mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Pejuang Di Jalan Allah

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat 31 Julai 2015M/ 15 Syawal 1436H JAWI

"Pejuang Di Jalan Allah"

Saban hari di media cetak dan elektronik, kita dihidangkan dengan pelbagai kisah keganasan dan pemberontakan yang dikaitkan dengan perjuangan Islam. Pembunuhan secara berleluasa dilakukan dengan alasan memperjuangkan agama sebagaimana yang dilakukan oleh militan Negara Islam atau IS.

Tanggal 31 Julai pada setiap tahun, negara kita akan menyambut Hari Pahlawan. Sambutan tarikh keramat ini cukup sarat dengan pengajaran yang mencakupi segenap aspek kehidupan di dalam perjuangan dan pengorbanan Perajurit dan Pahlawan Negara yang terdiri daripada warga Angkatan Tentera Malaysia, Polis di Raja Malaysia dan lain-lain agensi keselamatan serta individu yang bersama-sama mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 95: Bermaksud: “Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar.”

Perjuangan hari ini tidak hanya berlaku di medan pertempuran sebaliknya boleh berlaku di medan ekonomi, penulisan, pendidikan dan sebagainya. Dermawan yang menginfaqkan hartanya untuk dibelanjakan pada jalan mempertahankan kesucian Islam dan kedaulatan negara, juga seorang pejuang. Penulis yang mengarang rencana mempertahankan kesucian Islam dan kedaulatan negara, juga seorang pejuang. Begitu juga dengan kita semua sidang jemaah sekalian, boleh menjadi pejuang dalam apa jua bidang yang kita ceburi.

Imam Hassan al-Banna menyatakan bahawa, “Islam mewajibkan jihad (perjuangan) ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas hati tiap-tiap Muslim. Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusia, menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran.”

Sultan Muhammad Al-Fateh merupakan pejuang Islam yang berperanan sebagai penakluk dan pembuka Kota Konstantinople yang kini dikenali sebagai Istanbul serta merampasnya kembali

Ini amat bertepatan dengan Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 190:Bermaksud: “Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) Agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh”.

Hidup dengan berjuang di jalan Allah adalah sebaik-baik kehidupan. Ini bertepatan sekali dengan Firman Allah SWT dalam Surah Al- Baqarah: Ayat 154 yang dibacakan di awal khutbah tadi yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Agama Allah itu: orang-orang mati;bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya”.

Justeru, bersempena sambutan Hari Pahlawan pada 31 Julai tahun ini, marilah bersama kita ambil semangat para pejuang Negara untuk diserapkan dalam jiwa dan sanubari kita dengan menghayati kesimpulan yang dapat diuntai daripada khutbah pada hari yang mulia ini:

Pertama : Pejuang dan perjuangan menegakkan agama Allah yang Maha Suci adalah satu ibadah yang menjanjikan ganjaran yang cukup hebat.

Kedua : Islam tidak menyuruh umatnya untuk memulakan sesuatu permusuhan sebaliknya menggalakkan perdamaian.

Ketiga : Pejuang yang sebenar adalah pejuang yang sentiasa menjaga dan memelihara hak-hak Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-‘Ankabut ayat 69:Bermaksud: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya”.

Wallahualam.
Tags: pahlawan
Subscribe

Posts from This Journal “pahlawan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments