mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Orang langgar bai’ah tidak layak jadi pemimpin

KUALA LUMPUR 23 Julai – Pemimpin Pas yang melanggar bai’ah atau sumpah taat setia tidak lagi layak menjadi pemimpin kerana perbuatan mereka itu adalah sesuatu yang fasik.

Pendakwah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, hal ini demikian kerana bai’ah yang dibuat mempunyai persetujuan antara individu tersebut dan ketua pihak yang menerima dengan bersaksikan kalimah Wallahi, Wabillahi dan Watallahi.

“Terdapat beberapa ayat dalam al-Quran dan salah satunya ialah ayat 111 dalam Surah at-Taubah menerangkan tentang janji dan bai’ah.

“Kalau Allah tidak balas atas dunia, Allah akan balas di akhirat. Apa yang saya bimbang jika mereka menerima laknat Allah atas dunia ini,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas peringatan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob semalam bahawa setiap wakil rakyat Pas di negeri itu yang mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.

Katanya, perkara itu telah terkandung dalam lafaz bai’ah yang dibuat setiap wakil rakyat Pas di negeri ini sejak 2004.

Sementara itu, Md. Daud berkata, kesan lafaz bai’ah itu adalah sah kerana mereka telah berbohong untuk patuh kepada pucuk pimpinan parti serta tidak akan meninggalkan perjuangan setelah terpilih menjadi wakil rakyat.

Jelasnya, untuk mengelak kesan itu, mereka seharusnya kekal dalam parti asal dan tidak membuat keputusan untuk keluar.

“Sekiranya ingin keluar juga, mereka perlu menghabiskan penggal kemenangan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) atau ahli Parlimen dan memohon kepada pucuk pimpinan parti untuk keluar daripada parti asalnya.

“Selepas permohonan diluluskan, barulah mereka boleh keluar dan terpulanglah kepada mereka untuk berbuat apa sahaja kerana tidak lagi mengkhianati amanah perjuangan yang dibawa,” katanya.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, institusi mufti bukanlah pihak yang relevan untuk dirujuk dalam isu sama ada talak tiga itu jatuh atau tidak.

“Dalam hal ini, Mahkamah Syariah dilihat sangat relevan dan sumber yang boleh dirujuk kerana mempunyai penelitian untuk mentafsir, menyiasat dan membuat pengesahan terhadap isu berke­naan.

“Mereka juga merupakan badan yang berfungsi untuk membuat keputusan terhadap kejatuhan talak tersebut,” katanya. - Utusan Malaysia Rencana Agama 24 Julai 2015

Tags: bohong
Subscribe

Posts from This Journal “bohong” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments