mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Rumah kebajikan tempat habiskan sisa hidup

BAGAIMANA agaknya keadaan jika seorang berusia lebih 60 tahun yang pastinya mempunyai tahap kesihatan tidak baik sebab tua, masih berada di jalanan sebagai gelandangan?

Sukar untuk digambarkan betapa perit dan hidupnya si tua itu yang pada usia tersebut sepatutnya berada selesa di rumah ditemani anak dan cucu.

Atas rasa keinsafan tersebut, seorang warga prihatin, Mohd Azmi Md. Zin, menubuhkan Persatuan Kebajikan Al-Fikrah yang berfungsi sebagai sebuah pusat jagaan membela nasib gelandangan terutama warga emas yang hidup sebatang kara.



MOHD. Azmi Md. Zin menerangkan keadaan Che Mat, 104, penghuni tertua di Pusat Jagaan Al-Fikrah tidak mempunyai waris dan ahli keluarga kepada tetamu yang melawat

“Sebenarnya kesedaran itu telah timbul sejak saya menjadi sukarelawan di Jabatan Kerja Sosial di beberapa hospital kerajaan.

“Antara kes yang selalu dihadapi ialah pesakit-pesakit khususnya warga emas yang tidak mempunyai ahli keluarga.

“Apabila sudah tamat rawatan dan sembuh timbul masalah untuk mencari tempat di mana hendak dihantar mereka ini.

“Jika dibiarkan, kelompok masyarakat seperti ini yang akan memenuhi jalanan menjadi gelandangan,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Usaha menubuhkan pusat jagaan tersebut akhirnya menjadi kenyataan pada 2013 hasil bantuan rakan-rakan.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Al-Fikrah menambah, operasi pusat jagaan tersebut banyak bergantung kepada sumbangan orang ramai.

“Alhamdulillah atas pengorbanan ahli-ahli persatuan dan sumbangan orang ramai pusat jagaan ini mampu beroperasi.

“Kini kami mengurus atau menjaga 75 orang penghuni kebanyakannya warga emas, lelaki dan wanita,” tambahnya.

Antara penghuni paling tua ialah Che Mat dari Batu Pahat Johor berusia 104 tahun.

“Che Mat diserahkan oleh Hospital Batu Pahat kepada kami selepas segala usaha mengesan waris gagal. Malah, sejak dua tahun menjadi penghuni di sini,kami pun berusaha mencari waris tetapi juga gagal,” ujarnya.

Mohd. Azmi berkata, pusat jagaan itu mempunyai 10 pekerja terlatih mengurus kehidupan seharian penghuni.

“Semua pekerja dilatih untuk membantu warga emas ini dari menjaga kebersihan rumah hinggalah memandikan mereka termasuklah tukar lampin, papah ke bilik air dan sebagainya.

“Saya akan melakukan bersama-sama mereka, kemudian baharulah ada rasa senang hati melihat penghuni rumah ini sihat dan sentiasa tersenyum,” katanya.



ANTARA aktiviti para penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah untuk mengeratkan silaturahim adalah menunaikan solat secara berjemaah. -

Beliau menambah, Pusat Jagaan Al-Fikrah turut memberikan pelbagai perkhidmatan lain seperti khidmat nasihat untuk menaikkan motivasi penghuni.

Emosi penghuni cepat tergganggu apatah lagi latar belakang mereka yang hidup sebatang kara, dibuang keluarga dan sebagainya.

“Selain itu, kita turut menjalankan aktiviti kerohanian supaya mereka berasa dekat dengan Allah SWT.

“Daripada aspek pengurusan pula, untuk bimbingan kaunseling dan kerohanian, kita ada sukarelawan dari luar datang berkhidmat di sini.

“Menariknya, dalam kalangan penghuni mempunyai ilmu dan kepandaian masing-masing, jadi mereka akan berkongsi terutama hal berkaitan keagamaan,” katanya.

Tambah Mohd. Azmi lagi, beliau turut menerima banyak panggilan daripada hospital seluruh negara untuk menerima bekas pesakit mereka yang tidak mempunyai waris.

“Kadang-kadang pihak hospital tulis dalam laporannya tidak mempunyai waris, tetapi, sumber lain memberitahu kebanyakan waris tidak mahu mengaku ahli keluarga.

“Secara tidak langsung kita sebenarnya telah mempunyai senarai menunggu daripada pihak hospital dan jumlahnya sangat ramai.

“Kami berat hati menerima kerana ada pihak yang sepatutnya menjaga. Memandangkan mereka adalah orang tua yang tidak lagi mampu bekerja untuk sara diri, kami terbuka tangan untuk membantu,” jelasnya.

Tags: kebajikan
Subscribe

Posts from This Journal “kebajikan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments