mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

1 Syawal dijangka jatuh Jumaat

KUALA LUMPUR 12 Julai – Kedudukan anak bulan Syawal yang dijangka berada di atas ufuk ketika waktu Maghrib 29 Ramadan 1436 Hijrah akan menyaksikan umat Islam di negara ini menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Jumaat, 17 Julai ini.

Pensyarah Falak Pusat Pe­ngajian Syariah Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Madya Dr. Baharrudin Zainal berkata, ini bermakna, umat Islam akan berpuasa selama 29 hari pada tahun ini.

“Berdasarkan kepada kedudukan fasa bulan bagi menandakan pemisahan antara bulan lama Ramadan dengan bulan baharu Syawal dijangka berlaku pada 16 Julai kira-kira pukul 9.25 pagi bersamaan 29 Ramadan 1436.

“Ketika waktu Maghrib di seluruh negara, anak bulan Syawal dijangka berada selama 12 minit di atas ufuk.

“Umur bulan ketika ini adalah melebihi 10 jam. Oleh itu, dijangkakan Malaysia menyambut 1 Syawal pada hari Jumaat bersamaan 17 Julai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, kata beliau, umat Islam yang hendak membuat persediaan sambutan hari raya dinasihatkan merujuk kepada takwim rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Ini kerana katanya, tarikh-tarikh yang tercatat pada takwim rasmi itu merupakan rumusan daripada kaedah syarak dan saintifik sebagaimana yang digunakan di negara ini selain akur kepada ketetapan dan pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan mengumumkan tarikh melihat anak bulan Syawal untuk menetapkan Aidilfitri adalah pada petang Khamis, 16 Julai bersamaan 29 Ramadan 1436 Hijrah.

Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan Aidilfitri adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh 1 Syawal melalui radio dan televisyen. - Utusan Malaysia Rencana Agama 13 Julai 2015

Tags: aidilfitri, syawal
Subscribe

Posts from This Journal “syawal” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments