mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Potensi wakaf bangunkan ummah

PENDIDIKAN percuma dapat direalisasikan di negara ini sekiranya majoriti umat Islam mengamalkan ibadah wakaf pendidikan secara ikhlas kerana Allah SWT.

Hakikatnya, ibadah wakaf yang bermula sejak zaman Rasulullah SAW, berpotensi menjadi sumber pembiayaan projek-projek untuk membangunkan institusi sosial dan ekonomi.

Sebagai contoh, pembinaan mad­rasah, sekolah dan universiti boleh dibiayai dengan wang yang diinfakkan oleh rakyat dan institusi pendidikan terbabit menjadi harta wakaf.

Selain memberi manfaat khususnya dalam membangunkan modal insan, kelebihan wakaf mengekalkan institusi pendidikan berkenaan sebagai ‘harta awam’ yang tidak boleh ditukar hak milik.

Sejarah telah membuktikan wa­kaf berperanan penting memban­gun­kan pelbagai institusi pengajian dan institusi ilmu di era kegemilangan Islam.

Mesir misalnya, dicemburui oleh musuh bukan disebabkan kehebatan binaan Piramid, tetapi Universiti al-Azhar, kerana di situ terasasnya tamadun ilmu yang terkenal ke seluruh dunia.

Kehebatan universiti itu tidak semata-mata melahirkan puluhan ribu cendekiawan Islam, tetapi muncul sebagai model institusi wakaf yang sangat berjaya dan mempunyai dana yang amat banyak.

Bayangkanlah, universiti berkenaan pernah membantu Kerajaan Mesir dalam bentuk kewangan pada suatu masa dahulu ketika negara itu menghadapi masalah ekonomi.

Jika sedemikian hebat ‘kuasa’ wakaf pendidikan, mengapa pendekatan ibadah sunat itu tidak diperluaskan oleh kerajaan masa kini untuk membiayai institusi-institusi asas kehidupan lain?

Ketua Pegawai Syariah Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), Mohd. Nazri Chik (gambar) berkata, kejayaan sistem wakaf banyak bergantung kepada kesedaran rakyat terhadap tanggungjawab mereka untuk beker­jasama demi kebaikan semua.

Menurutnya, antara cabaran dihadapi ialah kebergantungan rak­yat kepada kerajaan menyediakan segala keperluan, selain sifat-sifat manusia yang bercanggah dengan konsep bantu-membantu.

“Terdapat persepsi ramai bahawa wakaf memerlukan sejumlah harta dan tanah, justeru menghalang mereka berpendapatan rendah melakukan ibadah sunat itu.

“Sebahagian mereka yang ber­harta pula bersikap materialistik dengan mengutamakan kepentingan kelu­arga dan hanya mewakafkan tanah tidak bersesuaian untuk diba­ngunkan bagi manfaat semua.

“Minda rakyat kita berbeza dengan masyarakat Mesir dan Turki yang memberikan aset atau tanah terbaik bernilai tinggi untuk diwakafkan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Selain itu, Mohd. Nazri berkata, ketiadaan sistem berpusat untuk melaksanakan sistem wakaf secara menyeluruh untuk menanggung perbelanjaan pembinaan infrastruktur asas yang diperlukan rakyat.

Katanya, ketiadaan sistem itu sukar untuk rakyat Malaysia mengetahui keperluan masyarakat, begitupun kekangan tersebut ti­dak wajar meng­halang usaha menyuburkan ibadah wakaf.

Menyedari hakikat kepentingan wakaf dalam pembangunan eko­nomi ummah, Bank Islam tampil dengan inisiatif menawarkan pe­luang kepada seluruh umat Islam melakukan wakaf dalam bentuk tunai untuk disalurkan kepada sesuatu projek, ujar beliau.

“Bank Islam sebagai peneraju kepada kutipan wakaf berbentuk tu­nai akan dilancarkan tidak lama lagi dan ini merupakan inisiatif bank di bawah program ‘Amal’ un­tuk menggalakkan orang ramai me­la­kukan ibadah wakaf,” katanya ke­pada Utusan Ma­laysia baru-baru ini.

‘Amal’ merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat Bank Islam.

Mohd. Nazri berkata, sumbangan wakaf itu boleh diberikan melalui pemegang kad kredit Bank Islam yang akan disertakan dengan borang untuk sumbangan pada penyata bulanan mereka.

“Pemegang kad kredit Bank Islam hanya perlu mendaftar dan bebas menentukan jumlah potongan wakaf tunai waima serendah RM10 secara automatik, sama ada sekali atau pada setiap bulan.

“Kutipan wakaf tunai terkumpul akan disalurkan kepada projek wakaf usahasama yang dijalinkan antara Bank Islam dengan institusi terpilih bagi tujuan pembiayaan dana,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan sede­mikian adalah sejajar dengan langkah sinergi dan inovasi di Jabatan Syariah Bank Islam yang diinisiatifkan untuk memperluaskan konsep wakaf setelah diteliti sesuai dilakukan.

Buat masa ini, Bank Islam bekerjasama dengan Yayasan Islam Perlis (YIPs) dan Kolej Universiti Insaniah (Kuin), masing-masing me­nerusi projek pembinaan Sekolah Menengah Agama (Perempuan) Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad-Diniah dan pembinaan masjid wakaf di kampus Kuin di Kuala Ketil, Kedah, ujarnya.

“Tumpuan terdekat ialah mem­bina fasa pertama bangunan sekolah menengah agama anjuran YIPs membabitkan kos sebanyak RM7 juta di atas tanah seluas 2.266 hektar.

“Ini termasuk pembinaan sebuah blok asrama, sebuah blok akademik, dewan makan, rumah warden dan dataran perhimpunan yang dijangka dapat digunakan pada 2017,” katanya kos keseluruhan projek memerlukan pembiayaan RM22 juta dan tertangguh sejak 2009 ekoran ketiadaan dana.

Bagi projek Kuin dikenali Dana Wakaf Insaniah pula, katanya, dianggarkan kos sebanyak RM15 juta untuk pembinaan masjid bagi menampung keperluan 15,500 pelajar kolej itu pada 2018 selain masjid dijadikan ‘Pusat Ilmiah’ bagi pakar-pakar Islam berkumpul.

Dalam pada itu, Mohd. Nazri tidak menafikan potensi wakaf untuk dikomersialkan. Bukti jelas menerusi pembinaan Menara Bank Islam di Jalan Perak, Kuala Lumpur ini didirikan di atas tanah wakaf yang diberikan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) oleh pedagang India sekitar 1980-an.

“Tanah seluas 0.48 hektar ini diwakafkan Ahmad Dawjee Dadabhoy kepada MAIWP awalnya hanya digunakan sebagai tapak letak kereta. Seiring kemajuan, kawasan sekitar ini dikenali ‘Segi Tiga Emas’ Kuala Lumpur (berdekatan KLCC) yang bernilai lebih RM34 juta,” katanya.

Menerusi perkongsian pintar dengan MAIWP, katanya, Kumpulan Syarikat TH Properties telah bersetuju membangunkan tanah wakaf itu dengan kos RM151 juta dibiayai Lembaga Tabung Haji (LTH).

“Pelaburan jangka panjang mem­babitkan tempoh pajakan sela­ma 25 tahun ini memperlihatkan komitmen LTH dan Bank Islam sebagai penyewa utama menjadikan bangunan ini sebagai ibu pejabat.

“Dijangkakan selepas tamat tempoh pajakan itu MAIWP akan mendapat pemilikan penuh tanah dan bangunan ini serta pulangan sebanyak RM56.6 juta yang boleh digunakan untuk memperluaskan bantuan kepada umat Islam di negara ini,” katanya. -Rajmah Hasan Utusan Malaysia Rencana Agama 24 Julai 2015 12:44 AM

Tags: pendidikan, wakaf
Subscribe

Posts from This Journal “wakaf” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments