mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tangan yang memberi dan yang menerima

Banyak orang bijak akalnya, tetapi tidak bijak menjaga hatinya agar sentiasa baik dan ikhlas. Petua untuk disenangi orang, walaupun di mana kita berada dan ke mana pun kita pergi, pertama, mesti baik hati. Kedua, perlu bermurah hati. Ketiga, sentiasa mempermudah urusan orang dengan kita. Pesan orang tua, “Kunci untuk berjaya di dunia belajar. Kunci untuk berjaya di akhirat tolong orang dan baik hati,” dan “Hendak mengaku bangsa tengok bahasanya, baik bahasanya baiklah budi bangsanya.”

Seseorang itu menjadi hebat dan baik personalitinya bukan datang sekali gus. Kehebatan itu bermula daripada datuk nenek moyang, dan anak cucu mewarisi sikap, personaliti dan keperibadian nenek moyang kita. Sebab itulah kata orang bijak pandai, “Daripada benih yang baik, terhasil buah yang baik”. Kalau dalam prinsip pemikiran "Reset Minda" formulanya; ‘dunia dalaman’ menggambarkan "dunia luarannya". Jika "dunia dalaman" (hati/jiwa/roh) positif bermakna "dunia luarannya" (jasad/fizikal) yang ditampilkan melalui personalitinya turut positif.

Setiap orang yang berpersonaliti positif ada magnet/aura positif. Magnet/aura positif akan menarik orang yang bermagnet/beraura positif dengan kita menjadi begitu serasi bersahabat atau berurusan, saling memberikan manfaat antara satu sama lain. Jom berdoa agar kita menjadi seorang yang kaya hati dan kaya jiwa dengan banyak bersedekah dan banyak membantu orang. Kita akan mendapat banyak kasih sayang daripada orang sekeliling kita jika banyak memberi, terutama sempena menyambut Aidilfitri. Niatkan menyumbangkan duit raya kepada kanak-kanak dan orang-orang tua sebagai sedekah ikhlas kita, tanda kesyukuran, kasih sayang bagi menyambung silaturahim.

Silaturahim perlu dijaga; anak sendiri disayangi, anak saudara disayangi sama macam anak sendiri. Dalam Islam pun menggalakkan kita membantu orang yang terdekat dengan kita (keluarga) terlebih dahulu sebelum membantu orang lain yang jauh pertalian kekeluargaan. Kalau kita bermurah hati, baik hati dan mencurahkan kasih sayang kepada keluarga kita, mereka juga akan menyayangi kita, dan kita dapat balik kasih sayang mereka.

Dengan cara ini barulah senang untuk kita menyampaikan nasihat, pandangan tentang masa hadapan dan matlamat hidup kepada anak-anak muda pewaris keturunan kita. Ingatlah, orang hanya hendak mendengar nasihat daripada orang yang mereka sayangi sahaja. Oleh sebab itu perlu dibina rasa kasih sayang terlebih dahulu, sebelum terbinanya kepercayaan dan rasa hormat orang yang terdekat dengan kita. Jom audit bagaimanakah amalan bersedekah kita. Adakah bersedekah menjadi amalan kita hari-hari atau bermusim (musim perayaan) sahaja? Didik hati kita agar ringan bersedekah, kerana janji Allah SWT, Dia akan melipat gandakan rezeki kita dan menolak musibah.

Bahagiakan orang dengan mengamalkan sikap baik hati dan murah hati, serta sentiasa mempermudah urusan orang dengan kita dan menunaikan hajatnya. Tip untuk membahagiakan orang, apabila jumpa orang perkara yang perlu dilakukan pertama, berikan kasih sayang. Kedua, buat dia berasa penting dan dihargai. Ketiga, banyak mendengar atau berikan peluang kepada orang yang bertemu kita itu bercerita, daripada kita sibuk bercerita tentang diri kita. Keempat, jangan buatkan dia berasa serik hendak mengunjungi kita lagi dan berasa kehadirannya telah mengganggu dan menyusahkan kita. Kelima, berikan hadiah sebagai kenang-kenangan untuk menyambungkan silaturahim, kerana dengan hadiah itu orang yang bertemu kita itu akan mengingati kita. Orang yang benar-benar bahagia ialah orang yang bahagia melihat orang lain bahagia.

Bertumpu

Bahagia atau tidak hidup seseorang itu bukan ditentukan oleh kecantikan, kecerdikan, kesihatan, kekayaan dan kejayaan, tetapi bergantung bagaimana kita menggunakan kelebihan yang kita ada untuk berkongsi nikmatnya bersama-sama orang lain. Contohnya, kalau kita seorang yang cerdik dalam pelajaran, berkongsilah kecerdikan kita itu untuk mengajar rakan-rakan kita, supaya mereka juga faham apa-apa yang kita pelajari. Jangan berasa rugi dan bimbang jika rakan-rakan kita juga menjadi cerdik sama seperti kita, sebaliknya berbahagialah kerana dengan kebaikan dan sifat murah hati kita, Allah izinkan mereka juga berjaya seperti kita.

Demikian jugalah kekayaan tidak boleh membeli kebahagiaan. Kalau boleh dibeli pasti orang miskin yang tidak sempat merasai nikmat bahagia, kerana semuanya telah dibeli dan dibolot oleh orang kaya, yang sentiasa berkemampuan. Namun, hakikat hidup ini banyak kita lihat orang miskin yang bahagia dengan rezekinya yang sedikit tetapi berkat, sebaliknya banyak orang yang kaya hidup dalam kegusaran dan jauh daripada ketenangan. Kalau kebahagiaan itu sesuatu yang kita nampak bentuknya dan boleh dipegang dan kita tahu di mana tempat, tentu orang akan berpusu-pusu bertumpu di tempat itu mendapatkan kebahagiaan.

Sebenarnya yang membuatkan seseorang itu bahagia adalah diri kita sendiri. Kebahagiaan itu ada dalam hati setiap insan, jadi kita tidak perlu membeli dan mencari kebahagiaan. Hati yang bersih dan ikhlas serta fikiran yang jernih akan membuahkan kebahagiaan. Kebahagiaan milik orang bersyukur. Jika kita tidak mampu memiliki apa yang kita sukai, sukailah apa yang kita miliki. Bagi menjauhkan rasa kehampaan, pandanglah orang yang lebih susah daripada kita, yang tidak mampu memiliki apa-apa yang kita ada. Untuk mengelakkan rasa sombong dan bangga diri, lihatlah orang yang lebih senang daripada kita, yang lebih mampu memiliki apa-apa yang kita ada.

Sentiasa mensyukuri nikmat Allah. Jadilah diri kita ini seperti jantung dalam tubuh kita, yang tidak terlihat oleh kita tetapi amat penting kehadirannya. Hidup kita bergantung pada seketul jantung yang setia terus berdenyut setiap saat, hingga kita boleh terus hidup dan bermanfaat kepada orang sekeliling. Kalau terhentilah fungsi jantung bermakna seluruh kehidupan insan itu pun mati. Demikianlah sepatutnya kita, sentiasa memberikan manfaat kepada orang, biarpun orang tidak nampak apakah kebaikan kita. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih mulia daripada tangan yang menerima.

Oleh sebab itu, sempena Aidilfitri yang mulia ini, kita sambutlah kegembiraan setelah berjaya menunaikan ibadah berpuasa ini, dengan menyambung silaturahim melalui ziarah menziarahi dan menghulurkan dengan ikhlas hati mengikut kemampuan kita duit raya sebagai sedekah, untuk membahagiakan orang-orang yang kita kasihi. Seandainya kita tidak boleh atau tidak mampu membahagiakan orang, janganlah buatkan orang bersedih kerana kita. Kerana kebahagiaan itu bukan terletak pada wang ringgit semata-mata, maka bahagiakan orang dengan hati, berkasih sayang dan bermaaf-maafan sempena hari raya yang bahagia ini. - Dr Muhaya Muhammad Utusan Malaysia Rencana Agama 19 Julai 2015

Tags: raya, salam
Subscribe

  • Istighfar permudahkan urusan

    Nilai toleransi, bertimbang rasa, kasih sayang, hormat menghormati dan kejujuran sewajarnya menunjangi kehidupan bagi melahirkan keluarga bahagia.…

  • Alunkan sayyidul istighfar setiap hari

    SEBAIK-BAIK istighfar ialah membaca sayyidul istighfar iaitu penghulu istighfar (Allahumma anta robbii laa ilaaha illaa anta, kholaqtanii wa anaa…

  • Mintalah pengampunan Dia Yang Mengasihani

    ALLAH SWT memerintahkan hamba-Nya supaya bertaubat kepada-Nya dan beristighfar meminta keampunan atas dosa dilakukan. Sejajar dengan apa yang ALLAH…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments