mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Tanggungjawab Memelihara Keluarga

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat 14 Ogos 2015M/ 29 Syawal 1436H JAWI

Tanggungjawab Memelihara Keluarga

Firman Allah SWT tersebut dalam surah al-Tahrim, ayat 6. Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh para malaikat yang kasar, bengis (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah terhadap setiap perkara yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap (setia) melaksanakan segala yang diperintahkan.”

Sebagai seorang ketua dalam sesebuah keluarga, kitalah yang menentukan hala tuju ahli keluarga kita sama ada bakal menghuni syurga atau menerima azab neraka di akhirat kelak.

Menurut Ibn al-Munzir, Sayyidina Ali RA ketika membicarakan ayat ini beliau pernah berpesan, “Ajarkanlah diri kamu dan keluarga kamu tentang kebaikan dan didiklah mereka.”

Peranan untuk membentuk peribadi isteri dan anak-anak, semuanya tertanggung di pundak kita.

Pertama: Memberikan pendidikan dan tarbiah Islam kepada anggota keluarga. Pupuklah mereka supaya bercita-cita tinggi untuk memburu kejayaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah, ayat 200 hingga 202: Bermaksud: “Maka dalam kalangan manusia ada orang yang berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia”, dan tiadalah baginya bahagian di akhirat. Dan dalam kalangan mereka ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka”. Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian daripada yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.”

Kedua: Tanggungjawab menjaga dan memelihara anak dan isteri

Allah SWT berfirman dalam surah al-Syuara’, ayat 214:  Bermaksud: “Dan berilah peringatan (nasihat) kepada kaum kerabatmu yang terdekat.”

Peringatan paling penting kepada ialah ialah supaya berpegang teguh dengan aqidah Islam dan jangan sekali-kali mensyirikkan Allah SWT.

Inilah yang telah dipesan oleh seorang bapa contoh yang bernama Luqman al-Hakim kepada anak-anaknya sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Luqman, ayat 13:  Bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mensyirikkan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.”

Firman Allah SWT dalam surah Luqman, ayat 14: Bermaksud: “Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kamu kembali.”

Ketiga: Menghidup dan membudayakan syariat Islam dalam rumah tangga.

Asas membudayakan Islam dalam rumah ialah dengan mendirikan solat dan memerintahkan setiap ahli keluarga melaksanakannya. Sedarlah bahawa ia bukanlah suatu yang mudah, malah ia menuntut kesabaran yang tinggi.

Firman Allah SWT menerusi surah Toha, ayat 132:  Bermaksud: “Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu tentangnya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.”

Mengakhiri khutbah kali ini, marilah sama-sama kita mengamati inti khutbah yang telah disampaikan tadi.

Pertama: Keluarga adalah merupakan suatu anugerah sekali gus sebagai amanah daripada Allah SWT kepada kita.

Kedua: Kita hendaklah menyediakan pendidikan yang seimbang antara dunia dan akhirat kepada setiap ahli keluarga.

Ketiga: Kemuncak kebahagiaan dalam berkeluarga ialah apabila setiap anggotanya membudayakan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian. Bukan mudah untuk mencapainya, namun yang dituntut itu adalah usaha kita.

Ambil masa dan marilah kita renung sejenak firman Allah SWT dalam Surah al-Tur, ayat 21: Bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman, dan zuriat (anak cucu) mereka mengikuti mereka dalam keimanan, kami hubungkan (himpunkan) anak cucu mereka dengan mereka (di dalam syurga), dan kami tiada kurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.”

Wallahualam.
Tags: keluarga, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “keluarga” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments