mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Penanda aras ilmuan tahfiz Darul Quran terus lahirkan tokoh hafiz profesional

BUKAN sahaja ganjaran di akhirat, tetapi sejak di dunia lagi Allah SWT telah menjanjikan pelbagai kelebihan kepada orang yang menghafal kalam Allah SWT iaitu al-Quran.

Sehinggakan Allah SWT meletakkan martabat golongan yang dikenali sebagai hafiz itu sebagai kerabat menerusi hadis yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat baginda.

Tidak memandang remeh terhadap galakan sabda Nabi Muhammad SAW, usaha itu diangkat oleh Darul Quran (DQ) sehingga menjadi satu-satunya rujukan berkaitan al-Quran di negara ini.

Walaupun terletak jauh dari ibu kota, namun sebut sahaja Maahad Tahfiz, pastinya terlintas dalam fikiran kebanyakan daripada kita mengenai madrasah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu.

Tidak kira sama ada untuk tujuan kemasukan atau rujukan berkaitan al-Quran, pusat pengajian dan hafazan yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor itu sentiasa menjadi pilihan ramai untuk dijadikan panduan.

Sehinggakan penubuhannya dilihat sebagai penanda aras bagi madrasah tahfiz seumpamanya yang terdapat di negara ini berikutan pencapaian yang diperoleh termasuk daripada dalam dan luar negara sejak ditubuhkan pada 1966 atau 49 tahun lalu.

Malah, nama-nama besar seperti Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad; pendakwah, Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz dan Hassan Mahmud al-Hafiz juga merupakan antara tokoh kelahiran institusi tersebut.

Pengarahnya, Dr. Nordin Ahmad berkata, DQ merupakan satu-satunya pusat tahfiz yang bernaung di bawah Jakim dan pelbagai agensi daripada institusi dan institut pengajian tinggi sering meminta untuk menjalinkan kerjasama bersama DQ.

Beliau berkata, usaha itu bertujuan menggunakan kepakaran dan pengiktirafan yang diterima oleh DQ bagi dikongsikan kepada kakitangan atau pelajar di agensi masing-masing.

“DQ sering menjadi tumpuan daripada pelbagai agensi sama ada kerajaan mahupun bukan kerajaan dan juga institusi pengajian yang ingin bekerjasama mengenai bidang pengajian dan hafazan al-Quran.

“Kita juga sering menjadi rujukan dan salah satu panel pemantauan berkaitan al-Quran dan penubuhan pusat Tahfiz al-Quran di negara ini bagi memastikan penubuhan dan silibus pengajiannya adalah mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Setakat ini, DQ telah mempunyai sebanyak 14 madrasah tahfiz induk yang terdapat di seluruh negara yang akan mendapat sijil pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, DQ yang dikenali sebagai Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ditubuhkan sebagai salah satu unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur.

Dengan penubuhan tersebut maka bermulalah pengajian dalam bidang Tahfiz al-Quran di Dewan Syarahan Masjid Negara pada 1 Mac, 1966 dengan bilangan pelajar pada masa itu seramai lapan orang sebagai perintis yang dipilih dan dihantar oleh seluruh negeri di Malaysia.

Sejak penubuhannya, DQ telah mengalami beberapa kali proses pemindahan iaitu pada tahun 1980 di bangunan JKR 588/33, Jalan Chenderasari, Kuala Lumpur dan kemudiannya dipindahkan ke Taman Tun Dr. Ismail bagi penempatan pelajar lelaki dan pelajar perempuan pula ditempatkan di Jalan Ledang pada 1992.

Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat akhirnya ditukar nama sebagai Darul Quran pada 1 November 1998, dan ditempatkan ke kampus tetap sehingga kini di Kompleks Darul Quran di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Mempunyai persekitaran yang tenang dan selesa, kampus DQ sangat bersesuaian bagi pelajar untuk menghafal al-Quran di samping terletak jauh daripada kawasan kota.

Gambar Ihsan Darul Quran

SABDA Rasulullah SAW bermaksud; “Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabat-Nya dalam kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah SAW? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan orang-orang pilihannya.” - Riwayat Ibnu Majah

Pertama kali diperkenalkan di negara ini, DQ melangkah ke hadapan dengan menawarkan kursus Sijil Pengurusan Masjid Tahap 3 dengan mendapat kerjasama Sijil Kemahiran Malaysia.

Nordin berkata, kursus yang baru diperkenalkan pada Julai lalu itu mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi memperakui kemahiran yang diceburi pelajar.

“Kita melihat, ramai dalam kalangan Hafiz yang berjaya menghafal keseluruhan al-Quran, tetapi malangnya tidak mempunyai latar belakang pendidikan akademik. Ini akan menyukarkan mereka untuk memperoleh pekerjaan kerana tiada kelulusan rasmi.

“Justeru, DQ memperkenalkan program ini dengan memberi peluang kepada Hafiz yang tidak mempunyai pendidikan akademik untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Dengan adanya pengkhususan ini, graduan boleh berkhidmat bukan sahaja sebagai imam masjid, tetapi mampu menguruskan segala urusan pentadbiran masjid dengan sendiri berbanding pentadbiran masjid yang diuruskan oleh mereka dalam pelbagai latar belakang kini,” katanya.

Setakat ini terdapat 20 pelajar yang menyertai kursus Sijil Pengurusan Masjid Tahap 3 selama empat semester atau dua tahun.

Antara kemudahan pembelajaran yang disediakan di DQ ialah dewan kuliah, makmal komputer, makmal al-Quran, makmal bahasa, perpustakaan , surau, asrama lelaki dan perempuan, dewan makan, dan auditorium.

Manakala bagi kemudahan riadah, terdapat padang permainan untuk sepak takraw, bola sepak, badminton, bola tampar, bola jaring, bola keranjang dan trek jogging.

Tags: hafiz
Subscribe

Posts from This Journal “hafiz” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments