mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Islamofobia rasisme bentuk baru

SIRI ketiga Program Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan diadakan di Dewan Perdana, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu esok.

Program dialog yang mengete­ngahkan ilmuwan dari MPN kali ini akan membincangkan tajuk ‘Islam Tergugat?’ dengan mengambil kira senario politik dunia dan survival umat Islam di negara sendiri atau di mana mereka menjadi minoriti.

Satu persoalan yang mungkin bermain di fikiran pembaca ialah kenapa tajuk ini dipilih. Isu ‘Islam Tergugat?’ ini perlu dibangkitkan kerana dunia seluruhnya sedang melihat kelakuan umat Islam yang kini terbahagi kepada dua.


REAKSI masyarakat Barat terhadap Islam dan penganutnya sangat keras setelah peristiwa 11 September 2001. GAMBAR HIASAN

Pertama dunia melihat budaya sebahagian besar umat Islam secara positif, iaitu cara hidup yang aman-damai dan menyumbang kepada kehidupan dunia secara harmoni.

Namun begitu, kedua, dunia juga melihat kewujudan subbudaya sebahagian kecil umat Islam yang mempunyai ciri-ciri agresif, terlalu konservatif dan cenderung mencetuskan keganasan. Hal ini perlu diwacanakan oleh para ilmuwan dan perlu difahami oleh masyarakat dunia, khususnya oleh umat Islam sendiri. Kesemua ini perlu perhalusi dalam konteks kehidupan di abad ke-21.

Tumpuan perhatian dunia terhadap umat Islam berikutan kedudukannya yang kini mempunyai kira-kira 1.8 bilion penganut (data 2012), iaitu merupakan kira-kira 23 peratus daripada penduduk dunia.

Bilangan penganut Islam ialah kedua teramai di dunia, selepas Kristian. Oleh kerana bilangan penganut Islam semakin bertambah dengan pantas, maka dianggarkan bahawa pada tahun 2070, Islam akan mengatasi agama Kristian sebagai agama yang paling ramai penganutnya. Bilangan penganut Islam juga bertambah dengan ketara di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Kewujudan subbudaya sebahagian kecil umat Islam yang mempunyai ciri-ciri agresif, terlalu konservatif dan cenderung mencetuskan keganasan telah mewujudkan ‘Islamophobia’ iaitu perasaan bimbang terhadap Islam.

Ungkapan Islamophobia mula digunakan pada 1997, merujuk kepada perasaan benci dan sangat negatif terhadap Islam, iaitu Islam sebagai satu kudrat politik, dan memandang serong kepada kelakuan umat Islam, terutamanya dalam kalangan masyarakat Barat.

Hal ini diperkatakan dalam sebuah laporan yang dihasilkan oleh The Commission on British Muslims and Islamophobia yang bertajuk Islamophobia: A Challenge for Us All (1997). Laporan ini diterbitkan oleh Kementerian Dalam Negeri Britain.

Laporan ini menyentuh isu yang luas, bukan saja tentang umat Islam, tetapi juga, khususnya tentang budaya Arab. Kini konsep Islamophobia ini boleh dikaitkan dengan konsep Islamoprejudice yang jelas maksudnya iaitu, kerana takutkan Islam maka umat Islam didiskriminasi dan dipandang serong.

Oleh itu, banyak pendapat yang menyimpulkan Islamophobia adalah rasisme bentuk baru yang belum dapat dibanteras di negara-negara Barat. Inilah salah satu gugatan yang dihadapi oleh Islam dan umat Islam yang perlu diwacanakan bagi mencari penyelesaian yang terbaik.

Selain itu, ada pihak yang bertanya apakah Islamophobia semakin parah kerana peristiwa 11 September? Peristiwa ini terjadi di AS pada 2001. Tidak dapat dinafikan reaksi masyarakat Barat terhadap Islam dan umat Islam sangat keras setelah peristiwa berkenaan terjadi.

Islam dikaitkan dengan keganas­an. Ekoran peristiwa 11 September ini, kumpulan al-Qaeda yang di­pimpin oleh Osama bin Laden telah dikenal pasti sebagai pihak yang bertanggungjawab melakukannya.


REAKSI masyarakat Barat terhadap Islam dan penganutnya sangat keras setelah peristiwa 11 September 2001. GAMBAR HIASAN

The 9/11 Commission Report yang diterbitkan di AS pada 2004 memang mengesahkan peristiwa serangan 11 September itu dilancarkan oleh kumpulan al-Qaeda dan mereka yang terlibat dalam serangan itu adalah terdiri daripada orang Arab daripada Arab Saudi, Mesir, United Arab Emi­rates dan Lebanon.

Sebagai tindakan balas, AS menyerang Afghanistan dan kumpul­an Taliban yang membantu al-Qaeda. Saddam Hussein, pemimpin Iraq telah ditumbangkan walaupun tiada bukti yang menunjukkan beliau membantu al-Qaeda.

Osama bin Laden diburu dan berjaya dibunuh 10 tahun kemudian. Walaupun Islamophobia begitu menjadi-jadi selepas peristiwa 11 September, dunia Barat juga memberikan perhatian kepada aspek lain dalam budaya umat Islam yang bersifat positif. Tidak dapat dinafikan peristiwa 11 September telah menjadi pemangkin kepada masyarakat Barat untuk mengenali Islam.

Ramai yang tertanya-tanya adakah ajaran Islam yang patut dipersalahkan sebagai gerakan yang mencetuskan keganasan? Buku tulisan Karen Armtsrong, Martin Lings, Bernard Lewis, Seyyed Hossein Nasr dan Graham E. Fuller tentang Islam serta umatnya menjadi bahan bacaan yang sangat diminati ramai di seluruh dunia.

Buku tulisan Fuller yang bertajuk A World Without Islam (2010) yang mendapat sambutan paling hangat memberikan kesimpulan bahawa ajaran Islam tidak boleh dipersalahkan atas apa yang terjadi di AS pada 11 September 2001 itu.

Dasar luar AS terhadap negara-negara Islam dan percaturan geopolitik di Timur Tengah adalah pencetus peristiwa tersebut. Kesimpulan yang dibuat oleh para penulis yang berwibawa tentang Islam dan sejarah umat Islam, yang tidak menyalahkan ajaran Islam sebagai pencetus konflik, boleh dikatakan telah membantu meredakan Islamophobia.

Namun begitu, dasar luar AS terhadap senario geopolitik di Timur Tengah tidak banyak berubah dan tidak banyak membantu untuk menyelesaikan konflik Palestin-Israel.

Sikap kerajaan AS yang enggan mengubah dasar luarnya tidak harus melemahkan semangat umat Islam untuk meminimumkan Islamophobia. Antaranya ialah kita perlu memisahkan soal akidah dan syariah Islam daripada pelbagai isu geopolitik masyarakat Islam.

Jika pemisahan ini terjadi, maka keseluruhan umat Islam akan mendapat manfaat. Kesannya, Islamophobia akan dapat diminimumkan. Dengan itu umat Islam akan dapat melaksanakan tuntutan akidah dan syariah Islam tanpa gugatan


Islamofobia rasisme bentuk baru
KUALA TERENGGANU 27 Julai – Islamofobia yang merupakan rasisme bentuk baharu yang belum dapat dibanteras, dilihat sebagai ancaman yang terus dihadapi Islam dan umatnyadi serata pelosok dunia.

Timbalan Setiausaha Agung Maj­lis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Kamaruddin M. Said ber­kata, banyak pihak membuat kesimpulan sedemikian dan Islamofobia yang ‘menakutkan’ Barat terutamanya menyebabkan umat Islam dipandang serong dan menjadi mangsa diskriminasi.

Sempena Program Advoksasi Ilmuwan MPN di UNISZA esok 
Prof Dr Kamaruddin M. Said

Katanya, Islamofobia semakin menjadi-jadi selepas peristiwa 11 September 2001 namun di sebalik pelbagai gambaran buruk, secara tidak langsung juga mendorong lebih ramai tertarik untuk mengenali Islam yang sebenar.

Menurut beliau, ramai yang mula tertanya-tanya adakah Islam yang patut dipersalahkan sebagai gerakan yang mencetuskan keganasan.

“Bagaimanapun, kesimpulan oleh para penulis berwibawa tentang Islam dan sejarah umatnya tidak menyalahkan ajaran agama sebagai pencetus konflik, sekali gus telah membantu meredakan sedikit Islamofobia,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas mengenai program Advokasi Ilmuwan MPN bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Rabu ini (29 Julai) ini di Dewan Perdana Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di sini.

Katanya, siri ketiga program dialog yang mengetengahkan ilmuwan dari MPN itu akan membincangkan tajuk ‘Islam Tergugat?’ dengan mengambil kira senario politik dunia dan survival umat Islam semasa.

“Selain budaya po­sitif, cara hidup aman damai yang menyumbang kepada kehidupan dunia secara harmoni, dunia juga melihat subbudaya sebahagian kecil umat Islam yang mempunyai ciri agresif terlalu konservatif dan cenderung mencetuskan keganasan.

“Hal ini perlu diwacanakan oleh para ilmuwan, dan perlu difahami oleh masyarakat dunia,khususnya umat Islam sendiri,” ujarnya.

Menurut beliau, untuk memastikan Islam dan umatnya tidak terus tergugat terutama dalam melaksanakan tuntutan akidah dan syariah, kedua-duanya perlu dipisahkan daripada pelbagai isu geopolitik masyarakat Islam, sekali gus kesannya dapat meminimumkan Islamofobia.

“Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat dunia yang rasional akan terus menolak dan menentang golongan pelampau, terutamanya golongan pengganas.

Tags: keganasan, perkauman
Subscribe

Posts from This Journal “perkauman” Tag

  • Islamofobia serlah sikap perkauman rakyat Amerika

    BARU-baru ini, calon Presiden bagi parti Republikan, Donald Trump mengeluarkan satu kenyataan yang sangat kontroversi, iaitu beliau akan menghalang…

  • Jadilah insan yang mulia!

    PERKAUMAN sudah menjadi satu perkataan yang biasa dalam kalangan masyarakat Malaysia kini. Orang perseorangan, media, dan pihak tertentu dituduh…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments