mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Waspada penghapus pahala

"ALHAMDULILLAH." Ucapan syukur ini harus terbit dari mulut seorang Muslim apabila diberi kesempatan berada dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan, bukan dengan perasaan berat hati terpaksa meninggalkan nafsu makan minum.

Keberkatan ini mencakupi daripada gandaan pahala, dihilangkan gangguan syaitan daripada menggoda manusia, solat tarawih, berkongsi rezeki kurniaan Allah dengan berzakat hinggalah kelebihan malam al-Qadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

Allah tidak menilai puasa 
jika tidak dijaga lidah 
dan melakukan yang haram

KITA perlu menetapkan sasaran agar Ramadan kali ini adalah yang terbaik dari tahun lalu. - GAMBAR HIASAN

Gandaan pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT harus tidak disia-siakan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Setiap amal soleh anak Adam itu digandakan sebanyak 10 kali ganda hingga 700 kali ganda. Allah SWT berfirman: Kecuali puasa. Sesungguhnya ia untukku dan akulah yang membalasnya. Dia (hamba-Ku) meninggalkan syahwat dan makanan kerana Aku. Orang yang berpuasa itu mendapat dua kegembiraan. Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya. Dan bau mulutnya itu lebih harum di sisi Allah berbanding haruman kasturi. (riwayat Muslim)

Kini kita telah berada pada pertengahan Ramadan. Muhasabah kepada diri sendiri perlu dibuat, sejauh manakah ia diisi dengan amal soleh atau dipandang sepi seakan tiada bezanya dengan bulan-bulan yang lain. Motivasi diri agar sentiasa konsisten memenuhi tuntutan Ramadan serta menjaga tertibnya selari dengan syarak amat diperlukan.

Seseorang itu harus bertanya pada dirinya, berapa banyak helaian al-Quran sudah dibaca? Berapa ramaikah orang berpuasa telah dijamu? Kerapkah sedekah dibuat? Mampukah puasa mendidiknya agar semakin bersabar dan apakah puasanya semakin mendekatkan dia kepada Sang Pencipta?

Persoalan ini perlu sentiasa difikirkan individu Muslim sebagai satu penanda aras pencapaiannya pada bulan Ramadan.

Insan perlu meletakkan sasaran dan berusaha menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna, berbanding sebelumnya supaya matlamat takwa tercapai.

Di dalam usaha kita untuk menunaikan puasa selari dengan kehendak syarak serta melipatgandakan amal soleh, kita tidak boleh lekang daripada berdoa kepada Allah SWT agar diberi petunjuk berada di jalan yang benar.

Kelazatan berdoa

Baginda SAW yang merupakan seorang rasul, kekasih Allah juga berdoa kepada-Nya yang bermaksud: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, kemuliaan maruah dan kekayaan (berasa cukup dengan kurniaan Allah). (riwayat Muslim)

Doa-doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT sebaiknya dipohon pada waktu-waktu yang mustajab seperti ketika hendak berbuka puasa, waktu di antara azan dan iqamat serta waktu sepertiga malam seperti yang disebut dalam hadis-hadis yang sahih.

Nikmat kelazatan berdoa dengan rintihan kepada Allah Yang Maha Kaya ini benar-benar dijiwai apabila insan itu berasa kerdil, hina dan tidak sombong di sisi tuhannya yang menyukai para hamba meminta pada-Nya. Sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesiapa yang tidak meminta (berdoa) kepada Allah, Allah murka kepadanya.” (riwayat Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Namun, harus diingatkan dalam pada kita rancak menambah kuantiti dan kualiti ibadah, peringatan Rasulullah SAW tentang hal yang boleh merosakkan malah memadam pahala ibadah di bulan Ramadan tidak boleh dipandang ringan.

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Berapa ramai orang yang qiamullail tetapi tidak dapat apa-apa kecuali hanya berjaga malam dan berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak peroleh apa-apa melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Para ulama menghuraikan pahala puasa terhapus atau rosak disebabkan niat seseorang yang tidak ikhlas atau kerana tidak mengharapkan ganjaran Allah SWT serta melakukan dosa-dosa yang dilarang.

Amaran

Antara peringatan lain sabda Baginda SAW yang bermaksud: Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan itu maka Allah tidak berhajat kepada makan dan minumnya (puasanya)yang ditinggalkan. (riwayat Bukhari)

Hadis ini memberi amaran kepada kita bahawa orang yang berpuasa tetapi tidak memelihara lidahnya daripada segala yang haram seperti mengumpat, mencaci, mengadu domba dan menghasut, serta tidak menahan diri daripada perbuatan yang haram seperti menyakiti orang, membazir, menunjuk-nunjuk, menyusahkan orang, maka Allah SWT tidak menilai puasanya itu kerana puasa mereka tidak membentuk mereka menjadi insan bertakwa yang merupakan matlamat berpuasa.

Amat mengecewakan apabila kita sering melihat kesucian Ramadan dicemari dengan kalam kotor sebahagian Muslim di media sosial dalam pelbagai isu.

Juga perbuatan sebahagian Muslim yang menyusahkan orang lain seperti meletakkan kenderaan sesuka hati di laluan orang ramai hatta di masjid.

Perbuatan berdosa seperti ini ditegah oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi mudarat (dengan sesuatu), Allah akan memudaratkannya seperti itu, dan sesiapa yang menyusahkan (orang) Allah akan menyusahkannya. (riwayat Ahmad, dinilai hasan oleh al-Albani)

Tags: puasa, waspada, waswas
Subscribe

Posts from This Journal “waspada” Tag

  • Khutbah Jumaat : Kekal Waspada, Elak Bahaya

    Petikan Khutbah Jumaat Sempena Hari Bomba Sedunia 19 Julai 2019M/ 16 Zulkaedah 1440H JAWI Kekal Waspada, Elak Bahaya Sering kali kita mendengar…

  • Waspada penghapus pahala

    SUATU hari, Abdurahman bin Auf berkunjung ke rumah isteri Nabi yang bernama Ummu Salamah. Beliau memang terkenal sangat berbakti kepada…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments