mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Rajuk dimaki ibu

“SAYA tak nak balik, walau apa cara sekalipun awak pujuk saya. Kalau awak nak balik, awak baliklah. Saya izinkan. Tapi saya tak akan ikut,” tegas sahaja bunyi suara Ramzan tatkala isterinya, Raihana memujuk suaminya pulang ke rumah ibu bapa Ramzan.

Kali ini hampir dua tahun Ramzan tidak pulang ke kampungnya menziarahi ibu bapanya. Bukan dia benci. Tapi insiden ibunya menggelarkannya anak derhaka, membuatkan hati Ramzan benar-benar kecewa. Semuanya berlaku tiga tahun lalu.

Bagi Ramzan, perkara kecil tidak perlulah diperbesar-besarkan. Setakat tidak memberitahu ibunya, dia akan berpindah ke rumah baharu, telah membuatkan ibunya melenting. Macam-macam tohmahan dilemparkan kepada Ramzan.

“Anak tak kenang budi. Aku besarkan kau dengan baik sampai kau boleh dapat kerja yang baik, tup-tup bila pindah rumah, kau tak beritahu pun aku. Apa? Kau anggap kau tu dah hebat sangat ke dengan gaji besar kau tu? Sekali aku sumpah kau, baru kau tahu!,” gertak si ibu.

Ramzan terkedu dengan kata-kata ibunya. Sampai hati ibunya berkata sedemikian. Selama ini Ramzan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai anak lelaki kepada ibunya. Apa sahaja keperluan di rumah ibunya, Ramzan akan bereskan. Hatta kalau Ramzan dipanggil balik waktu tengah malam pun, Ramzan akan meredah kepekatan malam.

Cuma kali ini, dia tidak memberitahu ibunya bahawa dia akan berpindah ke rumah baharu. Baginya biarlah dia siap sempurnakan segala kelengkapan rumah baharunya itu, barulah dia hendak menjemput ibu dan ayahnya berkunjung ke rumah tersebut.

Tapi belum sempat dia membuka mulut, si adik telah membocorkan rahsianya. Apa lagi melentinglah si ibu dan menganggap anaknya sudah mula tidak menghiraukannya dan membelakangkan dirinya.

Puas Ramzan minta maaf. Katanya, dia hendak buat kejutan untuk ibunya. Sayangnya kata-kata Ramzan langsung tidak dipedulikan oleh ibunya. Bak orang meroyan, ibu Ramzan terus memaki-hamun Ramzan tanpa ihsan.

Sejak itu, Ramzan amat berkecil hati dengan ibunya. Salahnya bukan besar sangat. Namun ibunya menjadikan hal tersebut satu perkara besar. Bagaimanapun, Ramzan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Setiap bulan dia akan mengirimkan ibunya duit sebagaimana biasa. Begitu juga untuk keperluan rumah, akan dimasukkan sejumlah duit ke dalam akaun adiknya yang tinggal serumah dengan ibunya agar dapat membeli barang-barang yang diperlukan.

Konflik ibu dan anak ini, benar-benar merunsingkan Raihana. Khuatir jika ibu mentuanya salah anggap kepadanya pula. Bimbang kalau-kalau si ibu menuduh dirinya menghasut anak kandungnya itu agar tidak balik. Bukan dia tidak mahu balik, tetapi puas dia memujuk si suami tapi Ramzan tetap enggan balik.

Raihana tidak sedap hati untuk balik seorang bersama anak-anak. Tidak manis nampaknya. Nanti apa pula kata ibu mentua dan keluarga sebelah suami yang lain. Dia takut dirinya pula akan dilibatkan dalam kancah konflik kekeluargaan sebelah suami, selain turut menjadi tohmahan.

TIP KAUNSELOR

1 Ibu bapa adalah manusia yang sangat mulia di sisi Allah dan rasul. Dan kerana itu dalam banyak nas mengangkat kemuliaan ibu bapa pada kedudukan selepas mentaati Allah SWT dan rasul-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu). (al-Ahqaf: 15)

2 Bagi anak-anak, mulianya seorang anak itu pula apabila mereka boleh menjadi insan dan solehah. Kedudukan mereka akan tinggi di sisi Allah dan Rasul apabila anak-anak sentiasa menjaga akhlak mulia kepada ibu bapanya. Bahkan, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga Allah apabila mentaati apa yang diperintahkan kepadanya.

3 Ibu bapa yang soleh sentiasa mendoakan kebahagiaan dan keselamatan anak-anaknya, sama ada di dunia mahupun di akhirat sana. Malahan ibu bapa menjadi pendorong untuk anak-anak melakukan kebaikan dan kebajikan kepada semua kehidupan yang ada tanpa mengira kedudukan mereka.

4 Anak-anak juga sentiasa belajar untuk memperbaiki kelemahan diri agar menjadi manusia yang berjasa kepada kedua ibu bapanya. Setiap teguran ibu bapa diambil dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Jika ada yang bertentangan dengan prinsip diri dekati ibu bapa dengan penuh hikmah dan bijaksana.

5 Ibu bapa yang matang tidak akan bertindak tanpa usul periksa apabila berlaku sesuatu perkara dalam hidup berkeluarga. Pandangan dan sikap yang toleransi akan membawa kepada rasa hormat menghormati serta suasana hidup yang harmoni. Perasaan menjadi riang dan fikiran terasa lapang.

6 Di pihak anak-anak pula tidak mudah melatah apabila berlakunya perselisihan dengan ibu bapa. Apa pun pandangan anak-anak terhadap ibu bapa, akhlak dan adab perlu dijaga. Dekati ibu bapa dengan perasaan hormat dan menyayangi mereka. Buang yang keruh ambil yang jernih, baru teguh peribadi.

PANDANGAN KAUNSELOR

KEHADIRAN lebaran sudah pasti meruntun setiap hati dan jiwa manusia. Sama ada yang masih mempunyai orang tersayang atau tidak, namun kerinduan untuk bersama dengan mereka, sentiasa melambai-, khususnya mereka yang pernah berjasa dalam kehidupan kita.

Dan sebagai anak, sudah tentu ibu bapalah orang yang sangat diperlukan di saat hati menjadi sebak dan sayu. Hatta jika mereka tiada di dunia sekalipun, tempat bersemadi mereka pasti tetap dikunjungi.

Namun, bagi kisah yang diceritakan di atas, sekalipun si anak masih mempunyai ibu bapa yang boleh dikunjungi, namun dek kerana terluka dengan ‘sumpahan’ si ibu, keputusan diambil untuk tidak mengunjungi mereka.

Ia sekali gus hari raya sebagai hari untuk bersuka ria bersama keluarga tidak memberi apa-apa makna. Ternyata apabila hati terasa sakit tiada siapa yang dapat merawatnya kecuali diri sendiri.

Benarlah kata pepatah kerana mulut badan merana. Sakit di kaki boleh diubati, sakit di hati diri yang merawat. Kata-kata ini nampak mudah untuk difahami namun sukar untuk dilakukan kerana apabila hati terusik dengan kata-kata yang menyakitkan pasti akal juga akan memberi jawapannya sendiri.

Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Bercakap soal hati bukanlah semudah lidah bermadah kerana hati akan membuat pilihannya sendiri walaupun kata hati bukan semuanya perlu dituruti.

Hakikatnya sebagai anak, perkataan derhaka ditujukan kepadanya oleh seorang insan mulia yang mengandung dan melahirkannya, sudah tentu ia mendatangkan keresahan kepada si anak. Namun apabila ia berlaku berkali-kali, masing-masing harus muhasabah diri di mana silapnya.

Perlu difahami, Allah Maha Adil dan Saksama. Allah Yang Maha Bijaksana akan menilai mana yang benar mana yang salah di sisi-Nya. Walaupun di sisi manusia anak diwajibkan mentaati ibu bapanya tetapi ketaatan anak kepada ibu dan bapanya bukanlah melulu tanpa melihat kebenaran dan kebaikannya.

Islam agama yang bersifat rasional mempunyai sebab mengapa kewajipan itu ditetapkan. Islam tidak dibina dengan sikap emosional kerana Islam agama yang menjaga maslahah (kepentingan) setiap individu dalam kehidupan, sama ada mereka itu ibu bapa atau anak-anak.

Sikap ibu bapa mencerminkan akhlaknya kepada anak-anak. Apabila ibu bapa bersikap tidak rasional kerana terlalu mengikut perasaan dan fikiran yang dangkal, anak-anak dianggap derhaka tanpa menilai isu yang dikatakan derhaka. Apakah suatu kewajaran bagi si ibu untuk menghukum si anak hanya kerana perkara yang remeh?

Justeru, ibu bapa selalu diingatkan agar tidak mudah melemparkan kata-kata kesat kepada anak-anak, apatah lagi menghukum anak sebagai derhaka. Selagi perkara itu bukan bersifat akidah dan tuntutan syariat, maka perbincangan antara kedua pihak, adalah jalan terbaik untuk menyelesaikannya. Jangan disebabkan kerana sikap yang sedemikian hubungan darah menjadi musnah sehingga terputusnya silaturahim.

Walhal Rasulullah berpesan yang bermaksud: Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturahim. (riwayat al-Bukhari)

Bahkan tegas Rasulullah SAW lagi, Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan. (riwayat Muslim)

Justeru dalam hal ini, baik anak mahupun ibu, harus memastikan hubungan darah yang sedia terjalin tidak terputus hanya kerana perkara-perkara kecil. Sebagai orang tua dalam keluarga, mereka sepatutnya menjadi tempat rujukan bagi anak-anak dalam mengadu apa jua permasalahan dan bukannya memisahkan anak-anak daripada keluarga.

Sementara itu, bagi si anak pula, anggaplah apa yang dikatakan oleh si ibu sesuatu yang di luar kawalan ekoran terlalu mengikut emosi dan nafsu. Ternyata, apabila sesuatu tindakan itu dilakukan atas rasa hawa nafsu dan fikiran yang cetek, bukan kebahagiaan yang akan kita dapat, sebaliknya perasaan yang menderita dan sengsara.

Isunya sampai bila hal ini perlu dibiarkan? Oleh itu, buang seketika rasa kecil hati tersebut dan kembali ke pangkuan keluarga kerana buruk atau baiknya ibu bapa kita, mereka tetap keluarga kita yang tiada galang ganti. - Utusan Malaysia Rencana Agama 29 Julai 2015

Tags: ibu, ibubapa
Subscribe

Posts from This Journal “ibubapa” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments