mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Sentiasa syukuri nikmat Allah

TERLALU banyak nikmat Allah SWT kurniakan kepada manusia semasa hidup di dunia. Namun manusia sering lalai dan alpa dalam mensyukurinya. Antara nikmat itu ialah iman, Islam, sihat fizikal dan mental; selamat daripada musibah, ilmu pengetahuan, kemerdekaan, keamanan, dan kemakmuran.

Pengertian nikmat dapat difahami sebagai segala bentuk kesenangan, keselesaan dan memenuhi keperluan manusia seperti makanan, kesihatan, tempat tinggal, kenderaan dan keamanan. Lazimnya kesemua manusia sukakan nikmat Allah dan tidak akan sesekali menolaknya atau mahukan musibah.

Tujuan Allah mengurniakan pelbagai nikmat kepada manusia adalah untuk membuktikan kebesaran dan kekuasaan-Nya. Nikmat itu juga bagi memudahkan segala urusan kehidupan seharian manusia. Menguji keimanan dan kesabaran seseorang hamba. Menguji sejauh mana manusia mensyukuri nikmat yang dimiliki dan memanfaatkan ke arah jalan yang diredai oleh Allah.

Sekelip mata boleh ditarik kembali

ANTARA nikmat terbesar yang dikurniakan Allah kepada manusia ialah kebebasan. - GAMBAR HIASAN

Berkaitan dengan nikmat, Nabi Muhammad SAW bersabda : “Yang pertama kali ditanyakan kepada seorang hamba daripada kenikmatan-kenikmatan Allah kelak pada hari kiamat ialah ucapan, “Bukankah telah Kami berikan kesihatan pada tubuhmu dan kami berikan air minum yang sejuk?” - Riwayat Tirmizi.

CARA MENGHARGAI NIKMAT

Terdapat cara-cara mensyukuri nikmat kurniaan Allah. Pertama melalui hati iaitu sentiasa mengingati-Nya yang menganugerahkan nikmat. Kedua, dengan lidah melalui perkataan iaitu mengucap Alhamdulillah setiap kali mendapat nikmat. Ketiga, melalui tubuh badan atau perbuatan sujud syukur dan menggunakan nikmat untuk kebaikan bersama-sama ahli keluarga serta masyarakat.

Cara menghargai nikmatnya ialah dengan memanfaatkannya ke arah kebaikan dan tidak menggunakannya ke jalan maksiat dan tidak melakukan pembaziran terhadap nikmat pemberian Allah.

Tidak berasa bangga diri, angkuh dan sombong dengan nikmat yang diperoleh. Berkongsi nikmat yang dimiliki bersama-sama orang lain melalui sedekah kepada fakir miskin. Sentiasa mengingati bahawa Allah adalah pemberi nikmat yang mutlak dan Dia berhak pada bila-bila masa untuk menggandakan atau menarik balik daripada kita.

Lantaran itu, Nabi SAW bersabda: “Apabila Allah memberikan kenikmatan kepada hamba-Nya, maka Allah suka agar kenikmatan-Nya itu tampak pada diri (hamba)-Nya.” - Riwayat Tabrani.

Kebaikan bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT ialah diri akan sentiasa berasa cukup terhadap nikmat yang dimiliki. Dapat memberi kelapangan dada dan ketenangan hati. Sentiasa menggunakan nikmat tersebut dengan sebaiknya. Pada setiap masa berterima kasih kepada Allah yang memberikan nikmat termasuk berdoa agar ia diberkati, berlipat ganda, dan berkekalan.

TANDA-TANDA 
TIDAK BERSYUKUR

Nabi SAW bersabda: “Yang paling pandai bersyukur kepada Allah adalah orang yang paling pandai bersyukur kepada manusia.” - Riwayat Tabrani.

Hati yang selalu berasa keluh kesah, gelisah, tidak tenang adalah tanda-tanda akibat tidak mensyukuri nikmat kurniaan Allah.

Malah pada masa sama, gemar pula menggunakan nikmat tersebut ke jalan maksiat dan dosa. Sentiasa berasa tidak cukup dengan nikmat yang dimiliki dan diperoleh. Nikmat yang dimiliki boleh ditarik balik oleh Allah dan boleh hilang sekelip mata pada bila-bila masa.

Berkaitan hal ini, Nabi SAW bersabda: “Ada dua kenikmatan yang membuat banyak orang terpedaya, iaitu nikmat sihat dan waktu senang (ertinya, saat-saat senang dan waktu senang, orang sering menggunakannya untuk melakukan perbuatan yang terlarang).” - Riwayat Bukhari.

Langkah-langkah yang perlu dilakukan supaya nikmat sentiasa bertambah ialah membayar zakat harta apabila cukup syarat. Hendaklah bersyukur dengan nikmat yang ada. Tidak kedekut untuk bersedekah kepada fakir miskin. Menggunakan nikmat tersebut ke arah jalan yang diredai Allah. Tidak bersikap bangga diri dan sombong dengan nikmat tersebut.

Lantaran itu Nabi SAW mengingatkan dalam sabdanya: “ Mohonlah kepada Allah kesihatan (keselamatan). Sesungguhnya, anugerah yang lebih baik sesudah keimanan adalah kesihatan (keselamatan).” - Riwayat Ibnu Majah.

Terdapat beberapa akibat apabila tidak bersyukur dengan nikmat Allah. Antaranya:


  • Ditarik balik nikmat oleh Allah.

  • Individu dan masyarakat akan berada dalam keadaan mundur iaitu tidak maju.

  • Kesempitan hidup dan tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

  • Tidak dihormati dan dipandang hina oleh masyarakat.

  • Mendapat azab Allah SWT pada hari akhirat kelak.

Maka, bersyukurlah atas nikmat yang dikurniakan selagi kita bernyawa. Apabila bersyukur Allah SWT akan melimpahkan pelbagai nikmat kepada kita. Bersyukur dan membesarkan kenikmatan Allah adalah melalui hati dan lidah, iaitu perbuatan orang yang beriman dan bertakwa.

Tags: syukur
Subscribe

Posts from This Journal “syukur” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments