mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ramadan, Syawal si gelandangan , Puasa, raya dalam buangan

Ramadan, Syawal si gelandangan
UMAT Islam seluruh dunia pasti gembira menyambut Ramadan yang akan digunakan untuk beribadah dan mencari keredaan Allah S.W.T. Tambahan pula, kelebihan malam Lailatulqadar adalah yang paling ditunggu-tunggu.

Begitu juga Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba nanti menandakan kemenangan bagi kita selepas sebulan menahan lapar dan dahaga ketika siang hari.

Namun, pada saat kita bergembira sebenarnya terdapat insan-insan yang terpaksa memandang hari berpuasa dan Aidilfitri sama seperti hari-hari biasa yang dilalui mereka.

Itulah nasib gelandangan, mereka adalah komuniti terpinggir yang mempunyai pelbagai masalah tersendiri sehingga memilih untuk hidup di jalanan.

Gelandangan bukanlah gelaran yang mudah diterima oleh sesiapa pun, insan malang itu terpaksa menelan pahit detik yang panjang dalam hidup mereka untuk meneruskan kehidupan.

Selain disisih keluarga, tidak ada waris ataupun hidup sebatang kara, setiap warga komuniti terpinggir itu mempunyai pelbagai masalah seperti kesempitan hidup angkara kos sara hidup tinggi serta ikat perut akibat hutang yang tak pernah selesai.

Walau bagaimanapun, keprihatinan rakyat Malaysia dapat disaksikan terutama pada bulan Ramadan yang mulia ini selepas ramai orang termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif untuk menghulurkan bantuan.

Pelbagai bentuk sumbangan telah diberikan termasuk menyediakan tempat tinggal bagi warga emas yang tinggal sebatang kara meneruskan sisa hidup.

Isu gelandangan ini bukanlah perkara baharu di negara kita. Ia mendapat perhatian kerajaan yang turut memberi bantuan dan mengawasi mereka supaya tidak menjadi mangsa jenayah.

Ikuti tinjauan menyayat hati wartawan S2, MOHAMAD ATHIR ISMAIL yang bermalam bersama gelandangan untuk menyelami masalah mereka yang akhirnya memaksa diri tidur di jalanan.

Puasa, Raya dalam buangan

Sunyi dinihari, kedengaran beberapa kenderaan meluncur sepanjang Jalan Tun Perak berhampiran Dataran Merdeka. Sementara di Jalan Melaka pula kelihatan begitu ramai orang sedang baring di kaki lima bangunan berhampiran dengan sebuah bank.

Sejuk angin bertiup sepoi-sepoi tatkala tubuh terbaring beralaskan kotak di atas lantai dekat kaki lima sebuah bangunan.

Tiba-tiba perut terasa lapar, toleh kiri dan kanan, tiada kedai makan yang buka. Namun, kalau buka pun, orang gelandangan ada ke duit hendak beli makanan atau perlu cuci pinggan untuk dapatkan sesuap nasi.

Beginilah sebenarnya rasa sebagai seorang gelandangan, tidur beralaskan kotak berbumbungkan langit. Nasib baik malam itu bintangnya kelihatan, kalau awan mendung mengarak hujan, apalah nasib insan-insan gelandangan.

Penulis cuba mendekati beberapa orang gelandangan yang masih belum tidur ketika jam menunjukkan pukul 3.20 pagi. Ramai yang menghalau, malah ada juga mengeluarkan kata-kata kesat ketika dihampiri.

Walau bagaimanapun, seorang lelaki tua kelihatan kusut rambut dan lusuh bajunya memandang penulis dari jauh lalu memanggil penulis datang kepadanya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur, Rahim namanya berusia 65 tahun terus bertanya,”cuba kau tanya perempuan yang bawa banyak barang, lelaki Cina dan India tengah duduk. Mereka suka tak jadi gelandangan?”



KAK Manja menunjukkan gambar anaknya, Adam yang berusia lima tahun kini dijaga oleh bekas kakak iparnya di Kuala Lumpur.

“Tiada siapa yang hendak hidup sebagai gelandangan, makan tak tentu, kerja pula kalau ada orang hendak bagi hari itu adalah rezeki kita.

“Dahulu pak cik bahagia ada keluarga...isteri dan anak-anak. Tetapi, semua sudah tinggalkan dan tak mahu jaga pak cik.

“Lebih-lebih lagi bulan Ramadan sekarang dan raya tidak lama lagi, sedih sebab sudah bertahun-tahun pak cik buka puasa dan sahur sendirian, raya pula tak ada beza dengan hari biasa,” katanya sewaktu ditemui S2.

Keadaan pak cik Rahim begitu daif sekali, jam di tangannya sudah tidak berdetik lagi namun masih lagi dipakainya, kemudian beliau membetulkan kedudukan kotak dan mengemas dua buah begnya sambil memberitahu meskipun hidup sedemikian, ibadah puasa tetap tidak dilupakan.

“Pak cik berpuasa, setakat ini belum pernah lagi tertinggal. Esok lusa tak tahulah kalau sakit atau mungkin dijemput Allah S.W.T.

“Dahulu pak cik seorang tentera, pangkat Lans Koperal dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). Pencen tahun 1970-an, Pak cik pun tak ingat sudah berapa lama hidup macam ini.

“Susah jadi gelandangan, kadang-kadang hendak tidur dekat bangunan sini, kena halau dengan orang kerja sekuriti. Bukan sahaja kena halau, kena samun pun pernah, habis dompet dan beg baju dibawa lari dek penyamun,” ujarnya.

Tidak lama kemudian, pada pukul 4.00 pagi, datang sekumpulan lelaki dan perempuan membawa sebungkus nasi berserta air mineral dihulurnya kepada pak cik Rahim, namun penulis menolak dengan alasan masih kenyang.

“Jemput makan sahur dik... Kau jangan tak puasa pula. Muda, bertenaga dan sihat tubuh badan, kadang-kadang pak cik ternampak anak muda umur sebaya kau curi-curi makan belakang kedai dekat tangga. Mengalahkan pak cik.

“Petang nanti, kalau kau hendak berbuka puasa dengan pak cik, datanglah ke Masjid Jamek. Pak cik memang selalu buka puasa di situ, kadang-kadang ada juga orang bagi nasi bungkus depan pintu masjid itu,” katanya.

Melihat beliau menikmati nasi bungkus tadi, penulis meminta diri untuk pergi ke tempat lain pula. Pada malam esoknya, penulis ‘meneroka’ sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) dekat Chow Kit sekitar pukul 9.00 malam.

Begitu riuh suasana dekat situ, kedengaran teriakan suara sekumpulan kanak-kanak sedang bermain di bawah lintasan monorel dan ramai orang pelbagai umur sedang duduk di kaki lima bangunan sebelah sebuah hotel.

Suasana di situ begitu meriah dengan ramai orang memikul beg masing-masing. Keadaan mereka di situ seperti sedang menunggu bas.

Kemudian, penulis menyapa salah seorang daripada mereka dan bertanya jika terdapat sebarang program di situ. Lalu seorang wanita memperkenalkan diri dan berkata, tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Nama akak Norizan, tetapi orang dekat sini panggil Kak Manja. Tidak ada apa-apa pun yang berlaku dekat sini, memang setiap hari macam ini. Ramai orang sebab menunggu orang hantar makanan.

“Kami semua gelandangan, sebab itu kami menunggu pertubuhan bukan kerjaaan (NGO) hantar makanan dekat sini, kejap lagi sampailah agaknya. Selain itu, NGO itu ada juga buka klinik kecil untuk tolong orang gelandangan yang tidak sihat.

“Kalau awak hendak makan, tunggu di sini. Sampai sahaja lori bawa makanan, cepat-cepat beratur. Kalau lambat nanti tak dapat,” katanya.

Sementara menunggu ketibaan NGO yang dimaksudkan Kak Manja tadi, beliau yang berusia 42 tahun tidak kekok berborak dengan penulis tentang kehidupannya sambil menunjukkan gambar-gambar dalam telefon tentang kehidupannya dahulu.

“Akak sudah lama jadi gelandangan, tak ingat sejak tahun bila tetapi sudah beberapa tahun juga la. Sebenarnya akak berasal dari Kampung Majidee, Johor Bahru. Datang sini sejak umur belasan tahun lagi, kononnya hendak cari kerja.

“Semuanya salah sendiri, dahulu masa sekolah, akak hidup terlalu bersosial. Kemudian akak pernah buat silap sehingga memalukan keluarga. Sejak itu, akak dihalau keluar dari rumah.

“Lepas itu, akak pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Adam. Tetapi, sekarang sudah bercerai. Adam pula kini dijaga bekas kakak ipar. Sekarang umur dia sudah lima tahun,” ujarnya sambil menunjukkan sekeping gambar seorang kanak-kanak.

Sudah pukul 9.15 malam, masih belum kelihatan lori yang dikatakan membawa makanan untuk diedarkan kepada gelandangan. Lalu penulis bertanya lagi, bagaimana dia berpuasa dan beraya sebagai seorang gelandangan.

“Alhamdulillah, akak berpuasa macam biasa. Tetapi, biasalah perempuan, ada hari-hari yang kita tidak boleh berpuasa. Petang tadi, akak buka puasa dengan kawan-kawan senasib di surau berhampiran. Sahur pula, kejap lagi makanan sampai itulah juadah bersahur kami.

“Teringin juga akak hendak balik ke kampung. Adik ada bagi tahu, emak dan ayah akak sudah pindah ke Batu Pahat. Tetapi, akak takut nak balik...,bimbang kalau orang tua akak masih marah lagi.

“Sudah lebih 20 tahun 
akak tak jumpa emak dan 
ayah. Teringin juga hendak balik beraya bersama mereka dan adik beradik yang lain, tetapi tunggulah dahulu, akak belum ada kekuatan hendak berhadapan dengan emak dan ayah,” katanya yang menghentikan perbualan 
sebaik sahaja melihat lori 
yang ditunggu tiba.

Tags: puasa, raya, syawal
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments