mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Keutamaan ibadah zakat

APAKAH bezanya zakat dengan ibadah yang lain, yang disebut dalam Rukun Islam, iaitu solat, haji dan puasa. Bukankah semua ibadah ini wajib dilaksanakan? Mohon pencerahan ustaz. Jawapan:

Keengganan berzakat memudaratkan masyarakat

PERANAN golongan Amil Zakat turut memudahkan pembayaran zakat oleh umat Islam yang berkemampuan. Gambar Hiasan

Hakikatnya zakat memang merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Selain menunaikan zakat, rukun itu turut mengandungi soal dua kalimah syahadah, mendirikan solat, berpuasa Ramadan dan mengerjakan haji di Baitullah.

Dengan itu, menolak salah satu daripada lima perkara itu, maka rosak binasalah Islam dan iman seseorang.

Daripada Abu Abdurrahman, Abdullah bin Umar bin al-Khattab rha berkata: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda. Islam dibangunkan di atas lima perkara; (iaitu) Bersaksi bahawa tiada selain Allah dan bahawa nabi Muhammad utusan Allah; mendirikan solat; menunaikan zakat, melaksanakan haji dan berpuasa Ramadan,”. (riwayat Imam Tirmizi dan Imam Muslim).

Cuba kita perhatikan, daripada lima rukun ini, hanya zakat sahaja yang melibatkan kepentingan ummah secara khusus (kebajikan sosial atau ijtimaiyyah).

Solat, puasa dan haji pula adalah ibadat yang bersifat fardiyyah (peribadi). Jika seseorang itu tidak bersolat, tidak mahu berpuasa dan enggan menunaikan haji walau sudah mampu, maka kesannya hanya menimpa ke atas dirinya sendiri.

Dia akan ditimpa dosa dan di akhirat, dia akan dicampakkan Allah SWT ke dalam neraka kerana keingkarannya.

Manakala ibadah zakat, ia menyentuh langsung kepentingan lapan asnaf yang berhak ke atas harta zakat.

Jika seseorang itu yang kaya-raya dan enggan berzakat, maka dia bukan sahaja berdosa kerana keingkarannya, namun jiran tetangganya yang memerlukan juga mungkin menderita kebuluran dan diancam kematian.

Maka, keengganan untuk berzakat, mudaratnya bukan hanya ke atas diri orang itu sahaja, iaitu berdosa; tetapi turut memudaratkan umat Islam yang lain yang sepatutnya dibantu dengan harta zakat itu.

Sebab itulah, Allah SWT amat menekankan kewajipan zakat ini sehinggakan memberikan keizinan kepada pihak berkuasa zakat, untuk mengambilnya walaupun secara paksa jika perlu, ke atas harta orang-orang kaya yang enggan berzakat. Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud: “Ambillah sebahagian daripada harta kekayaan mereka sebagai sedekah (zakat),”.

Kalimah ‘ambillah’ dalam ayat berkenaan merupakan satu kata perintah dan ditafsirkan oleh ulama, adalah satu taklifan (tanggungjawab) kepada Rasulullah SAW dan juga para pemerintah umat Islam, dalam menguatkuasakan perintah zakat agar ia dapat diambil walaupun secara paksa, demi maslahah (kepentingan) ummah keseluruhannya.

Di samping itu, kita juga boleh mengambil iktibar daripada apa yang dipesankan oleh Nabi Muhammad SAW saat mengutus Muaz bin Jabal r.a ke Yaman: “Beritahukanlah kepada mereka (penduduk Yaman) bahawa Allah SWT telah mewajibkan daripada sebahagian harta-harta mereka untuk disedekahkan (dizakatkan), yang diambil dalam kalangan orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir,” (Sebahagian hadis riwayat al-Jama’ah daripada Ibnu Abbas).

Al-Hafiz Ibnu Hajar menjadikan hadis ini sebagai satu dalil dan hujah tambahan bahawa pemerintah Islam berhak mengutip zakat waima secara paksa dan secara logiknya,

Sudah pastilah ia diberikan keizinan oleh Allah SWT adalah demi melihat keperluan ummah secara umumnya dapat dipenuhi menerusi amalan zakat.

Ketika berlakunya kisah riddah atau bangkit golongan penentang pasca wafatnya Rasulullah SAW, maka Abu Bakar as-Siddiq r.a sebagai khalifah telah memerangi mereka. Di dalam kumpulan riddah itu, termasuklah golongan yang enggan menunaikan zakat, walhal mereka masih solat.

Maka, kata Abu Bakar r.a,, baginda sekali-kali tidak akan membezakan antara solat dan zakat. Orang yang solat, mesti menunaikan zakat. Maka Abu Bakar pun memerangi kumpulan berkenaan sehingga akhirnya semua kembali tunduk menunaikan ibadah zakat.

Akhirnya, kita patut melihat pesanan Rasulullah SAW iaitu:

“Tidak sempurna iman seseorang jika dia tidur dalam kekenyangan sedangkan tetangga di sebelahnya kelaparan,” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Ini sebagai sandaran kukuh bahawa zakat ini adalah amalan sosial yang tidak bersifat peribadi semata-mata.

Tags: zakat
Subscribe

Posts from This Journal “zakat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments