mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pentingnya sihat semasa Haji

ALI bukan nama sebenar yang baru balik daripada negara Afrika atas urusan perniagaan, mengalami demam dan sakit kepala. Baginya mungkin akibat situasi biasa iaitu kerana faktor keletihan perjalanan dan perubahan cuaca antara benua.

Dia sekadar mengambil ubat biasa yang selalu dimakannya apabila dirasakan kurang sihat, namun keadaannya semakin teruk - loya, muntah-muntah, ketegangan atau sakit pada leher, mata terlalu sensitif apabila melihat cahaya, ruam pada badan dan lain-lain tanda seperti kepeningan dan kebingungan, sawan dan tidak sedarkan diri.

Pakar Perubatan Kesihatan Pekerjaan Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Hazlee Abdul Hadi berkata, tanda dan gejala itu adalah berkaitan dengan meningococcal meningitis iaitu satu penyakit melibatkan jangkitan kuman dan keradangan pada selaput otak dan saraf tunjang.

Vaksin meningococcal antara alternatif terbaik

VAKSINASI penyakit itu yang disyorkan untuk jemaah haji dan umrah dipanggil Vaksin Meninggokokal ACYW-135 yang terbahagi kepada dua jenis iaitu Polysaccharide (MPSV4) dan Conjugate (MCV4). Kedua dua jenis vaksin ini boleh mengelakkan empat jenis penyakit meninggokokal iaitu daripada kumpulan A, C, Y dan W-135. - GAMBAR HIASAN

Katanya, ia berlaku kerana jangkitan yang melibatkan selaput otak yang dipanggil ‘meninges’ menjadi radang dan boleh disebabkan oleh jangkitan bakteria, virus dan kulat.

“Penyakit meningitis berjangkit secara langsung melalui titisan rembesan salur pernafasan daripada hidung dan tekak orang yang dijangkiti (batuk, bersin, bercium atau berkongsi peralatan peribadi seperti berus gigi, pisau cukur, berkongsi peralatan makanan dan minuman).

“Tinggal di penempatan yang padat juga dikenal pasti sebagai risiko untuk mendapat jangkitan seperti ini, seperti semasa melakukan ibadah haji dan umrah,” katanya di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tegas Hazlee, lima hingga 10 peratus daripada mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala penyakit dan sekiranya tidak mendapat rawatan sempurna, pesakit meningitis mungkin mengalami masalah sistem saraf seperti lumpuh, kerencatan akal, pekak, kurang penglihatan atau boleh membawa maut.

Sementara itu, kerajaan memberikan vaksinasi penyakit itu yang disyorkan untuk jemaah haji dan umrah yang dipanggil vaksin meninggokokal ACYW-135 yang terbahagi kepada dua jenis iaitu polysaccharide (MPSV4) dan conjugate (MCV4). Kedua dua jenis vaksin ini boleh mengelakkan empat jenis penyakit meninggokokal iaitu daripada kumpulan A, C, Y dan W-135.

“Hanya jenis polysaccharide sahaja yang disyorkan dan selamat untuk golongan berumur lebih dari 55 tahun buat masa ini. Manakala jenis conjugate pula selamat untuk diberikan dari umur 9 bulan - 55 tahun. conjugate vaksin lebih baru berbanding Polysaccharide dan boleh mengurangkan kadar pembawa penyakit ini (carrier) melalui saluran pernafasan.

“Ini boleh mengurangkan risiko membawa balik penyakit ini dari kawasan endemik ke tanah air dan dengan itu akan mengurangkan risiko menjangkiti keluarga terdekat.

“Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia sehingga bulan Januari tahun ini lebih 217 juta orang telah menerima vaksin meningokokal A conjugate vaccine di 15 negara di lingkaran Afrika (African belt),” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Kesihatan Lembaga Tabung Haji, Abdullah Talib menarik perhatian dengan mengatakan ibadah haji dan umrah bukan sahaja perhimpunan ibadah tetapi boleh dianggap sebagai perhimpunan penyakit.

“Umat Islam seluruh dunia akan berhimpun serentak dalam satu masa dalam jumlah yang terlalu besar iaitu melebihi 3 juta orang. Jemaah haji dari negara ini bukan senang untuk dipilih menjadi tetamu Allah, jadi kena bersiap sedia sepenuhnya terutama daripada segi kesihatan.

“Syarat Arab Saudi amat jelas, visa dan permit haji serta umrah hanya akan diberikan apabila jemaah itu telah mendapat suntikan vaksin,” katanya yang memaklumkan pada tahun ini seramai 600 petugas Tabung Haji, termasuk 250 petugas kesihatan akan membantu melancarkan segala urusan jemaah,” katanya.

Tambah Abdullah, cuaca musim haji kali ini dijangka amat panas iaitu antara 40 dan 45 darjah Celcius dan para jemaah semasa menghadiri kursus-kursus haji diingatkan supaya jangan mendedahkan diri terlalu lama kepada cuaca panas.

“Kena minum air dengan banyak bagi mengelak terjadi kejutan kepada cuaca panas atau strok haba,” katanya.

Tags: haji, kesihatan
Subscribe

Posts from This Journal “kesihatan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments