mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Mengekang jenayah syariah

RIUH suatu ketika dahulu tentang Undang-Undang Jenayah Syariah di Malaysia. Isu hudud begitu sensitif dibicarakan oleh massa. Namun penulis hairan kenapa hanya hudud yang dibicarakan, tidak pula jenayah syariah yang lain, falsafah jenayah, kadar pembuktian dan pelindungan mangsa atau keluarga mangsa jenayah?

Ruangan ini akan menyentuh serba sedikit tentang falsafah jenayah syariah sebagai elemen pencegahan, di samping mengaplikasikannya di dalam konteks undang-undang jenayah syariah yang ada di Malaysia.

Undang-undang adalah jalan akhir sebagai langkah pencegahan

Membanteras jenayah tidak dapat dilakukan dengan menguatkuasakan undang-undang semata-mata tetapi perlu kepada elemen-eleman lain. - GAMBAR HIASAN

Pencegahan dan pengawalan jenayah syariah wajar menjadi keutamaan kita semua memandangkan kadar peningkatan jenayah syariah masa kini. Islam memberi kaedah pendekatan yang amat jelas mengenai takrif jenayah dan hukumannya. Hukuman di dalam Islam dikenakan kepada penjenayah yang terlibat tanpa meminggirkan hak-hak tertentu mangsa jenayah.

Secara umumnya, kerangka Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Malaysia memberi ruang yang luas kepada perkembangan sistem jenayah syariah sejak sekian lama. Walau bagaimanapun, isu perundangan syariah kini lebih kompleks dan berlaku pertindanan bidang kuasa antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil. Malah ada juga yang melibatkan negara luar seperti di dalam kes pernikahan luar negara tanpa menurut undang-undang Malaysia.

Undang-undang yang berlainan antara negeri sistem penguatkuasaan dan pendakwaan yang tidak seragam serta kekurangan kakitangan sering menjadi topik perbualan untuk memartabatkan undang-undang jenayah syariah.

Begitu juga kedudukan bidang kuasa yang terlalu terhad iaitu hanya setakat denda RM5,000, penjara lima tahun dan enam kali sebatan dilihat tidak dapat berfungsi menjadi pencegah kepada perlakuan maksiat.

Hukuman setimpal

Undang-undang jenayah berperanan menjadi pemangkin kepada pembaikan dan pembangunan jati diri serta individu, menjaga sistem bermasyarakat dan penghalang kepada kebatilan. Dalam konteks ini hukuman yang diberikan mestilah setimpal dengan fungsi hukuman itu sendiri. Namun, persoalan kini ialah dengan kekangan bidang kuasa yang ada, adakah fungsi hukuman itu dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin?

Prinsip undang-undang jenayah syariah sangat menitikberatkan soal pencegahan berbanding dengan pembalasan atau hukuman. Ia seharusnya berupaya menjadikan masyarakat takut untuk melakukan jenayah tersebut.

Pengukuhan undang-undang jenayah syariah dilihat mampu menjadi agen pencegah dan pemangkin berkesan dalam menangani isu peningkatan jenayah syariah di Malaysia.

Kebejatan akhlak yang begitu berleluasa kini boleh dikekang dengan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah yang lebih komprehensif dan berupaya melaksanakan fungsinya. Namun begitu perkara ini bukanlah mudah untuk dilaksanakan kerana ia memerlukan segenap lapisan masyarakat memahami falsafah perundangan syariah itu sendiri.

Tidak hairan ketika ini umat Islam sendiri menolak pengukuhan undang-undang jenayah syariah atas pelbagai alasan termasuklah kebebasan asasi dan ‘hak’ untuk melakukan kesalahan. Malah ada juga yang mendakwa jika undang-undang akhlak ini dilaksanakan seolah-olah kita mengambil peranan Tuhan di dalam menghukum orang berdosa.

Tujuh teras strategik ke arah perlaksanaan pelan pencegahan jenayah syariah di Malaysia digariskan Jakim


  • Peningkatan Penghayatan Agama.

  • Penyelidikan Terencana.

  • Penyelarasan Maklumat Jenayah Syariah.

  • Pemerkasaan Pendidikan.

  • Pemantapan Institusi Keluarga.

  • Pengukuhan Undang-Undang.

  • Kolaborasi Strategik Inter Agensi.

  • Ambil tindakan segera

TANGGAPAN sebegini amatlah menyedihkan dan tidak berpaksikan kepada agama itu sendiri. Mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab setiap orang Islam, sama ada melalui kuasa yang ada padanya, nasihat atau sekadar memendam rasa tidak puas hati.

Malah agak menyedihkan juga segolongan yang terlibat secara langsung di dalam ‘mempromosi’ jenayah syariah di Malaysia. Sebagai contoh, semua orang mengetahui bahawa perlu ada prosedur tertentu sebelum seseorang itu berkahwin di Malaysia.

Ia bagi memastikan kebajikan pasangan yang ingin berkahwin dan mengelakkan perkahwinan itu menjadi tidak sah kemudiannya. Pengesahan bujang, persetujuan wali dan kebenaran mahkamah untuk berpoligami semuanya digarap bagi menjaga kemaslahatan umat Islam di Malaysia.

Namun, ada yang mengambil jalan singkat melakukan pernikahan di luar negara, khususnya di negara jiran yang tidak memerlukan semua prosedur itu dipenuhi. Memang ia nampak mudah tetapi setelah perkahwinan, kesulitan akan dihadapi oleh pasangan ini apabila kembali ke Malaysia.

Penulis agak terkilan sindiket memberikan kemudahan melanggar undang-undang sebegini semakin berleluasa. Malah mereka yang terlibat pula sebahagiannya mahir dengan undang-undang dan prosedur perkahwinan di Malaysia.

Mereka mencari kelompangan yang ada di dalam undang-undang bagi merealisasikan hasrat mereka walaupun tahu ia melanggar undang-undang.

Sudah sampai masanya bagi pihak berautoriti memikirkan perkara ini dan mengambil tindakan segera bagi mengekang gejala seperti ini. Jika berleluasa ia akan menjadi suatu penghinaan kepada institusi keluarga di Malaysia di mana undang-undangnya diperkotak-katikkan.

Penulis mengucapkan tahniah kepada Jakim yang telah menggariskan teras strategik dan berharap ia dapat dilaksanakan dengan segera.

Dapatlah difahami daripada teras strategik ini bahawa membanteras jenayah tidak semata-mata dapat dilakukan dengan menguatkuasakan undang-undang sahaja tetapi elemen lain seperti pendidikan kekuatan institusi keluarga dan lain-lain turut menyumbang kepada usaha mengurangkan kadar jenayah semasa. Undang-undang adalah jalan akhir sebagai langkah pencegahan.

Penulis percaya jika masyarakat Islam bersama-sama menumpukan perhatian terhadap tujuh teras strategik dikemukakan JAKIM di atas pasti kadar jenayah syariah di Malaysia akan dapat dikurangkan. Penulis mengajak pembaca ruangan ini bersama-sama berusaha ke arah tersebut.

Tags: hudud, jakim, syariah
Subscribe

Posts from This Journal “syariah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments