mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ “Berhari Raya Dengan Penuh Beradab”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 17 Julai 2015: JAIS

“Berhari Raya Dengan Penuh Beradab”

Ramadhan al-Mubarak telah pun berlalu meninggalkan seribu satu kenangan ibadah yang sepatutnya tidak terhenti apabila syawal menjelma.

Allah SWT dalam surah alBaqarah ayat 183:  “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

Idulfitri adalah anugerah Allah SWT kepada orang mukmin yang telah bermujahadah menunaikan ibadat puasa sepanjang Ramadhan. Ia adalah sebagai tanda kemenangan melawan segala tuntutan nafsu yang meruntun jiwa selama sebulan berpuasa. Nabi Muhammad SAW menyambut Idulfitri dengan penuh kesyukuran lantaran nikmat yang dikurniakan Allah SWT.

Antara perkara-perkara sunat yang sepatutnya telah kita lakukan sebelum solat sunat Idulfitri ialah:

Pertama: Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat Idulfitri.

Kedua: Menjamah makanan sebelum keluar. Hadis daripada Anas Bin Malik RA yang memberitahu bahawa: “Rasulullah SAW tidak keluar rumah pada pagi hari raya Idulfitri melainkan selepas baginda SAW memakan beberapa biji kurma” (Riwayat al-Bukhari).

Ketiga: Tidak melalui jalan yang sama ketika pergi dan balik ke tempat solat. Ia berdasarkan hadis dari Jabir RA yang menceritakan bahawa: “Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya". (Riwayat Al-Bukhari).

Keempat: Memakai pakaian dan berwangian yang paling baik.

Rasulullah SAW menyarankan kepada sahabatnya supaya berpakaian cantik. Malah cucu baginda Saidina Hassan juga menyebut bahawa: “Nabi SAW memerintahkan kami supaya memakai pakaian dan wangian yang paling baik yang kami miliki di pagi raya”. (Riwayat al-Hakim dan at-Tabrani).

Kelima: Memperbanyakkan bacaan al-Quran, berzikir, bertahmid dan bertahlil untuk memuji kebesaran Allah SWT.

Sunat melaungkan Takbir selepas jelas terlihatnya anak bulan Syawal dan berakhir apabila hendak menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Bulan Syawal juga boleh diibaratkan sebagai bulan silaturrahim. Betapa Syawal menjadi bulan yang penuh berkat, rahmat meluas dan mendapat keampunan Allah kerana melaluinya umat Islam dapat mengeratkan hubungan silaturrahim. Amalan ziarah menziarahi serta mengadakan rumah terbuka sudah menjadi sinonim pada bulan ini.

Hadis daripada Anas B. Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesiapa yang inginkan rezekinya diluaskan dan dipanjangkan usianya, maka jalinkanlah hubungan silaturrahim (dengan ihsan). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sedekah juga turut mewarnai agenda Syawal kita apabila tradisi memberi duit raya kepada kanak-kanak menambahkan lagi keceriaan di hari raya.

Hadis daripada Salman B. Amir RA. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah kepada golongan miskin, ganjarannya hanyalah sekadar pahala sedekah; sedangkan sedekah kepada mereka yang mempunyai hubungan silaturrahim terdapat dua ganjaran iaitu pahala sedekah dan pahala menjalin hubungan silaturrahim”.

Keberkatan Syawal perlu terus diraih dimana dalam bulan ini umat islam juga dituntut melaksanakan puasa sunat 6 hari dalam bulan syawal dan ganjaran melaksanakannya menyamai setahun penuh berpuasa. Hadis daripada Abu Ayub Al-Ansari bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadhan, lalu diiringi dengan puasa 6 hari dibulan Syawal, bererti ia telah berpuasa setahun penuh”

Sebagai peringatan daripada khutbah hari ini, mimbar sekali lagi mengajak para Jemaah untuk:

1. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa Idulfitri adalah ibadah dan bukannya mengikut dan memenuhi adat semata-mata.

2. Sambutlah Idulfitri dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan serta tidak keterlaluan dan membazir mengikuti syariat yang digariskan Islam.

3. Amalkanlah puasa sunat kerana kita digalakkan melakukan puasa 6 dalam bulan Syawal.

4. Rebutlah peluang untuk bermaaf-maafan dengan menghulurkan tangan terutama kepada ibu bapa, suami isteri, anak-anak dan sahabat handai dengan penuh keinsafan serta ziarah menziarahi dengan batas-batas syarak.

5. Umat Islam hendaklah mengekalkan dan meneruskan amalan-amalan tarbiah yang dilakukan dalam bulan ramadhan seperti membaca alQuran, memperbanyakkan solat sunat, bersedekah dan beriktikaf di masjid.

“Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku”). (al-Baqarah : 152).

Wallahualam.
Tags: adab, khutbah, raya
Subscribe

Posts from This Journal “raya” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments