mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ramadan dan belenggu syaitan

"SESUAI sekali dengan gelarannya sebagai bomoh sakti. Syaitan yang mengganggu rumah banglo di tepi jalan itu akhirnya ditangkap dan dipenjarakan oleh si bomoh sakti. Penghuni rumah itu akhirnya hidup aman tenteram tanpa onar si syaitan."

Benarkah jin dan syaitan mampu ditangkap atau dibelenggu oleh manusia biasa? Yang mendakwa tidak pula mampu membawa bukti zahir di depan mata kerana jin syaitan tidak dapat dilihat oleh mata manusia. (al-A’raf: 27)

Kelebihan menangkap jin, syaitan adalah mukjizat khusus Nabi Sulaiman

RAMADAN sepatutnya menjadi medan latihan untuk melemahkan nafsu dengan cara berlapar.- GAMBAR HIASAN

Bagi Muslim yang beriman dengan perkara ghaib, asas utama bicara tentang perkara ghaib (seperti isu jin dan syaitan) adalah panduan wahyu kerana ia mutlak milik Allah SWT. Allah berfirman yang bermaksud: Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati). (al-Naml: 65)

Tiada manusia yang paling hebat berbanding Rasulullah SAW. Adakah Rasulullah SAW mampu menangkap jin atau syaitan? Biarlah kisah Iblis mengganggu solat Rasulullah SAW dalam hadis ini menjawab soalan tersebut:

Ertinya: Si Musuh Allah, iblis datang membawa secebis api untuk dilempar ke mukaku, lalu aku mengucapkan: “Aku mohon perlindungan Allah daripada (kejahatan)mu” sebanyak tiga, kemudian tanpa berlengah aku berkata: “Aku melaknatmu dengan kutukan Allah” sebanyak tiga kali, kemudian aku hendak menambatnya. Demi Allah! Kalaulah bukan kerana doa saudara kita Nabi Sulaiman (dalam surah Sad:35]), sudah pasti iblis akan terikat padanya (tiang masjid) dan menjadi mainan kanak-kanak Madinah. (Sahih Muslim)

Dalam hadis lain disebut pula jin Ifrit yang mengganggu: Semalam, jin Ifrit cuba menggangguku untuk memutuskan solatku, walau bagaimanapun Allah membantuku untuk menewaskannya, lalu aku berjaya mencekik lehernya. Aku berhasrat untuk mengikatnya pada salah satu tiang masjid agar paginya kamu semua dapat melihat(nya), kemudian aku teringat doa saudaraku Sulaiman: “Katanya: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurnia-Nya. (Sad: 35), lalu Allah menghalaunya pergi dalam keadaan terhina. (Sahih Muslim)

Mengapa baginda SAW menyebut Nabi Sulaiman? Rupanya kelebihan menangkap atau membelenggu jin dan syaitan adalah mukjizat khusus Nabi Sulaiman as. Allah berfirman yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji Nabi Sulaiman (dengan satu kejadian), dan Kami letakkan di atas takhta kebesarannya satu jasad (yang tidak cukup sifatnya) kemudian ia kembali (merayu kepada Kami), Katanya: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurnia-Nya. Maka (Kami kabulkan permohonannya lalu) Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendak ditujunya; Dan (Kami mudahkan baginya memerintah) Jin Syaitan; (ia memerintah) golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan, dan yang menjadi penyelam (bagi menjalankan kerja masing-masing). Dan jin-jin syaitan yang lain dipasung dalam rantai-rantai belenggu. (Sad: 34-38)

Diikat sekali setahun

Kesimpulannya, memang terdapat perselisihan pendapat tentang kemampuan manusia biasa menangkap jin dan syaitan. Semua perselisihan tersebut berpunca daripada cara memahami hadis di atas (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).

Apa yang pasti, Rasulullah SAW sendiri tidak pernah menangkap jin atau syaitan, sebaliknya hanya mengusir mereka. Dalam sebuah hadis menyebut seorang wanita membawa anak kecilnya yang terkena rasukan syaitan bertemu Nabi SAW.

Baginda SAW lalu berkata kepada syaitan yang merasuk yang bermaksud: “Keluarlah kamu (dari tubuh anak ini) wahai musuh Allah, aku adalah utusan Allah!” Anak itu kemudiannya sembuh dan wanita tersebut memberikan nabi dua ekor kibas, dadih dan keju sebagai hadiah (Musnad Ahmad & Mustadrak al-Hakim).

Istimewa sekali untuk umat Islam, Allah berjanji akan mengikat jin dan syaitan sekali setahun pada bulan Ramadan sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Apabila masuk bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan para syaitan dibelenggu. (Sahih al-Bukhari)

Begitu pun, maksud belenggu syaitan dalam bulan Ramadan juga masih diperselisihkan para ulama. Ada yang berkata memang syaitan derhaka dibelenggu daripada bermaharajalela dalam maksud hadis secara hakiki.

Ada pendapat lain berkata yang terbelenggu hanyalah syaitan yang paling jahat dan banyak onarnya. Ada juga yang memahaminya secara kiasan, iaitu kehadiran bulan Ramadan yang penuh rahmat Allah seumpama membuka laluan mudah ke pintu syurga dan menjauhkan manusia dari pintu neraka.

Jika difahami secara hakiki, walaupun syaitan sudah dibelenggu, maksiat dan dosa masih boleh berlaku pada bulan Ramadan kerana dorongan nafsu buruk manusia. Oleh itu, bulan Ramadan sepatutnya menjadi medan latihan untuk melemahkan nafsu dengan cara berlapar. Orang yang berlapar akan kehilangan seleranya untuk melayan kehendak nafsunya.

Yang jauh penting adalah setiap orang beriman wajib membelenggu dan mengikat syaitan dalam dirinya agar syaitan tersebut tidak berjaya menghasutnya melakukan kederhakaan kepada Allah. Menurut Ibnu Abbas, syaitan sentiasa mencangkung pada hati anak Adam. Apabila mereka terlupa ia akan melebarkan pengaruhnya dengan hasutan jahat. Apabila manusia mengingati Allah, syaitan itu menjadi lemah (Tafsir al-Tabari pada tafsiran surah al-Nas: 4-5).

Oleh itu, umat Islam perlu sedar bahawa ilmu yang benar serta berpegang teguh kepada agama Allah SWT adalah belenggu terbaik yang pasti akan menyelamatkan mereka daripada gangguan syaitan secara zahir dan batin, baik ia dalam bulan Ramadan atau di luarnya.

Tags: iblis, ramadhan, syaitan
Subscribe

Posts from This Journal “iblis” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments