mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pemantauan harga kita hambar

Kunta Kinte harap semua pembaca dan ahli sidang pengarang kita sihat walafiat lepas puasa dan raya Aidilfitri. Yang balik kampung dan balik pekan, tentu rasa kesan kesesakan lalu lintas dan belanja isi minyak kereta dan motosikal.

Maklumlah minyak tambah mahal dan bila sangkut dalam kesesakan jalan raya, penggunaan minyak naik. Sebut pasal harga minyak, dua hari lalu Kunta Kinte sembang dengan orang kuat Persatuan Pengedar Petroleum Malaysia (PDAM).

Kunta Kinte tanya, harga akan turunkah pasal harga minyak mentah jatuh lagi? Dia kata, walaupun harga minyak mentah di pasaran dunia turun, belum tentu harga runcit dalam negara kita ikut turun.

Sebaliknya, dia kata harga runcit mungkin naik lagi pasal kadar tukaran ringgit jatuh berbanding dolar Amerika. Harga minyak dunia disebut dalam mata wang dolar.

Jadi kita kena tukar ringgit kepada dolar sebelum boleh beli minyak mentah. Betul kita keluarkan minyak mentah. Tapi sejak tahun lalu, kita dah jadi pengimport bersih.



Ertinya kita import lebih banyak minyak mentah daripada kita eksport. Cuma sebab gas asli, kita masih jadi negara pengeksport bersih minyak dan gas. Itu pun kita menderita teruk pasal harga bahan mentah petroleum merudum.

Macam Kunta Kinte dah cerita, kita jual minyak mentah kita yang mutu tinggi dengan harga mahal. Untuk kegunaan dalam negara kita import minyak mentah mutu rendah dengan harga yang lebih murah. Kunta Kinte pun dah cerita juga berkenaan kesan kejatuhan nilai ringgit ke atas harga import.

Bila nilai duit kita jatuh, harga import naik. Misalnya, pada 1 Julai 2009 kalau kita import satu barang harga AS$1 kita bayar RM3.52. Itulah kadar tukaran duit kita berbanding dolar masa itu.

Tapi pada 1 Julai tahun ini, kita kena bayar RM3.74 sebab nilai duit kita jatuh. Pada 16 Julai lalu, duit kita jatuh lagi kepada RM3.81 bagi satu dolar.

Ekonomi tak berapa kukuh

Ada tiga empat sebab duit kita jatuh. Satu pasal ekonomi kita tak berapa kuat. Dua, pasal harga barangan utama kita macam minyak mentah, minyak sawit dan getah jatuh. Tiga, pasal pelabur asing tarik keluar modal mereka dan empat, orang kita sendiri hantar keluar duit pasal tak berapa yakin dengan keadaan dalam negara.

Bila ramai orang jual ringgit dan beli dolar, nilai ringgit jatuh, nilai dolar naik. Lagi satu kita ada masalah dengan keanjalan harga.

Bila kos bahan mentah naik harga runcit naik, tapi bila harga bahan mentah turun, harga runcit tak turun. Contohnya harga petrol dan diesel. Bila harga petrol naik kali terakhir 1 Jun lalu, harga minyak mentah adalah AS$60.24 (RM221.68) setong.

Pada 20 Julai lepas, harga minyak mentah dah turun kepada AS$50.15 (RM191.07).

Harga runcit jarang turun

Sepatutnya untuk masa depan harga runcit bahan petroleum patut turun sebab harga minyak mentah jatuh dengan banyak, iaitu RM30.61 setong.

Malangnya harga runcit jarang turun, tapi terus naik. Bila kadar kejatuhan harga minyak mentah lebih besar daripada kejatuhan nilai ringgit, harga runcit sepatutnya turun.

Tapi kerana sistem penentuan harga kita yang tak telus, harga runcit naik bila kos bahan mentah naik, tapi tak turun bila kos bahan mentah jatuh.

Di negara maju macam Amerika, harga minyak di pam naik dan turun boleh kata setiap hari ikut harga minyak mentah. Pengusaha stesen pula lawan satu sama lain dengan tawarkan harga paling rendah.

Lagi pula, sistem pemantauan dan kawalan harga kita sangat lemah, manakala peniaga kita pula kurang sikap tanggungjawab. Mereka naikkan harga sesuka hati dengan guna macam-macam alasan.

Dua alasan paling kerap mereka guna sekarang adalah GST dan nilai ringgit. Kunta Kinte tak nafi pelaksanaan GST dan kejatuhan nilai ringgit sebabkan harga naik.

Tapi yang tak masuk akal ialah kadar kenaikan harga runcit. Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, sistem pemantauan dan kawalan harga kita adalah standard ayam dan dibuat macam hangat-hangat tahi ayam saja.

Bunyi bukan main hebat, tapi wal hasil balik asal itu fasal tak hasil. Kalau pihak berkuasa peduli nasib rakyat jelata, khususnya golongan pendapatan rendah, mereka kena bikin serupa cakap, bukan terus cakap tapi tak bikin.

Dosa cakap bohong dan kotak-katik rakyat jelata. Wallahuaklam.
Tags: ekonomi, raya
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments