mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jihad mencari Lailatulqadar

BEBERAPA catatan si­rah perjuangan Nabi Muhammad SAW mewarnai bulan Ramadan al-Mubarak. Pada tanggal 17 Ramadan misalnya berlaku peristiwa penting yang boleh dijadikan iktibar sepanjang zaman, antaranya peristiwa Nuzul al-Quran dan peperangan Badar al-Kubra. Ternyata apabila diteliti kedua-dua peristiwa ini mempunyai nilai dan pengajaran yang tersendiri buat ummah masa kini.

Al-Quran hingga ke hari ini kekal sebagai mukjizat al-Khalidah untuk memandu manusia dalam pelbagai aspek kehidupan dunia dan akhirat, manakala Badar al-Kubra mengajak para Muslimin untuk menghayati jihad baginda Rasulullah SAW dan para sahabatnya dalam erti kehidupan sebenar. Malah kedua-duanya mempunyai perkaitan kepada realiti kehidupan umat Islam, yang segelintir daripadanya terpedaya dengan rambu-rambu kehidupan dunia lalu leka dan lalai untuk berjuang bagi meraih kebahagiaan hidup hari kemudian.

Seorang lelaki membaca kitab al-Quran di dalam sebuah masjid di Kuala Lumpur, pada hari Nuzul al-Quran kelmarin, iaitu hari turunnya ayat pertama kitab suci itu kepada Nabi Muhammad SAW. Lebih 1.5 bilion umat Islam di serata dunia menunaikan ibadat puasa sepanjang sebulan Ramadan yang antara amalannya menjauhi perbuatan yang membatalkan puasa seperti makan dan minum dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. AFP

Untuk itu para Muslimin diajak mencontohi sahsiah Nabi Muhammad SAW yang sentiasa berakhlak dengan akhlak al-Quran. Lebih-­lebih lagi dalam situasi cemas kerosakan akidah, syariah dan akhlak ummah yang tidak bernoktah. Ma­lah yang lebih membingungkan apabila terdapat individu Muslim yang sengaja enggan berpuasa Ramadan seolah-olah mereka tidak percaya akan kewujudan Allah SWT. Golongan ini seolah-olah menun­juk­kan protes dan bangkangan me­­­reka terhadap peraturan Allah SWT hingga makan dan minum di khala­yak ramai tanpa mempedulikan sesiapa. Ada pula segelintir yang tidak menutup aurat dan berpakaian mencolok mata sehingga menimbulkan kekeliruan dan polemik dalam kalangan masyarakat yang melihat aurat hanya dari aspek pematuhan terhadap kod etika berpakaian di jabatan-jabatan kerajaan sahaja.

Diriwayatkan oleh Abu Umamah AlBahili r.a., beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Ketika aku tidur, aku didatangi oleh dua lelaki lalu kedua-duanya menarik lenganku. Kemudian disebutkan ha­disnya... dibawalah aku berjalan-jalan lalu aku berada dalam kalangan orang yang bergantungan pada urat besar di atas tumit mereka, rahang-rahang mereka koyak, dan mengalir darah daripadanya. Kemudian aku (Abu Umamah) bertanya, siapakah mereka itu? Rasulullah SAW menjawab: “Mereka adalah orang yang berbuka (membatalkan puasa) sebelum tiba waktunya.” - Hadis riwayat An Nasa’ie dalam Sunan Al Kubra hadis no 3273.

Jika begitulah hukuman yang disediakan buat orang yang sengaja berbuka tanpa sebarang keuzuran maka bagaimana pula seksaan buat golongan yang sememangnya ingkar untuk tidak berpuasa. Golongan seperti ini dinasihatkan supaya tidak terus berdegil dan enggan berpuasa malah ambillah kesempatan Ramadan yang berbaki untuk bertaubat dan memperbaiki kesilapan yang lalu. Ingatlah betapa setiap manusia akan mati dan setiap jiwa akan diperhitungkan terhadap apa sahaja kelakuan mereka di dunia.

Di sisi lain, umat Islam diajak menghayati semangat Badar al-Kubra dalam realiti kehidupan masa kini dengan berjihad bersungguh-sungguh untuk memastikan Ramadan kali ini sebagai Ramadan terbaik. Apatah lagi di saat Ramadan mulai beransur-ansur menuju ke penghujungnya lalu ada yang langsung tidak mampu mengawal nafsu sendiri hingga terjebak melakukan dosa dan maksiat yang menyimpang daripada tarbiyah Ramadan yang hakiki.

Justeru, para Muslimin diajak bersiap sedia dengan sepenuh jiwa dan raga untuk mencari malam kemuliaan Lailatulqadar yang dikuatkan oleh Nabi SAW berlaku di 10 terakhir Ramadan. Tempoh masa yang terbentang luas di hadapan mata ini tidak wajar dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa berjihad dengan bersungguh-sungguh untuk beribadah pada satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Tanda-tanda terjadinya Lailatulqadar seperti malam yang tenang dan matahari terbit tanpa sinaran cahaya tidaklah begitu penting buat hamba yang ikhlas mengabdikan diri kepada Ilahi. Apa yang lebih diharap-harapkan ialah keampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu selain keredaan dan petunjuk daripada-Nya untuk mengharungi liku-liku perjalanan pasca Ramadan yang mendatang.

Sehubungan itu umat Islam dinasihatkan supaya tidak terlalu leka membuat persiapan akhir menje­lang lebaran sedangkan ganjaran dan kurniaan Ramadan yang tiada tolok bandingnya tidak dipedulikan. Malah jika diteliti tempoh untuk berhari raya dan makan sepuasnya berlanjutan sepanjang tahun sedangkan Ramadan yang hanya sebulan dan akan berakhir tidak berapa lama lagi belum tentu dipertemukan kembali.

Tags: jihad, lailatul qadar
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments