mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Sahur ala kadar anak yatim

BERADA di asrama murid Maahad Sains al-Quran Al-Amin untuk meninjau bagaimana mereka bersahur memang satu pengalaman yang menarik.

Malah, peluang berbuat demikian meninggalkan banyak kenangan kerana dapat mengenali mereka secara dekat selain menyelami perasaan mereka, terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri.



TIGA penghuni asrama Maahad Sains al-Quran Al-Amin sempat berbual singkat selepas bersahur dan sebelum menunaikan solat subuh di Puchong baru-baru ini.

Saya yang tiba di pekarangan asrama tersebut di Kampung Sri Aman Bestari, Puchong, baru-baru ini kira-kira pukul 3.40 pagi, diberitahu murid-murid tersebut seramai 22 orang termasuk enam murid lelaki berusia lapan hingga 12 tahun akan bangun bersahur pukul 5 pagi.

Menunggu mereka bangun bersahur tidak berasa lama kerana penulis benar-benar ingin memahami bagaimana rutin kehidupan mereka sepanjang Ramadan ini.

Kira-kira pukul 5 pagi, beberapa orang pelajar lelaki dilihat mula keluar dari asrama sambil berbual antara mereka.

“Ingat ye, kita sampai kat abang tu (penulis), kita kena salam dengan dia tau...cium tangan dia, Ustaz Muhamad dah pesan,” kedengaran seorang murid lelaki berkata-kata pada rakannya yang lain.

Saya yang mendengar kata-kata itu tersenyum. Apabila murid-murid itu sampai, mereka terus bersalaman dengan saya.


Kekurangan diri tidak pernah melemahkan semangat


TETAP ceria dan berselera apabila anak-anak yatim Maahad Sains al-Quran Al-Amin bersahur ala kadar di asrama maahad tersebut di Puchong.

Apabila ditanya, mana perginya murid-murid perempuan, seorang murid lelaki berkenaan berkata: “Kejap lagi kami nak ketuk pintu dan tingkap asrama mereka untuk panggil bersahur.”

Setelah semua murid bangun, mereka bersahur ala kadar. Nasi berlaukkan ayam goreng berkicap dan keropok goreng yang diletakkan dalam dulang. Setiap dulang disajikan untuk empat orang murid. Minuman mereka ialah air suam dan teh ‘o’.

“Jemputlah makan sama,” pelawa seorang murid lelaki kepada saya.

Melihatkan lauk mereka dan ajakan makan bersama, saya agak tersentuh.

Namun murid-murid tersebut yang kebanyakannya anak yatim dan daripada keluarga kurang berkemampuan dilihat tetap ceria.

Bagi mereka, peluang dapat belajar di maahad itu sebagai kesempatan yang amat beruntung kerana kebajikan dan pelajaran mereka sentiasa dijaga pihak pengurusan yang diketuai penceramah bebas, Ustaz Muhamad Abdullah.

Saya sempat bertanya kenapa lauk ayam sahaja dan tidak ada ke lauk-lauk lain seperti ikan, sayur dan sebagainya.

“Tahun lepas ada ikan, sayur dan lauk-lauk lain, tahun ini banyak makan ayam. Tak tahulah kenapa. Sudah lama tiada lauk ikan,” kata seorang murid.

Tersentuh sekali lagi perasaan saya mendengar jawapan tersebut.

TIGA penghuni asrama Maahad Sains al-Quran Al-Amin sempat berbual singkat selepas bersahur dan sebelum menunaikan solat subuh di Puchong baru-baru ini.

Penulis difahamkan, maahad tersebut dibiayai dan diuruskan sepenuhnya oleh Ustaz Muhamad dengan dibantu kakitangan sekolah serta mendapat bantuan ihsan daripada orang perseorangan yang prihatin nasib anak yatim dan murid yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

Menurut murid-murid itu, selepas bersahur mereka akan bersolat Subuh secara berjemaah dan seterusnya bersiap-siap untuk ke sekolah yang terletak di Bandar Baru Sunway.

Semasa makan sahur itu, seorang guru yang hanya dikenali sebagai Cikgu Farah sentiasa mengingatkan murid-murid supaya jangan membazir makanan.

“Ada sikit lagi tu, kena habiskan. Tak elok membazir rezeki,” tegasnya.

Saya diberitahu, terdapat sebuah lagi asrama yang dihuni kalangan pelajar lelaki berumur 13 tahun ke atas dan belajar di maahad yang sama.

Sementara itu, Asrama di Kampung Sri Aman Bestari itu hanya untuk pelajar perempuan dan murid-murid lelaki berusia 12 tahun ke bawah. Secara keseluruhan, Maahad Sains al-Quran Al-Amin mempunyai kira-kira 65 pelajar yang tinggal di asrama yang disediakan.

Tags: anak yatim, sahur
Subscribe

Posts from This Journal “sahur” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments