mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pupuk cinta kerana Allah

Kutub Khanah

CINTA Allah adalah cinta yang pertama dan utama. Bermula daripada alam roh lagi hati kita telah mengenal Allah. Perkenalan itu telah membuahkan cinta.

Itulah cinta pertama setiap manusia. Mudahnya, cinta sejati sejak diri bermula ialah cinta Allah. Sayangnya, ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati dan hakiki itu sebaik sahaja lahir ke dunia.

Di alam dunia ini ramai manusia dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu kandungnya. Sejak itu tempat cinta sejati dalam hati kita telah diambil oleh cinta palsu.

Siapakah yang memisahkan manusia daripada cinta Allah? Persoalan ini menemukan kita dengan hakikat yang menyedihkan. Ibu bapa mereka sendirilah yang kerap kali memisahkan manusia daripada cinta Allah.

Rasulullah SAW telah bersabda: Setiap anak Adam dilahirkan suci bersih, ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. (riwayat al-Bukhari)

Ramai ibu bapa tidak meneruskan peranan mengenalkan Allah kepada anak-anaknya. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar, tidak dibajai, dan diairi. Semakin bertambah usia anak, semakin jauh jarak perpisahan itu. Akhirnya, cinta Allah itu layu dan terkulai. Cinta selain Allah pula yang mengambil alih hati manusia.

Pepatah Arab ada mengatakan: "Manusia menjadi hamba kepada apa yang dicintainya."

Jadi, apabila cinta itu sudah tersilap langkah, maka tersalah jugalah manusia meletakkan sifat Kehambaannya. Hidup beralih arah, daripada menghambakan diri kepada Allah kepada 'menyembah' hawa nafsu. Seharusnya, cintailah manusia kerana Allah. (rujuk al-Furqan: 43)

Akibatnya, hidup manusia penuh dengan kejahatan kerana nafsu yang menjadi kecintaannya itulah yang mendorong dirinya kepada kejahatan.

Justeru, tidak ada jalan lain untuk mewujudkan semula kebaikan dan ketenangan dalam kehidupan melainkan dengan mengembalikan rasa cinta kepada Allah dalam hati manusia.

Kenalkan semula manusia kepada Allah, insya-Allah manusia akan mencintai-Nya semula. Dan perkenalan itu perlu dimulakan dengan cara bertahap bermula daripada dalam diri, keluarga, masyarakat, organisasi, negeri dan negara.

Buku Cinta Kerana Allah ini memperjelaskan tentang hubungan cinta sesama manusia berdasarkan cinta kepada Allah. Penulisnya telah menjadikan hubungan cinta antara lelaki dan wanita dalam sebuah institusi rumah tangga sebagai medan berbicara tentang cinta dan segala persoalan mengenainya.

Ada kalanya beliau menyentuh soal akar, batang dan dahan. Namun sekali-sekala beliau menyentuh juga soal ranting, daun dan buahnya.

Buku ini sangat perlu dibaca oleh semua golongan masyarakat, sama ada yang telah dan akan berumah tangga. Buku ini unik kerana setiap persoalan yang disentuh sentiasa terikat pada paksi utamanya - cinta Allah.

Fokus penulis cukup jelas. Sesiapa yang menyelesaikan hubungannya dengan Allah, insya-Allah, Allah akan membantunya untuk menyelesaikan hubungannya sesama manusia.

Ketika institusi keluarga diuji dengan pelbagai cabaran, ramai pihak yang tertanya-tanya. Apakah punca dan bagaimanakah jalan penyelesaiannya?

Ironinya, jalan penyelesaian berada di depan mata. Yakni pada soal asas dan teras seperti yang disebutkan tadi - kembali kepada cinta Allah.

Hakikatnya, keruntuhan rumah tangga yang banyak berlaku pada masa kini merupakan satu 'jentikan' daripada Allah untuk kita kembali mencintai-Nya. Cinta kerana Allah.

Justeru, jangan kita mencintai manusia (suami, isteri, anak-anak atau sesiapa sahaja) semata-mata kerana manusia, tetapi cintailah manusia kerana Allah. Insya-Allah, selagi Allah menjadi penyatu, maka hati-hati kita akan mudah bersatu.



Oleh ZUARIDA MOHYIN
Sumber:
Utusan Malaysia Online Agama 08/06/2012

Tags: cinta, perkahwinan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments