mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hidup sengsara kerana rasuah

PERBUATAN rasuah adalah haram mengikut perspektif hukum Islam dan tergolong dalam dosa-dosa besar. Ini sebagaimana ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 188 :

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Allah melarang hamba-Nya daripada mengambil harta orang lain dan menerima rasuah. Islam mengutuk perbuatan rasuah, menipu, pecah amanah dan mungkir janji atau sebarang sifat negatif yang merosakkan masyarakat. Perbuatan itu mengeruhkan hubungan dalam masyarakat dan mencacatkan hubungan dengan Allah. Mereka yang melakukan jenayah rasuah akan menerima seksaan yang berat di akhirat kelak.

ISLAM KUTUK 
KERAS RASUAH

Melanggar amanah, tergolong sebagai munafik

PENGAMAL rasuah akan sentiasa hidup dalam keresahan dan kebimbangan kerana menganggap orang lain sebagai musuh yang ingin membongkar kesalahan mereka. - GAMBAR HIASAN

Perbuatan rasuah adalah melanggar amanah dan termasuk ke dalam golongan munafik. Rasulullah SAW bersabda: “Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga, jika dia berkata-kata, dia berdusta, apabila berjanji, dia mungkir, apabila diberi amanah, dia khianati.” - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Rasuah juga boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah solat dan doa hamba kepada Tuhannya. Alangkah ruginya kerana disebabkan perbuatan rasuah, ibadah kita hanya sia-sia dan menjauhkan diri daripada mendapat rahmat Allah. Lebih malang lagi kesan daripada perbuatan rasuah menyebabkan kita terdedah dengan malapetaka dan bencana dalam kehidupan.

Oleh kerana itu, sama-samalah kita membina keperibadian diri agar tidak terlibat dengan amalan rasuah dan mencari rezeki yang tidak halal sama ada sebagai pemberi rasuah, penerimanya atau perantaranya. Kerana Allah dan Rasul-Nya melaknat ketiga-tiga golongan tersebut.

Pembentukan peribadi juga berkait rapat dengan sumber rezeki yang menjadi punca makanan yang akan menjadi darah daging dalam diri kita. Rezeki yang halal akan membawa keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha kerana kerja adalah ibadah di sisi Allah sekiranya dilakukan dengan ikhlas mengikut hukum syarak.

ISLAM PENTINGKAN REZEKI HALAL

Marilah sama-sama kita berusaha mempertingkatkan kesedaran dalam usaha menghapuskan rasuah kerana tanpa kerjasama daripada seluruh anggota masyarakat, usaha-usaha pencegahannya tidak akan berjaya. Perkasakan keimanan dalam diri supaya dapat menjadi benteng daripada terjebak dengan jenayah keji ini. Firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 29-30 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihi kamu. Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).”

Islam amat menitikberatkan rezeki yang halal, rezeki yang diperoleh secara rasuah, pecah amanah dan suatu yang negatif adalah haram dan berdosa. Sedangkan banyak lagi bidang rezeki yang halal di atas muka bumi ini. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud:“Wahai sekalian manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Dalam satu riwayat Rasulullah SAW mengirim seorang utusan untuk mengumpul zakat daripada satu kabilah, tetapi setelah utusan itu menghadap Nabi SAW, sebahagian barang yang dibawanya itu dipegang dan dia berkata kepada Rasulullah SAW: “Ini untukmu dan ini pula untuk saya yang diberikan oleh pembayar zakat, sebagai hadiah kepada saya”. Mendengar kata-kata itu Nabi Muhammad SAW marah sambil bersabda yang bermaksud: “Mengapa tidak sahaja kamu tinggal di rumah bersama kedua-dua ibu-bapa kamu sehingga hadiah itu sampai kepadamu, sekiranya kamu orang yang jujur.

Tags: rasuah
Subscribe

Posts from This Journal “rasuah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments