mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ “Sabar Dalam Kehidupan”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 07 Ogos 2015: JAIS

“Sabar Dalam Kehidupan”

Apabila Allah uji kita dengan sesuatu ujian, bagaimanakah caranya kita mahu menghadapi ujian ini?

Pertama sekali ialah sabar, sebagai contoh ada orang yang jiwanya tertekan dan ingin terjun bangunan. Ada orang tidak mampu menahan tekanan jiwa dan rasa mahu menjerit.

Menurut kaedah ilmu kaunseling bahawa dengan menjerit dan meluahkan perasaan adalah satu dari cara meredakan tekanan.

Sedangkan Islam menganjurkan amalan-amalan tertentu untuk kita meringankan tekanan yang dihadapi.

Antaranya adalah;

1. Banyakkan bertenang.
2. Biasakan diri dalam keadaan berwuduk.
3. Banyakkan berzikir dan berselawat.
4. Memperbanyakkan solat sunat.
5. Memperbanyakkan berdoa kepada Allah.
6. Bersangka baik kepada Allah

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ankabut ayat 2 dan 3 :“Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, “Kami beriman,” sedangkan mereka belum diuji (bagi membuktikan keimanan mereka”? Sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang sebenar-benarnya beriman dan Dia juga mengetahui orang yang berdusta”

Sabar dalam kehidupan mempunyai beberapa jenis:

1. Sabar dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 45:  “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan bersabar dan mengerjakan solat; dan Sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”. Begitu juga dengan kewajipan.

2. Sabar untuk meninggalkan dan menjauhi larangan Allah SWT

Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 90:  “Sebenarnya sesiapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang yang berbuat kebaikan”.

3. Sabar dalam menghadapi ujian dan cubaan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 155: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”

Allah juga telah memberikan contoh dalam al-Quran dengan penderitaan yang telah dialami oleh Nabi Ayub AS.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anbia’ ayat 83: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, maka marilah sama-sama kita mengambil iktibar seperti mana saranan berikut:

1. Sabarlah dalam melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya serta meyakini bahawa ujian itu merupakan tanda kasih Allah SWT kepada hamba-Nya.

2. Setiap muslim hendaklah bersabar apabila Allah SWT memberikan nikmat kekayaan dan kesenangan kepadanya. Ini kerana tidak ramai manusia yang berjaya menghadapi ujian daripada nikmat kesenangan ini.

3. Hadapilah ujian hidup dengan kesabaran diiringi dengan usaha dan doa. Apa-apa pun perkara yang menimpa kita,

InsyaAllah ia akan menjadi kebaikan sekiranya dapat dihadapi dengan sikap positif, ikhtiar yang maksimum dan diikuti dengan doa serta tawakkal.

4. Yakinlah semakin besar dan banyak cubaan yang Allah turunkan kepada kita, semakin tinggi kesabaran yang diperlukan, semakin besar pula pahala dan rahmat Allah yang akan dilimpahkan kepada kita.

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah serta bertakwalah kamu kepada Allah suapaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Surah Ali-Imran: 200).

Wallahualam.
Tags: khutbah, sabar
Subscribe

Posts from This Journal “sabar” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments