mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pengisian sambutan merdeka mesti selari tuntutan Islam

KEMERDEKAAN adalah pembebasan daripada penjajahan dan ikatan. Sebagai negara yang merdeka, kita bebas menentukan apa sahaja perancangan, matlamat dan tindakan sama ada dari sudut ekonomi, sosial mahupun politik tanpa terikat kepada sesiapa.

Pada masa sama, kemerdekaan yang dicapai juga bermaksud bahawa kemerdekaan itu perlu dikekalkan dan menjadi tanggungjawab kita bersama sebagai pewaris negara merdeka. Hakikatnya, inilah perjuangan yang lebih getir berbanding perjuangan untuk mencapai kemerdekaan itu sendiri.

Dalam Islam, kemerdekaan itu suci maknanya. Islam membawa erti kesejahteraan, kedamaian dan keamanan. Hakikatnya, semua makna itu menjurus kepada maksud kemerdekaan yang kita fahami kini.

Bagi seorang Muslim nikmat kebebasan dalam kemerdekaan seharusnya disyukuri dan dihayati.

Bebas daripada syirik, sifat jahiliah

Kemerdekaan bukan sahaja memberi lesen untuk menentukan corak hidup, lebih penting lagi adalah membebaskan diri dan pemikiran daripada syirik kepada Allah SWT serta sifat jahiliah.

Oleh itu, seorang Muslim yang merdeka bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah Kami ciptakan." (Surah al-Isra', ayat 70)

Kemerdekaan juga adalah satu bentuk rezeki kurniaan Allah SWT yang wajib untuk kita syukuri dalam cara bertepatan iaitu dengan memelihara dan menjaga ia daripada dicemari atau dirosakkan oleh anasir luar yang sentiasa cuba menggugat kedamaian negara Malaysia yang kita cintai ini.

Marilah bersama kita pastikan dalam keghairahan meraikan kemerdekaan yang bakal disambut nanti, segala pengisian sambutan perlulah dititikberatkan meliputi acara yang memberi kesedaran dan peringatan mengenai makna kemerdekaan amnya serta makna kemerdekaan seorang Muslim khususnya.

Kita bukan sahaja berhadapan golongan yang lupa makna kemerdekaan, kita juga berhadapan mereka yang lalai menjadi seorang Muslim sejati.

Lupa dan lalai itu menyebabkan kita mempersia-siakan negara tercinta dan lebih dahsyat lagi hingga mengabaikan diri serta tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Oleh itu, sambutan kemerdekaan seorang Muslim harus diisi dengan lebih banyak acara kesyukuran atas nikmat kemerdekaan kurniaan Ilahi. Usah lena dibuai mimpi dan hiburan tiada henti.

Turutilah resmi padi, kian tunduk pabila berisi. Imam Ahmad meriwayatkan daripada An Nu'man bin Basyir, Nabi SAW bersabda: "Barang siapa yang tidak mensyukuri yang sedikit, maka ia tidak akan mampu mensyukuri yang banyak."

Justeru, syukurilah nikmat kemerdekaan yang telah kita kecapi ini kerana tidak sedikit pengorbanan yang dilakukan pemimpin dan pejuang terdahulu untuk mencapainya.

Wadah penjajahan moden bukan lagi datang bersama angkatan bala tentera, tidak perlu bersemuka mengangkat senjata. Sebaliknya, penjajahan era baharu datang bersama sesuatu yang menggembirakan atau melalaikan.

Lupa akar budaya, jati diri bangsa

Akibatnya kita tidak terasa dijajah kerana penjajahan menggula-gulakan kita dengan hiburan dan keseronokan luar biasa hingga terlupa akar budaya serta jati diri bangsa. Inilah penjajahan budaya yang menjajah akal dan minda kita.

Liberalisasi teknologi komunikasi terutamanya kelonggaran kawalan isi kandungan dalam media elektronik menyumbang kepada penjajahan budaya bentuk baharu. Isi kandungan program televisyen seolah-olah dunia sudah tiada sempadan apabila nilai liberal menjadi kayu ukur yang menjurus kepada hiburan melampau.

Dengan rangkaian internet tanpa batasan, kita boleh menonton, melihat dan membaca hampir apa sahaja dengan cukup mudah. Laman sosial telah dibudayakan sedemikian rupa dan penjajahan budaya berjaya apabila penyebaran maklumat palsu, fitnah, caci maki serta penentangan secara membuta tuli.

Imej ketimuran berubah

Tanpa disedari, liberalisasi dalam isi kandungan program televisyen dan filem mengajar remaja Malaysia cara hidup Barat. Kehidupan penuh tatasusila ditukar kepada kebebasan tanpa batasan.

Adab dan kesopanan tidak lagi menjadi pakaian anak muda hari ini. Akhirnya, imej ketimuran berubah menjadi budaya Barat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): Turutilah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan." (Surah al-A'raf ayat 3)

Allah SWT mengingatkan kita supaya sentiasa taat dan patuh pada perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Jangan sesekali kita menjadikan budaya Barat sebagai ikutan sebaliknya kembalilah kepada sunah junjungan Rasulullah SAW.

Marilah jadikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini sebagai satu wadah menzahirkan kemerdekaan hakiki seperti yang disarankan oleh ajaran agama yang sebenar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan." (Surah al-A'raf, ayat 96)

Berita Harian Rencana 29 Ogos 2015
Tags: khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “khutbah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments