tarawih adalah antara ibadat-ibadat sunat yang amat digalakkan sepanjang malam bulan Ramadan. Di negara-negara Islam, amnya dan Malaysia, khasnya, kebiasaannya dilakukan usai solat fardu Isyak secara berjemaah.

Namun persoalan yang timbul, adakah semua golongan masyarakat Islam sempat menunaikannya bersama sejurus selepas Isyak. Realitinya, pada masa sekarang terdapat golongan masyarakat Islam yang tidak sempat menunaikan solat sunat Tarawih berjemaah di masjid atau di surau.

Peniaga bazar Ramadan, selalunya akan terlepas bertarawih kerana terpaksa mengemas barang jualan selepas tamat berniaga.

Bukan perkara bidaah kerana ia bukan ibadat baharu tetapi memberi pilihan

Orang ramai menunaikan solat terawih di Masjid Negara, - GAMBAR HIASAN

Apatah lagi jika mereka tinggal jauh dari tempat berniaga. Mereka yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas juga akan terlepas bertarawih kerana tidak sempat sampai di rumah sebelum waktu Isyak.

Petugas-petugas yang terlibat dengan majlis berbuka puasa juga terkadang terlepas bertarawih kerana terpaksa menguruskan program tersebut hingga selesai. Akhirnya mereka ini yang tetap ingin menunaikan solat sunat tarawih hanya melakukannya secara sendirian di rumah atau hanya berjemaah antara suami isteri.

Justeru, saya ingin mencadangkan agar pihak berkuasa agama di Malaysia mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi kedua solat sunat tarawih bagi golongan-golongan seperti ini.

Sebenarnya, inisiatif mengadakan dua sesi solat sunat tarawih telah lama dilakukan beberapa masjid di Indonesia, antaranya Masjid Al Huda di Lumajang, Jawa Timur dan masjid Gedhe Kauman, Yogyakarta.

Menurut pihak pengurusan masjid tersebut, penambahan sesi solat Tarawih ini ditujukan bagi mereka yang tidak dapat mengikutinya pada sesi sebelumnya.

Begitu juga pihak Masjid An-Nahdhah di Singapura mengadakan Tarawih dua sesi. Sesi pertama akan diadakan seperti lazimnya selepas waktu Isyak. Sesi solat Tarawih kedua pula akan diadakan pada waktu yang agak lewat, iaitu jam 10.30 malam.

Lazimnya, pada waktu tersebut, kebanyakan masjid sudah pun selesai melakukan solat Tarawih berjemaah masing-masing.

Imam Eksekutif Masjid An-Nahdhah, Ustaz Leyakat Ali menerangkan pihak masjid berusaha memenuhi keperluan masyarakat menerusi inisiatif itu.

“Masjid An-Nahdhah tidak mempunyai masalah menaung jemaah dalam satu sesi Tarawih.

“Sesi kedua Tarawih ini ialah untuk membezakan waktu. Misalnya, ada jemaah yang ingin berbuka di luar dan tidak sempat untuk melaksanakan solat Tarawih selepas Isyak,” katanya.

Sebahagian anggota masyarakat Islam mungkin tidak berpeluang melakukan solat tarawih di masjid kerana mereka pulang lewat daripada kerja atau kerana bekerja mengikut giliran masa atau kerana mereka berbuka di luar bersama teman-teman atau anggota keluarga.

Namun, kini dengan pilihan bersolat Tarawih pada pukul 10.30 malam di Masjid An-Nahdhah, golongan sedemikian masih boleh melaksanakan solat Tarawih secara berjemaah di masjid.

Beza solat sunat Tarawih dua sesi di dua negara ini ialah di Indonesia ia dilakukan selepas satu pertiga malam. Manakala di Singapura dilakukan pada pukul 10.30 malam.

Lebih kreatif

Ini juga sebagai usaha dakwah kepada masyarakat Islam dengan memberi peluang kepada sesetengah golongan untuk menunaikan solat sunat Tarawih secara berjemaah juga.

Pihak berkuasa agama disarankan lebih kreatif dalam menyampaikan dakwah dengan memberi kebenaran solat sunat Tarawih dua sesi ini.

Mungkin tidak perlu semua masjid atau surau mengadakan solat sunat Tarawih dua sesi. Ini mungkin sesuai di bandar-bandar besar atau di tempat-tempat yang ada permintaan. Masjid Negara atau masjid-masjid negeri boleh mengambil inisiatif awal untuk mengadakan solat sunat Tarawih dua sesi ini.

Usah difikirkan apakah ada masyarakat Islam yang akan hadir sesi kedua solat sunat Tarawih ini. Pada pandangan saya, insya-Allah ia akan mendapat sambutan kerana ramai lagi golongan peniaga bazar Ramadan dan golongan yang disebutkan tadi masih ingin berjemaah dalam menunaikan solat sunat Tarawih.

Dengan adanya dua sesi solat sunat Tarawih ini akan memberi peluang dan keselesaan kepada masyarakat Islam kerana mereka juga akan sempat berjemaah dalam menunaikannya.

Bahkan, tidak semestinya sesi kedua ini hanya untuk mereka yang terlewat, tetapi masyarakat Islam lain juga mempunyai pilihan, sama ada ingin menunaikannya pada sesi pertama atau pada sesi kedua.

Bukan bidaah

Solat sunat tarawih dua sesi ini bukanlah perkara bidaah kerana kita tidak mengadakan ibadat baharu. Ia cuma pilihan dua waktu bagi mereka yang tidak berkesempatan pada waktu pertama, khususnya. Semua masyarakat Islam mempunyai peluang dan keselesaan untuk beribadat terutamanya bertarawih secara berjemaah.

Semua golongan pencinta akhirat mendapat peluang untuk mengecapi kemanisan beribadat di bulan Ramadan. Seterusnya mudah-mudahan ia dapat menggapai tiket ketakwaan daripada puasa seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

Cadangan ini mungkin ada pro dan kontranya, namun tidak salah untuk kita mencubanya.

Tags: ramadhan, tarawikh
Subscribe

Posts from This Journal “tarawikh” Tag

  • Berterawih sambil telaah pelajaran

    SEPERTIMANA kita ketahui belajar adalah tuntutan agama. ALLAH SWT berfi rman: "ALLAH meninggikan darjat orang yang beriman dalam kalangan…

  • Tarawih prayer benefits health

    THE Tarawih prayer is a sunnah of Prophet Muhammad during the month of Ramadan. Muslims should perform the prayer every night of Ramadan. Even…

  • Ramadan gembleng semangat bersatu

    Amalan berbuka, sahur dan bertarawih menyatupadukan umat Islam Ramadan yang dianugerahkan Allah adalah bulan penuh kerahmatan, keampunan dan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments