mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kawal harga rumah

Membaca hasil kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Selasa lalu tentang harga purata rumah di negara ini adalah 4.4 kali lebih tinggi berbanding purata gaji tahunan sebenar rakyat Malaysia mengiyakan cakap-cakap mengenainya selama ini.

KRI dalam laporannya menyatakan median harga kediaman di negara ini ialah RM242,000 berbanding pendapatan bulanan RM4,585 dan tahunan RM55,020. Harga kediaman di Kuala Lumpur yang mendapat skor 5.4 jauh lebih tinggi iaitu RM490,000 dengan median pendapatan bulanan RM7,620 dan tahunan RM91,440, iaitu di atas paras ‘sangat tidak mampu dimiliki’ atau ‘sangat mahal’ berdasarkan piawaian antarabangsa.

Ternyata berita ini menggusarkan kita terutama bagi mereka yang belum memiliki rumah dan juga pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga. Ibu bapa pun pening apabila memikirkan masa depan anak-anak. Mampukah mereka miliki rumah pada masa depan kalau harganya sekarang pun sudah ‘sangat tidak mampu dimiliki’.

Dalam Islam, rumah adalah antara keperluan asas hidup. Rumah adalah salah satu anugerah Allah yang amat tinggi nilainya kepada manusia. Manusia sememangnya memerlukan rumah sebagai tempat perlindungan. Selain itu rumah adalah tempat untuk beribadat kepada Allah.

Allah SWT berfirman bermaksud: Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah yang kamu dirikan itu tempat tinggal dan menjadikan bagi kamu dari kulit binatang-binatang ternak khemah (tempat berteduh) dan menjadikan bagi kamu berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan (untuk kamu menggunakannya ke suatu masa). (an-Nahl: 80)

Malah, memiliki rumah juga menjadi kayu ukur kepada pencapaian seseorang itu dalam hidupnya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Ada tiga pencapaian yang membanggakan seseorang muslim di dunia, salah satu daripadanya mempunyai rumah yang luas dan selesa. (Riwayat Al-Thabrani)

Soalnya, bagaimana merealisasikan pencapaian ini apabila melihatkan harga rumah sekarang. Sebagai perbandingan, rumah teres dua tingkat saiz 20x70 kaki yang dibeli 15 tahun lalu di kawasan Bangi dan Sungai Buloh, Selangor misalnya berharga sekitar RM130,000 ke RM150,000. Kini, rumah saiz yang sama atau mungkin lebarnya 22 kaki dijual pada harga antara RM400,000 ke RM600,000 sebuah.

Selepas diteliti, persis ada korelasi antara harga rumah dan kadar kelayakan pinjaman perumahan bagi kakitangan kerajaan yang berkuatkuasa 1 Januari 2015. Semasa Bajet 2015, kerajaan mengumumkan had kelayakan minimum pinjaman perumahan dinaikkan daripada RM80,000 kepada RM120,000 dan RM450,000 kepada RM600,000 bagi kelayakan maksimum.

Barangkali ini antara punca utama harga rumah melambung. Sebagai imbasan, kadar pinjaman perumahan mengikut pekeliling kerajaan tahun 2006 adalah antara RM48,000 hingga maksimum RM360,000 berdasarkan gaji hakiki kakitangan. Kita hargai hasrat murni kerajaan menaikkan had kelayakan pinjaman tetapi ia seolah-olah menjadi lampu hijau kepada sebahagian pemaju menaikkan harga rumah. Matlamat utama mereka tentulah mendapat keuntungan maksimum.

Adalah diharap kerajaan dapat mengawal harga siling rumah di Malaysia supaya ia tidak melambung. Dalam masa sama, lebih banyak rumah perlu dibina di bawah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) agar rakyat tidak terus menyewa sehingga ke akhir hayat. Ini supaya setiap individu dapat menikmati taraf hidup yang sempurna sejajar dengan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Bahkan memenuhi keperluan asasi hidup manusia adalah sebahagian daripada maqasid syariah.

Ingatlah peringatan Allah yang bermaksud: Supaya harta itu jangan beredar di antara orang kaya sahaja di kalangan kamu. (al-Hasyr: 7). Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana 28 Ogos 2015

Tags: rumah tangga
Subscribe

Posts from This Journal “rumah tangga” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments