mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Berpada-pada layani kehendak majikan

RAMAI yang rasa tidak selesa apabila ada cadangan terbaharu mahu membawa masuk 1.5 juta pekerja dari Bangladesh untuk bekerja di pelbagai sektor di negara ini. Ketika negara berhadapan dengan masalah kebanjiran pendatang asing yang tidak berkesudahan, rancangan mahu membawa masuk lebih ramai pekerja asing dilihat tidak berapa kena.

Memang kebimbangan ini berasas. Dengan baki kira-kira dua juta pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masih `lepas bebas’ di Malaysia dan beratus ribu lagi yang bekerja secara sah, `rupa bumi’ Malaysia sudah pasti berubah lagi. Itu tidak mengambil kira yang menyelinap masuk secara kecil-kecilan setiap hari serta orang hanyut yang diselamatkan di lautan.

Walaupun cadangan hanya akan dilaksanakan setelah dua juta PATI yang bekerja secara haram dikesan, ditangkap dan dihantar pulang, timbul pertanyaan berapa lama kerja-kerja `pembersihan’ itu akan mengambil masa. Pada masa sekarang pun pelbagai agensi penguat kuasa `bertungkus-lumus’ mengesan mereka. Malah setelah macam-macam `Op’ dijalankan, jumlah yang dapat ditangkap balik masih tidak seberapa. Angka dua juta PATI, kalau pun berganjak hanya pada kadar yang kecil.

Daripada 1.5 juta pekerja baharu yang akan dibawa masuk itu, seperti kes-kes terdahulu, status sebahagian daripada mereka akan bertukar menjadi `pendatang tanpa izin’ selepas tempoh kontrak mereka tamat. Pasti ada yang tidak mahu pulang ke tanah air masing-masing setelah merasa nikmat tinggal di negara bertuah seperti Malaysia ini. Maka dicari jalan untuk tinggal secara haram. Dan akan bertambahlah lagi bilangan mereka di sini.

Kemasukan berjuta-juta pendatang asing memberi kesan besar kepada negara dari pelbagai segi. Malah, kesannya sudah lama dialami, dirasai dan dilihat oleh rakyat Malaysia terutama dalam isu keselamatan, kesihatan dan ekonomi masyarakat tempatan. Persekitaran hidup rakyat tempatan secara sedar atau tidak turut sama berubah. Pada awalnya sekadar diwarnai dengan budaya mereka tetapi kini sedikit demi sedikit sudah menyelusup dan mempengaruhi kehidupan seharian rakyat setempat.

Memang ada keperluan tenaga pekerja asing di sesetengah sektor seperti perladangan, pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan. Bagaimanapun berdasarkan situasi semasa, jumlah tersebut terlalu besar. Tidak kiralah mereka masuk secara berperingkat-peringkat atau sekali gus. Jumlah 1.5 juta sangat besar. Jika dicampur lagi dengan dua juta yang masih bebas, sudah tentu angkanya bertambah besar.

Apa yang disuarakan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berhubung isu ini wajar. Kerajaan tidak perlu terlalu melayan kehendak segelintir majikan yang mahu membawa masuk tenaga kerja asing. Mereka menggunakan alasan Malaysia kekurangan tenaga kerja kerana rakyat tempatan tidak berminat bekerja di sektor-sektor yang disebut itu.

Benarkah sedemikian atau hanya sekadar alasan. Jika gaji yang ditawarkan berpatutan tidak ada sebab rakyat tempatan tidak berminat. Apa yang berlaku majikan tidak berminat menawarkan gaji yang sepatutnya kepada pekerja tempatan kerana di dalam kepala mereka sudah ada pilihan iaitu pekerja asing.

Mereka boleh memberikan gaji yang lebih rendah kepada pekerja asing. Mereka boleh berjimat besar kerana tidak perlu membayar faedah-faedah lain. Itulah sebenarnya yang berlaku. Alasan-alasan yang dikemukakan itu sekadar mahu menghalalkan permintaan mereka. Selama ini pun terdapat banyak majikan di sektor-sektor terpencil yang sudah bertahun-tahun menggunakan tenaga kerja tanpa izin.

Seperkara lagi adakah kerajaan sudah benar-benar bersedia berhadapan kebanjiran 1.5 juta pekerja asing yang baharu ini. Memanglah pasukan keselamatan negara sentiasa berada dalam keadaan siap siaga yang tinggi. Tugas memburu PATI ini bukan tugas mudah. Nama lagi pendatang haram, mereka sangat licik. Oleh kerana itulah daripada lebih dua juta masih bebas, rasanya belum sampai satu juta yang dapat ditangkap lagi. Angka ratus ribu pun belum dicapai.

Dengan kemasukan mereka beban tugas pasukan dan agensi penguat kuasa negara sudah pasti bertambah. Juga perlu diambil kira nisbah anggota pasukan keselamatan dibandingkan dengan bilangan pekerja asing ini. Semuanya perlu sebagai persediaan jika berlaku perkara luar jangka.

Kerajaan juga kena bersedia berhadapan dengan serangan politik berhubung isu pekerja asing ini. Jangan lupa dakwaan sebuah parti pembangkang 40,000 pengundi hantu warga Bangladesh mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu? Cerita tidak benar itu tersebar dengan begitu cepat pada hari pengundian sehingga ramai yang percaya. Walaupun dakwaan itu satu fitnah, palsu dan tidak benar, perkara yang sama tidak mustahil timbul balik. Kali ini entah apa pula yang akan dicanang pembangkang berhubung 1.5 juta pekerja asing ini.

Kerajaan perlu membuat pertimbangan yang sewajarnya berhubung cadangan ini. Segala pandangan pelbagai pihak seperti kesatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan serta orang awam perlu diambil kira. Pandangan tidak seharusnya datang daripada syarikat dan majikan berkepentingan sahaja.

-Rozaman Ismail Utusan Malaysia Rencana 4 Julai 2015
Tags: pati
Subscribe

Posts from This Journal “pati” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments