mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Maqasid syariah 
mahu ke mana?

AKAR-AKAR umbi maqasid syariah adalah nas-nas al-Quran dan Sunnah. Walau bagaimanapun yang dilihat pada nas itu bukan semata-mata hukumnya yang khusus, akan tetapi falsafah dan maksudnya yang umum.

Tumpuan seorang pengkaji maqasid bukan semata-mata kepada perkataan dan ayat pada nas hukum, tetapi matlamat besar (yakni maqasid) yang ingin dicapai daripada pensyariatan hukum berkenaan. Dia tidak hanya bertanya ‘apa’ yang disyariatkan dalam nas tetapi juga ‘kenapa’ disyariatkan.

Hari ini pendekatan hukum berasaskan maqasid dilihat mempunyai potensi yang besar untuk dikaji secara bersungguh-sungguh dan diaplikasikan bagi menyelesaikan masalah-masalah hukum semasa, bahkan orang politik pun sudah mula bercakap tentang maqasid syariah khususnya tentang betapa hukum Islam itu memberi perlindungan terhadap lima perkara paling asas dalam kehidupan iaitu nyawa, agama, akal, harta dan keturunan.

Di negara kita sendiri, walaupun timbul gesaan yang kuat agar mahkamah syariah diperkasakan, akan tetapi pelaksanaan hukum Islam cuba dibuat oleh pihak berkuasa dengan cara yang amat berhemah, dengan mengambil kira faktor-faktor perlembagaan, politik, serta sensitiviti kaum dan agama. Semua itu adalah polisi yang berasaskan kepada pertimbangan saksama terhadap maslahah dan mudarat.

Dalam keadaan masyarakat umum yang sudah terlalu banyak dikelirukan oleh perkara-perkara cabang hukum, eloklah sekiranya usaha penjernihan kefahaman dilakukan dengan membawa kepada perbahasan tentang perkara-perkara pokok dalam agama.

Istilah agama bagi perkara pokok adalah ‘asl’ (jamaknya usul), manakala cabang kepada pokok itu dinamakan ‘furu’’. Pembahagian ini, kalau difahami dengan baik, sudah dapat meleraikan sebahagian daripada kekusutan kerana kebanyakan kekusutan yang berlaku adalah kerana pengeliruan perkara furu’ dengan usul.

Kata orang Kelantan: ‘apabila ‘ekor’ dan ‘kepala’ sesuatu masalah tidak diketahui’, tidak mungkin masalah itu dapat diselesaikan.

Agama Islam itu ibarat sebatang pokok yang subur bercabang-cabang. Apa yang menjadi cabang, sifatnya adalah bergantung pada batang pokok. Ia tidak boleh berdiri sendiri. Maka, sekiranya ia dipotong mati kekeringanlah ia, sedangkan batang pokok tidak akan mati walaupun tanpa cabang-cabangnya.

Demikianlah juga ilmu-ilmu agama disusun dan ditentukan keutamaannya masing-masing, maka ada ilmu yang dikategorikan sebagai usul dan ada yang dikategorikan sebagai furu’. Ilmu tentang hukum-hakam termasuk dalam furu’ agama, dan ini termasuklah ilmu usul fiqh yang membahaskan bagaimana hukum-hakam itu boleh terbit daripada sumber-sumbernya.

Di sinilah ditemui perbahasan tentang maqasid syariah. Ia adalah falsafah hukum Islam dan perbezaannya dengan falsafah undang-undang yang lain adalah pada punca pengambilannya iaitu nas-nas dan tafsiran al-Quran dan Sunnah.

Pada hakikatnya tentang maqasid syariah itu sendiri masih lagi merupakan perbahasan pada peringkat cabang agama iaitu hukum-hakamnya.

Syariah adalah ‘jalan’ menuju Allah dan lima perkara daruri yang didokong dan dipertahankan oleh hukum agama itu hanyalah ‘alat’ bagi mencapai maksud iaitu penyerahan diri (Islam) yang sebenar kepada Allah.

Yang memberi erti muktamad kepada maqasid yang berbagai itu adalah maksud tertinggi yang satu itu. Itulah sebabnya mengenal Allah itu adalah kewajiban pertama setiap hamba kerana pada-Nyalah tersimpan segala hakikat. Hanya yang kenal Allah akan mengenali rahsia yang tersembunyi di sebalik hukum-hakam-Nya.

Keraguan, ketakutan, kebencian dan penentangan terhadap hukum Islam adalah petanda kurang atau tiada pengenalan terhadap hakikat Islam dan pandangan alamnya. Ini berpunca daripada kejahilan dan kekeliruan kaum Muslimin sendiri terhadap agamanya sedangkan orang lain melihat dan menghukum Islam itu sebagaimana yang terzahir pada perkataan dan amalan penganutnya.

Justeru, keutamaan sebenar kita pada masa ini bukanlah membawa masyarakat berbahas tentang falsafah hukum Islam, sebaliknya mengajak mereka mengenal hakikat Islam dan pandangan alam yang dipancarkannya.

Masalah pokok yang melanda seluruh manusia hari ini adalah kejahilan, keraguan dan salah-faham terhadap persoalan-persoalan dasar dalam kehidupan.

Siapakah aku? Bagaimanakah bermulanya kewujudan? Apakah ada kehidupan selepas mati? Apakah erti kebahagiaan? Apakah erti agama? Apakah erti kebebasan, akhlak, dan keadilan? Persoalan-persoalan inilah yang menjadi asas kesedaran setiap manusia dan rujukan kepada setiap tindakannya dalam kehidupan. - Md Asham Ahmad Utusan Malaysia Rencana Agama18 Ogos 2015 1:26 AM

Tags: maqasid, syariah
Subscribe

Posts from This Journal “maqasid” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments