mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Sesungguhnya aku berpuasa

MENGUMPAT atau menceritakan keburukan dan keaiban orang lain adalah antara perkara yang dilarang keras ketika berpuasa. Selain mendapat dosa, pahala puasa juga terjejas gara-gara tidak menjaga lidah.

Di zaman teknologi ini, mengumpat tidak hanya terbatas kepada aktiviti mulut, bahkan juga mengumpat dengan jari-jemari. Membuat komen-komen di facebook, twitter, Instagram dan sebagainya juga boleh menyebabkan seseorang terlibat dosa mengumpat.

Menyebutnya demi mengelak jebakan mengumpat

MENGUMPAT bukan hanya daripada mulut, bahkan ia berlaku dengan jari-jemari, menerusi pelbagai media sosial masa kini. - GAMBAR HIASAN

Mengumpat bermakna menyatakan aib seseorang di belakangnya, sama ada dengan perkataan atau perbuatan. Menggunakan isyarat-isyarat tangan atau mata dengan maksud menunjukkan keaiban orang, juga termasuk kategori mengumpat dengan perbuatan.

Orang yang mengumpat dijanjikan Allah dengan balasan seksaan yang pedih. Dosa mengumpat boleh menjadi lebih menyeksakan pelakunya kerana dosa ini tidak akan diampunkan oleh Allah selagi tidak dimaafkan oleh orang yang diumpatnya.

Rasulullah SAW diperlihatkan dengan orang-orang yang mencakar mukanya sendiri ketika baginda diangkat ke langit dalam kisah Israk dan Mikraj. Jibril menjelaskan bahawa itulah orang-orang yang suka mengumpat di masa hidupnya.

Orang yang suka mengumpat juga menghadapi kemungkinan pahalanya habis dibahagi-bahagikan kepada orang-orang yang diumpatnya. Akhirnya di akhirat nanti dia menjadi muflis apabila habis semua pahalanya dibahagikan, dosa orang lain pula yang akan dipindahkan kepadanya.

Perumpamaan yang diberikan oleh Allah SWT di dalam al-Quran berkaitan orang mengumpat adalah melalui persoalan retorik adakah kamu suka untuk memakan daging saudara kamu yang telah mati? Persoalan ini secara umumnya tidak memerlukan jawapan kerana pembaca maklum akan jawapannya.

Namun dalam ayat ini, Allah SWT memberikan jawapannya iaitu sama dengan jawapan oleh orang yang berakal waras bahawa tentulah kamu tidak suka. Hanya yang tidak waras sahaja yang akan memberikan jawapan sebaliknya.

Demikianlah Allah mengajarkan kepada manusia berkenaan keburukan mengumpat. Sekiranya kita berfikiran waras, tentulah kita tahu betapa buruknya amalan mengumpat.

Lapar dan dahaga

Rasulullah SAW juga mengingatkan supaya kita hanya bercakap perkara-perkara yang baik atau lebih baik diam sahaja. Itu adalah satu cara untuk mengelakkan daripada terjebak dalam dosa mengumpat. Berpuasa juga adalah antara cara terbaik melatih diri menjauhi amalan mengumpat.

Seseorang yang sedar dirinya berpuasa seharusnya menjaga amalan puasanya agar tidak menjadi sia-sia. Rasulullah SAW juga mengingatkan kita tentang berapa ramai orang yang berpuasa yang tidak mendapat sebarang pahala tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga.

Orang yang berpuasa biasa akan berkurangan tenaganya dan kurang aktif bercakap, ini secara tidak langsung mengurangkan risiko mengumpat. Selain itu, seseorang yang puasa benar-benar kerana Allah SWT dan dengan penuh kesedaran menjalani ibadah ini akan terasa di nalurinya bahawa dia perlu menjaga betul puasanya.

Umat Islam diajarkan menyebut “aku berpuasa” apabila diajak melakukan perkara yang dilarang. Kaedah ini boleh dipakai ketika terbuka peluang untuk mengumpat, katakanlah kepada diri “aku berpuasa”. Allah SWT Maha Mengetahui akan niat dan keikhlasan kita dan akan memberi ganjaran terbaik di sisi-Nya.

Setiap individu juga perlu sedar bahawa kita semua tidak sempurna dan masing-masing mempunyai kelemahan dan kekurangan. Adakah kita rela keaiban kita dibuka oleh orang lain? Rasulullah SAW mengingatkan bagi orang yang suka mendedahkan aib orang lain, Allah SWT akan mendedahkan pula aibnya dengan pelbagai cara.

Allah Maha Mengetahui dan tiada siapa dapat menyembunyikan dirinya daripada intipan Allah SWT? Dengan mengingati dan menyedari bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikan kita dan di sisi kita juga ada malaikat Raqib dan Atid yang tidak berhenti mencatat segala gerak-geri kita, maka seharusnya kita berasa risau sebelum mengumpat atau membuka aib orang lain.

Tiada siapa yang dapat menjamin tertutupnya aib kita, malah sebaliknya diberi janji bahawa aib kita pula yang akan dibuka. Di bulan Ramadan, penuhilah masa dengan amalan mengaji dan bertadarus. Aktiviti ini secara tidak langsung akan mengurangkan masa-masa bersosial dan aktiviti mengumpat.

Walaupun sukar kerana sudah terlalu biasa dengan amalan mengumpat, namun sekiranya kita kuat berusaha, insya-Allah dimudahkan. Semoga kesan tarbiah Ramadan kali ini benar-benar menjadikan kita mukmin yang bertakwa.

Tags: puasa, umpat
Subscribe

Posts from This Journal “umpat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments