mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

50 tahun terus istiqamah perkasa dakwah

SELEPAS 50 tahun, Masjid Negara yang dibina sebagai tanda kesyukuran kemerdekaan Malaysia yang dicapai secara aman tanpa sebarang pertumpahan darah terus menjadi lambang pembangunan Islam serta penyatuan ummah di negara ini.

Ternyata doa Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail, dalam titah ucapan ketika merasmikan pembukaan Masjid Negara pada 27 Ogos 1965 supaya segala kebajikan, kemajuan dan kemakmuran dinikmati seluruh rakyat Malaysia berlipat ganda dimakbulkan Allah SWT.


MASJID Negara lambang pembangunan Islam dan penyatuan ummah. - Foto Effendy Rashid

Walaupun negara berdepan pelbagai krisis serta permasalahan, menghadapi saat jatuh bangun dalam proses memacu kejayaannya, rakyat yang terdiri daripada masyarakat berbilang agama dan bangsa tetap berusaha menjaga perpaduan supaya kemakmuran terpelihara.

Begitu juga harapan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra yang mengharapkan Masjid Negara menjadi gedung ilmu pengetahuan dan memandu masyarakat Islam ke jalan diredai Allah SWT terus dikongsi kepemimpinan negara hingga kini.

Lambang kegemilangan Islam

Meniti usia setengah abad, Masjid Negara menjadi kebanggaan khususnya kepada umat Islam sebagai lambang kegemilangan Islam sejajar visinya meneraju kecemerlangan institusi masjid di seluruh negara menjelang tahun 2020.

Usaha itu dilakukan secara istiqamah bagi memenuhi misi Masjid Negara untuk memperkasakan aspek dakwah dan pendidikan dalam memantapkan kefahaman masyarakat serta rasa ingin sentiasa mendekati Islam melalui organisasi masjid secara kreatif dan strategik.

Pembinaan Masjid Negara dicetuskan sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi, tetapi hasrat itu berjaya direalisasikan apabila kerja penyediaan tapak dimulakan pada Disember 1960 dan Tunku Abdul Rahman merasmikan upacara penetapan arah kiblat pada 27 September 1961.

Masjid Negara menyimpan kisah unik kerana pembinaannya yang menelan kos kira-kira RM10 juta itu sebahagiannya adalah daripada sumbangan ahli perniagaan, korporat dan orang ramai yang berjaya mengumpul dana RM3 juta.



MASJID Negara ketika dalam pembinaan. - Foto fail NSTP

Mercu tanda negara

Rakyat negara ini patut berbangga kerana turut menyumbang kepada pembinaan masjid yang menjadi mercu tanda negara tercinta. Selebihnya, kos pembinaan diperoleh daripada peruntukan Persekutuan Tanah Melayu (RM4.5 juta) serta sumbangan kerajaan negeri (RM2.5 juta).

Begitu juga dari aspek seni bina masjid yang terletak di tanah seluas 5.2 hektar ketika itu di Jalan Sultan Hishamuddin diterajui anak tempatan, arkitek Pejabat Pengarah Kerja Raya Persekutuan, Datuk Dr Baharuddin Abu Kassim, Datuk Hisham AlBakri dan arkitek British, H Ivor Ashley.

Menurut Dr Baharuddin, tapak Masjid Negara yang berdekatan stesen kereta api dipilih oleh Tunku Abdul Rahman dengan alasan ia akan memudahkan mereka yang bermusafir untuk menunaikan ibadah serta berehat sebelum meneruskan perjalanan masing-masing.

Memikirkan keadaan masyarakat yang menggunakan pengangkutan awam, kedudukan itu dilihat begitu strategik. Malah, Tunku Abdul Rahman dengan tegas menjelaskan objektif pembinaan Masjid Negara adalah untuk manfaat rakyat.

"Tunku punya idea adalah rakyat terlebih dahulu. Beliau kata orang dulu-dulu tak ada kereta, mereka naik kereta api. Sebab itu, masjid dekat dengan stesen kereta api.

Masjid boleh diguna untuk orang berteduh, lepas itu solat. Kita yang buat dapat pahala," katanya mengimbau kembali kata-kata Tunku. Pegawai Perhubungan Awam Masjid Negara, Abdul Rashid Md Isa, berkata menepati objektif sebagai institusi yang mesra masyarakat,

Masjid Negara menyediakan pelbagai kemudahan untuk dimanfaatkan bukan sahaja jemaah yang datang beribadah tetapi juga mereka yang sedang bermusafir.

Malah katanya, pada awal pembinaannya dahulu, masjid berkenaan turut menyediakan bilik untuk musafir berehat, tetapi disebabkan ada pihak menyalahgunakan kemudahan itu dengan menetap lama, pihak pengurusan mengambil keputusan menggunakan ruang berkenaan untuk kegunaan lain.

"Sekarang pun kita menerima kehadiran bas rombongan dari seluruh negara yang berhenti di masjid untuk berehat, membersihkan diri dan menunaikan solat sebelum mereka meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

"Ada juga pihak mencadangkan dibina asrama atau hotel untuk kemudahan mereka yang ingin bermalam berhampiran dengan masjid. Itu cadangan yang baik dan pihak berkenaan boleh memikirkan kaedah terbaik untuk merealisasikan hasrat itu," katanya.



MASJID Negara jadi tumpuan jemaah bertarawih. - Foto hiasan

Ruang solat muat 3,000 jemaah

Selain kemudahan ruang solat yang mampu memuatkan 3,000 jemaah, kemudahan lain yang terdapat di Masjid Negara ialah Dewan Syarahan Utama, bilik mesyuarat, bilik kuliah, bilik taklimat, bilik kaunseling, perpustakaan, tempat pengurusan jenazah, kiosk dan pejabat Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan.

Bagi Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, berasa bertuah kerana diberi amanah untuk berkhidmat di masjid berkenaan kerana hubungannya dengan institusi itu sudah terjalin sejak usia remaja ketika mengikuti pengajian tahfiz pada tahun 60-an.

Katanya, menepati inspirasi Rasulullah SAW menjadikan masjid sebagai institusi pelbagai fungsi, Masjid Negara menganjurkan pelbagai program memantapkan pengetahuan umat Islam seperti kelas pengajian, tahfiz serta kursus pemantapan sahsiah remaja selain aktiviti berbentuk massa untuk korban dan aqiqah.

"Masyarakat juga bermurah hati dalam membantu masjid menganjurkan pelbagai aktiviti melalui sumbangan mereka. Berkat sokongan ramai yang menderma, tabung Jumaat kita sentiasa bertambah dan mencecah hingga RM30,000 untuk setiap Jumaat.

"Saya berpandangan Masjid Negara akan sentiasa menjadi tumpuan umat Islam yang akan mengimarahkan masjid terutama pada Ramadan untuk bertarawih.

Boleh dikatakan, apa yang diperlukan masyarakat boleh diperoleh di Masjid Negara," katanya.

Prihatin keselesaan orang ramai

Beliau berkata, pihak pengurusan juga prihatin dengan keselesaan orang ramai yang berkunjung ke Masjid Negara dengan memastikan kemudahan di masjid sentiasa diselenggara secara berkala, manakala kerosakan cuba diperbaiki pada kadar segera.

Berdasarkan statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), 500,000 jemaah dan pengunjung yang datang ke Masjid Negara setahun dan daripada jumlah itu kira-kira 250,000 adalah pelancong termasuk dari luar negara termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang berkunjung pada April tahun lalu.

Sempena sambutan Jubli Emas Masjid Negara yang bermula 27 hingga 29 Ogos, pelbagai acara menarik disediakan kepada pengunjung antaranya ekspo, Forum Perdana Ehwal Islam, program Lailatul Quran dan pertandingan Bilal Cilik.

Mereka yang hobinya mengumpulkan sampul surat hari pertama setem kenang-kenangan pula boleh mendapatkan setem Masjid Di Malaysia di semua pejabat pos seluruh negara bermula esok.

Khusus untuk pembeli di Masjid Negara, sampul surat akan dicop dengan cap khas tertera perkataan Masjid Negara.


PROSES meletak mimbar di Masjid Negara. - Foto fail NSTP

INFO

SEJARAH PEMBINAAN MASJID NEGARA

Cetusan idea
: Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra dan jawatankuasa kerja Masjid Negara di bawah pemantauan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Tun Abdul Razak Hussein.

Kos pembinaan: RM10 juta (RM4.5 menggunakan peruntukan Persekutuan Tanah Melayu, RM2.5 juta sumbangan kerajaan negeri dan RM3 juta daripada ahli perniagaan, korporat serta orang ramai).

Tempoh pembinaan: Dari 1963 hingga 27 Ogos 1965. Perasmian Masjid Negara: Pada hari Jumaat 27 Ogos 1965 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail.

Reka bentuk Masjid Negara: Menara berukuran 245 kaki tinggi kelihatan seperti sekaki payung yang kuncup manakala bumbungnya kelihatan seperti sekaki payung yang kembang dihiasi mozek kaca dan emas putih. Bumbung berukuran 84 kaki tinggi itu mempunyai garis pusat sepanjang 200 kaki dan disokong oleh 16 batang tiang yang ukuran garis pusatnya sepanjang 3 kaki.

Tiang-tiang itu diturap dengan terrazzo. Di tengah-tengah bumbung itu terdapat sebuah aluminium yang diukir ayat al-Quran - seperti replika kubah Masjid Biru di Istanbul, Turki.

Bentuk mihrabnya dulu bersegi seperti pintu tetapi telah diubah suai melengkung seperti gerbang. Mihrab ini bertatahkan ayat al-Quran dalam seni khat Maghribi.

Mimbar, tempat imam berkhutbah pula terletak di sebelah kanan mihrab. Mimbar berbentuk seperti beranda itu dibina daripada kayu.

Dewan sembahyang dapat memuatkan 3,000 jemaah dan berupaya menampung 5,000 lagi di beranda yang terdapat di ketiga-tiga rusuk bahagian dewan itu.

Seluruh kawasan masjid dikelilingi sebahagiannya tembok konkrit dan sebahagiannya pagar berhias. Semuanya terdapat tujuh pintu masuk. Permakaman untuk tujuh pahlawan negara terletak di bahagian barat.
Tags: dakwah, istiqamah, masjid
Subscribe

Posts from This Journal “istiqamah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments