mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Kunci Sebuah Pembebasan

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 7 Ogos 2015M/ 22 Syawal 1436H JAWI

"Kunci Sebuah Pembebasan"

Islam adalah agama yang memenuhi keperluan manusia dari aspek mental, fizikal dan spiritual melalui panduan wahyu dengan Iman, Islam dan Ihsan.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 102:Bermaksud: “Wahai orang-orang Yang beriman! bertakwalah kamu kepada Allah Dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan Dalam keadaan Islam."

Jerusalem, al-Quds dan Baitulmaqdis merupakan kota suci bersejarah bagi penganut Agama Yahudi, Kristian dan Islam. Bagi setiap Muslim, bumi Palestin secara umumnya memiliki kedudukan istimewa sebagai tanah suci yang diberkati melalui peritiwa Israk dan Mikraj. Selain itu, Masjid al Aqsa merupakan kiblat pertama bagi umat Islam. Bumi Palestin atau bumi Syam juga merupakan tanah kelahiran dan kematian serta bersemadinya para nabi dan rasul.

Namun, tabiat musuh Islam tidak akan berhenti dari memerangi Islam sehinggakan mereka bercita-cita memurtadkan umat Islam. Dengan alasan membebaskan al-Quds dan Kota Suci ini dari penguasaan Islam serta membebaskan orang-orang Kristian daripada pemeritahan Islam.

Siri peperangan bersejarah dalam perebutan al-Quds ialah Perang Salib yang pertama, kedua dan ketiga. Perang Salib Pertama berlaku antara tahun 1095 hingga tahun 1099. Seterusnya Perang Salib Kedua pada tahun 1145 hingga tahun 1149 tercetus sebagai kesinambungan daripada siri Perang Salib pertama setelah tentera Salibiah berjaya menawan banyak negeri yang berada di bawah naungan Islam. Namun, setelah hampir 91 tahun dan di bawah kepimpinan Salahuddin al-Ayubi, Islam berjaya menawan kembali al-Quds. Akhirnya, tercetus Perang Salib Ketiga pada tahun 1189 hingga tahun 1192 melalui pakatan raja-raja Kristian iaitu Henry II dari England dan juga Philip II dari Perancis terhadap tentera pimpinan Salahuddin al-Ayubi.

Kejayaan Salahuddin al-Ayubi dan tenteranya menawan Baitulmaqdis bukanlah usaha yang mudah dan diperolehi dengan harga yang murah. Tetapi Baitulmaqdis diperolehi dengan ilmu, kesungguhan, kesabaran dan kesatuan daripada seluruh umat Islam.

Ilmu adalah asas utama dalam setiap tindak tanduk umat Islam. Jihad itu lahir dari ilmu dan pengetahuan bukan lahir dari emosi dan perasaan.

Kesungguhan dan kesabaran pula adalah antara sifat penting yang perlu ada bagi setiap umat Islam.

Kesatuan umat Islam adalah aspek yang amat penting selepas ilmu, kesungguhan dan kesabaran.

Rasulullah SAW menggambarkan keadaaan ini di dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada al-Nu’man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:Bermaksud: “Perumpamaan orang yang menjaga hukum Allah dan orang yang melanggarnya ialah seperti satu kaum yang mengundi untuk mendapat tempat di dalam sebuah kapal. Sebahagian daripada mereka mendapat tempat di tingkat atas manakala sebahagian lagi di tingkat bawah. Maka apabila mereka yang berada di bawah inginkan air, mereka terpaksa pergi meminta kepada mereka yang berada di tingkat atas. Lalu mereka yang di bawah itu berkata: “Jika kita membuat lubang pada tingkat ini nescaya kita tidak perlu lagi meminta daripada orang di atas kita.” Jika mereka yang berada di tingkat atas itu membiarkan mereka yang berada di tingkat bawah melakukan perbuatan tersebut (melubangkan kapal), pasti semuanya akan musnah (tenggelam). Sebaliknya jika mereka yang berada di tingkat atas menegah perbuatan mereka, pasti mereka yang di tingkat atas akan selamat dan akan selamat juga semuanya termasuk di tingkat bawah.”

Rumusan daripada khutbah yang disampaikan pada hari ini antaranya ialah:

Pertama: Setiap perlakuan individu Muslim mestilah berasaskan ilmu kerana ilmu sahaja yang dapat menjamin kebenaran daripada kebatilan, penyelewengan dan kesesatan.

Kedua: Kesungguhan dan kesabaran adalah antara sifat penting yang perlu ada bagi setiap individu Muslim untuk mencapai kecemerlangan, kemajuan dan kebahagian dunia serta akhirat.

Ketiga: Kemajuan dan kemunduran umat Islam adalah kerana hati-hati umat ini tidak bersatu teguh untuk sama-sama memacu ke arah kemajuan.

Keempat: Keilmuan, kesungguhan, kesabaran, kesatuan dan ketokohan Salahuddin al-Ayubi dan bala tenteranya wajar dijadikan model dalam memahami erti jihad dan tuntutannya di dalam Islam

Firman Allah SWT di dalam surah surah al-Haj ayat 40:Bermaksud: “Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (Mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan Kami ialah Allah" dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa Yang menolong agamanya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa."

Wallahualam.
Tags: bebas, bersatu, ilmu, khutbah, takwa
Subscribe

Posts from This Journal “bebas” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments