mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Sebar syiar Islam kepada semua kaum

PERTUBUHAN Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) ditubuhkan pada 19 Ogos 1960 di Residensi kediaman Tunku Abdul Rahman Putra yang merupakan Perdana Menteri ketika itu. Almarhum Tunku Abdul Rahman telah meminta Abdul Mubin Sheppard yang merupakan Ketua Pengarah Muzium dan Arkib Negara untuk memanggil beberapa pemimpin masyarakat daripada pelbagai kaum untuk menubuhkan Perkim dengan tujuan seruan Islam dapat disebarkan kepada pelbagai kaum di Persekutuan Tanah Melayu.

Sejak mula kepimpinan Perkim menampilkan kepelbagaian bangsa dalam Islam seperti Abdul Mubin Sheppard selaku Setiausaha (Orang Inggeris Muslim), SOK Ubaidullah selaku Yang dipertua (India Muslim), Ally Marikar selaku Bendahari (India Muslim) dan Ibrahim Ma (China Muslim). Selain itu, dilantik beberapa tokoh agama iaitu Mohd. Ali Taib (Selangor), Ali Raya (Johor), Damanhuri (Perak) dan Dusin dari Kor Agama Tentera. Tidak ketinggalan tokoh UMNO seperti Tuan Syed Jaafar Albar dan Tuan Syed Nasir Ismail (Johor) dan Wan Kadir Ismail (Terengganu). Dr. Muhammad Rauf selaku Pengetua Kolej Islam Klang memberi sokongan kuat kepada penubuhan Perkim dan menggalakkan guru-guru Kolej Islam membantu Perkim.

Dalam mesyuarat pertama itu Tunku Abdul Rahman menyebut bahawa matlamat Perkim adalah untuk menerangkan perihal agama Islam kepada orang bukan Islam di negara kita. Hasrat ini tercatat dalam surat jemputan Abdul Mubin Sheppard, “...semenjak agama Islam telah menjadi agama rasmi (Agama Persekutuan) bagi negara ini timbullah cita-cita hendak menambahkan langkah-langkah untuk menyampaikan hal-ehwal agama kita kepada orang di Malaya yang belum Islam lagi”.


BANGUNAN Perkim di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Sayugia disebut Perkim dipertanggungjawabkan oleh Tun­ku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri untuk menyampaikan atau menerangkan syiar Islam kepada rakyat yang bukan Islam. Tunku Abdul Rahman melihat be­tapa Perkim perlu mengguna kaedah membuat kerja-kerja kebajikan kepada orang bukan Islam kerana menurut beliau pendekatan kebajikan yang praktikal lebih berkesan daripada syarahan atau kuliah agama.

Bagi tujuan menggerakkan Perkim, Tunku Abdul Rahman tememberi peruntukan daripada Jabatan Perdana Menteri yang mana digunakan untuk melatih pendakwah dan membiayai program-program penerangan Islam. Apabila Jakim ditubuhkan pada 1968 banyak kerja kemajuan Islam diserap kepada Jakim.

Apabila orang bukan Islam tertarik kepada agama Islam, mereka perlu diberi penerangan yang lebih lanjut tentang agama Islam. Bagi tujuan ini Perkim menubuhkan rangkaian Balai Islam di seluruh negara khasnya di daerah majoriti penduduk Cina seperti di Selayang, Kepong, Jinjang, Klang dan Ipoh di mana terdapat pejabat penerangan Perkim dan perpustakaan yang memberi maklumat tentang agama Islam. Pada 1973 Balai Islam Perkim di Jalan Ipoh yang merupakan ibu pejabat Perkim dibuka secara rasmi oleh Allahyarham Tun Abdul Razak yang turut memberi dana membina pejabat tersebut.

Perkim menubuhkan sebuah Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) pada 1963 untuk melatih pendakwah daripada bukan Melayu di mana pada masa kini IDIP beroperasi di Pengkalan Chepa, Kelantan, telah pun memberi latihan kepada ribuan mualaf dari seluruh negara dan juga dari negara ASEAN.

Selain IDIP, Perkim juga menubuhkan agensi kebajikan lain seperti Asrama Anak Orang Asli, Asrama Anak Yatim (Datar), TASPUTRA yang memberi latihan kepada anak OKU, Pusat Pemulihan Pesakit Strok dan pusat perlindungan wanita. Terkini Perkim dalam proses membina Kompleks Dakwah, Kebajikan dan Pendidikan di Sungai Petani, Kedah yang merupakan pusat sehenti di mana terdapat pusat Hemodialisis, taska, tadika, pusat tuisyen, rumah perlindungan mualaf dan wanita, rumah kebajikan orang tua, rumah transit anak yatim dan klinik asnaf.

Pusat Hemodialisis dan klinik asnaf adalah kerjasama dengan Pusat Zakat Kedah sementara lain-lain kemudahan disumbang pihak korporat seperti TNB, Khazanah, BSN Prudential dan MBSB. Adalah diharapkan lebih banyak korporat tampil membantu NGO seperti Perkim melalui dana CSR.

Dalam kerangka menyambut ulang tahun ke-55 Perkim terdapat desakan supaya Perkim yang sudah lama memberi sumbangan dalam lapangan kebajikan dan mempunyai pejabat di setiap negeri supaya menampilkan sebuah gagasan kebajikan menjadi payung atau pusat sehenti yang dapat menyalurkan bantuan kepada golongan miskin di seluruh negara. Setiausaha Agung Perkim Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berpendapat kekayaan dan kemewahan negara yang kini tertumpu di Lembah Klang wajar dikongsi sama oleh golongan miskin di seluruh negara melalui mekanisme Tabung Prihatin Perkim.

Seperti yang kita maklum banyak majlis perayaan dan kenduri serta kutipan derma tertumpu di Kuala Lumpur, Putrajaya dalam Lembah Klang sedangkan terdapat banyak rumah anak yatim, kebajikan dan madrasah tahfiz Quran berada di luar Lembah Klang. Sebagai contoh ketika bulan Ramadan dan Syawal golongan anak yatim, orang tua dan tahfiz yang dijemput atau diberi bantuan berlegar sekitar Lembah Klang sahaja.

Terdapat kes di mana anak-anak yatim di rumah anak yatim dalam Lembah Klang yang mendapat 10 pasang baju raya yang disumbangkan oleh pihak korporat. Begitu juga kes sindiket pengemis warga asing yang berjaya mengumpul puluhan ribu sehari disebabkan ramai warga kota yang bermurah hati memberi derma tanpa usul periksa.

Mohd. Yusof yakin jika Tabung Prihatin Perkim ini dapat digerakkan, Perkim yang mempunyai reputasi dalam bidang kebajikan. Insya-Allah akan berjaya mengumpul sekitar RM10 juta setahun untuk diagihkan kepada pihak yang memerlukan di luar Lembah Klang. Melalui jaringan pejabat Perkim yang terdapat di seluruh negara dan kerjasama dengan Persatuan Anak Yatim (Peyatim) dapatlah sumbangan yang pada masa ini tertumpu di Lembah Klang diedarkan ke seluruh negara.

Tabung Prihatin Perkim ini juga akan dapat memenuhi permintaan makanan daripada golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat kita seperti golongan fakir dan miskin, anak yatim, Orang Asli, musafir dan sebagainya yang memerlukan makanan. Pejabat-pejabat Perkim akan menyedia makanan seperti stok beras, sardin, biskut, kopi dan teh untuk diberikan kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan makanan seperti golongan gelandangan.

Bagi mengisi tabung ini Perkim mencadangkan setiap pihak korporat yang mempunyai dana CSR dapat menjadi penyumbang utama. Selain itu, melalui langkah penjimatan setiap syarikat yang mengadakan jamuan melibatkan katering makanan memberi sumbangan 10 peratus kepada tabung ini.

Bagi menjamin ketelusan serta keberkesanan tabung ini, Perkim melantik sebuah Jawatankuasa Ku­tipan dan Agihan yang terdiri daripada tokoh-tokoh Perkim seperti Datuk Zainal Abidin Kadir (Pengerusi), Datuk Nakhaie Ahmad (Pengerusi Perkim Wilayah Persekutuan), Tan Sri Dr. Muhammad Rais Abdul Karim (Bendahari Perkim), Datuk Dr. Ismail Ibrahim (bekas Ketua Pengarah IKIM) dan Datuk Yidris Abdullah (Pengarah Pembangunan dan Aset Perkim).

Penyumbang juga dialu-alukan memberi sumbangan melalui akaun Perkim di Affin Bank 1050-2000-2899 atas nama Tabung Kebajikan Tunku.

Tags: perkim
Subscribe

Posts from This Journal “perkim” Tag

  • Sumbangan besar Perkim

    PERTUBUHAN Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) ialah pertubuhan yang melaksanakan aktiviti dan dakwah berteraskan kebajikan kepada semua kaum tanpa…

  • Perkim 54 tahun

    PERTUBUHAN Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan telah mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil sempena Hari Perkim Ke-54 bertempat di Dewan…

  • Meneruskan tradisi dakwah

    PADA hari ini, warga Perkim akan menyambut ulang tahun penubuhan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia ini buat kali ke-54 di Masjid Assyakirin KLCC…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments